“Hoi! Kau dengar tak aku cakap apa?” Aisyah tersentak apabila suara jantan itu betul-betul menjerit di tepi telinganya. Piring yang sedang dipegang terlepas jatuh ke dalam sinki. Aisyah mengurut dadanya menahan debaran yang maha hebat akibat terkejut tadi.
“Aku suruh buat kerja, bukannya mengelamun.” Zakuan mendengus geram.
“Ma.. Maaf encik. Saya tak dengar apa encik cakap tadi.” Takut-takut Aisyah bersuara. Dia membasuh tangannya yang masih melekat dengan sabun.
“Lain kali buat kerja tu fokus, bukannya berangan macam Mat Jenin.” Zakuan membidas geram.
“Aku nak kau ikut aku pergi beli barang dapur nanti. Listkan siap-siap apa yang kau nak beli. Aku tak nak sampai sana nanti baru kau nak terhegeh-hegeh pilih barang.” Zakuan menyambung. Tanpa membuang masa dia berlalu ke biliknya. Malas mahu berlama-lama dengan perempuan itu. Aisyah hanya memerhati kepergian Zakuan dengan ekor mata.
“Aisyah tak apa-apa ka? Akak tengok Aisyah macam menungkan sesuatu hari ini. Aisyah tak sihat?” Kak Milah meletakkan ulam yang baru dikutip di atas meja. Dia mendekati Aisyah yang berdiri di hadapan sinki.
“Tak ada apalah Kak Milah. Aisyah cuma tak sedap badan sikit.” Aisyah tersenyum kelat.
“Kalau kamu sakit, bagitau akak. Nanti akak boleh tolong belikan ubat untuk kamu.” Kak Milah merenung Aisyah yang kelihatan lemah.
“Akak jangan risau. Saya tak apa-apa.”
“Encik Zakuan memang selalu teman Kak Milah beli barang?” Aisyah bertanya apabila teringatkan arahan Zakuan sebentar tadi. Kalau setakat mahu membeli barangan dapur, boleh sahaja dia pergi sendiri. Tidak perlu berteman bagai.
“Haah. Tuan Zakuan memang selalu macam tu. Dia selalu teman Kak Milah ke pasar raya sebelum ni. Dia kata tak perlu akak susah-susah habiskan duit naik teksi.” Kak Milah berkata sambil tangannya ligat memotong daging untuk dimasak tengah hari.
“Apahal aku pula yang kena beli barang hari ni. Suruh sajalah Kak Milah belikan. Haish..” Aisyah membebel perlahan.
“Kamu cakap apa?” Kak Milah menyoal apabila mendengar Aisyah seperti mengatakan sesuatu.
“Err.. Tak ada apa akak. Saya ke depan dululah, takut Encik Zakuan dah tunggu, nanti marah pula dia.” Aisyah hanya tersengih sebelum meminta diri.
“Yelah.”
Aisyah mengatur langkah ke luar rumah. Punggung dilabuhkan di atas buaian putih yang terletak di tepi garaj kereta sementara menunggu kemunculan Zakuan. Nafas berat dihela sambil kakinya menguis-nguis tanah di bawah buaian itu. Dia termenung sendiri memikirkan keadaan Ayu. Semalam setelah pulang ke rumah daripada menghantar Ayu, sahabatnya itu ada menelefonnya. Terkejut bukan kepalang apabila suara Ayu yang menangis teresak-esak di hujung talian menyapa telinganya. Setelah agak lama dia cuba menenangkan Ayu barulah gadis itu mula membuka bicara.
Sekali lagi dia dikejutkan dengan kisah daripada Ayu tentang ayahnya. Dr. Ikhwan melarang Ayu daripada berjumpa dan berkawan dengannya. Dia juga terkedu dan tidak tahu mahu beriaksi bagaimana apabila mendengar semua itu. Tidak disangka pensyarah yang dia hormati dan kagumi selama ini menyimpan perasaan benci terhadapnya. Bahkan turut menghalang persahabatan dirinya dengan Ayu. Sungguh dia tidak menyangka semua itu. Semalaman dia memikirkan hal itu sehingga terbawa-bawa ke tempat kerjanya hari ini. Akibatnya dia selalu termenung dan mula hilang fokus memikirkan asbab itu.
“Cepatlah, kau buat apa lagi dekat situ.” Zakuan menjerit dari keretanya sekaligus mematikan lamunan Aisyah.
“Baik encik. Saya datang.” Berlari-lari anak Aisyah menuju ke arah Zakuan yang sudah memasuki kereta Audinya.
AISYAH ralit memeriksa kertas putih yang dipegangnya. Mahu memastikan semua barangan dapur yang disenaraikan sudah diambil. Tidak mahu ada satu pun yang tertanggal. Takut jikalau dia membuat kesilapan nanti, dirinya pula yang dimarahi oleh Zakuan. Dia mengerling Zakuan yang hanya memeluk tubuh di sisinya. Lelaki tersebut tiada rasa ingin menolongnya hatta menolak troli sekalipun. Zakuan hanya diam mengikutnya memilih barangan di pasar raya tersebut.
‘Dah macam bodyguard aku tengok. Kalau aku tahu semuanya aku kena buat sendiri, baik aku turun seorang tadi. Entah-entah dengan Kak Milah pun dia macam ni.’ Aisyah mengutuk Zakuan dalam hati. Laju sahaja dia membawa diri ke bahagian seterusnya meninggalkan Zakuan di situ. Dia lemas berada bawah pengawasan lelaki itu.
“Aduh.” Dengan tidak semena-mena Aisyah berasa dirinya dirempuh seseorang. Dia terkedu apabila melihat seorang lelaki tua sudah pun terduduk di atas lantai. Kalut-kalut dia tunduk untuk memeriksa keadaan pak cik itu.
“Pak cik tak apa-apa? Saya minta maaf. Saya betul-betul tak sengaja.” Aisyah cuba mencari wajah pak cik itu yang masih menunduk.
“Jangan risau, pak cik yang tak tengok kiri kanan tadi.” Tuan Johari mengangkat wajahnya untuk melihat empunya badan yang sedang cuba membantunya bangun. Dia terkejut apabila matanya bertembung dengan mata hitam milik Aisyah yang juga terpegun melihat dirinya.
“Pa.. Pak cik.” Aisyah tidak menyangka akan bertembung dengan Tuan Johari di sini. Kecil betul dunia ni.
“Aisyah? Kamu buat apa dekat sini? Kamu datang dengan siapa?” Tuan Johari menyoal kehairanan. Setahunya rumah Aisyah bukannya di sekitar sini.
“Sa.. Saya..” Aisyah bagaikan kelu untuk bercakap. Sungguh dia gugup apabila berhadapan dengan Tuan Johari.
“Aisyah Qaisara! Kau buat apa lagi tu?!” Suara keras itu cukup membuatkan Tuan Johari dan Aisyah berpaling serentak.
“Zakuan?” Tuan Johari mengerutkan dahi. Pelik apabila mendengar Zakuan menyebut nama Aisyah. Adakah anaknya kenal dengan perempuan itu?
“Daddy?” Hati Aisyah bagaikan direntap apabila mendengar panggilan yang keluar dari mulut Zakuan. ‘Daddy?! Allahu Akbar.. Allah.. Kebetulan apakah ini Ya Allah. Kenapa aku tak tahu Zakuan merupakan anak kepada Tuan Johari. Abang kepada Sarah!’ Aisyah menjerit di dalam hati. Dia sangat-sangat terkejut dengan kenyataan yang satu itu.
“Daddy buat apa dekat sini?” Zakuan sudah berdiri di sisi Aisyah. Dia menjeling perempuan itu sekilas sebelum matanya kembali difokuskan kepada bapanya.
“Daddy ada nak beli barang sikit sebelum ke rumah kamu. Tak sangka pula jumpa kamu dekat sini.” Tuan Johari membalas. Dia mematikan niatnya untuk bertanya tentang hubangan anaknya itu dengan Aisyah apabila perasan akan perubahan wajah Aisyah yang tiba-tiba pucat.
“Tak payah la daddy susah-susah beli semua tu. Zakuan boleh beli sendiri. Simpan sahaja duit daddy untuk isteri daddy yang cantik tu. Takut nanti dia tak ada duit pula nak beli baju baru.” Kasar sekali Zakuan membidas bapanya.
“Apa salahnya kalau sesekali daddy keluarkan duit untuk kamu. Lagipun sebelum ni daddy tak berkesempatan nak belanja kamu.” Tuan Johari tidak pedulikan kata-kata Zakuan yang jelas menggores hatinya. Dia cuba memujuk diri agar lebih bersabar menghadapi kerenah Zakuan. Lagipun salahnya juga kerana mengabaikan Zakuan selama ini.
“Ingatkan daddy tak sedar apa yang daddy dah buat selama ni. Zakuan tak hadap la duit poket dari daddy. Sebelum ni pun Zakuan boleh hidup sihat walafiat tanpa daddy. Dan sekarang pun sama. Tiada apa yang berubah. Jadi daddy tak perlu susahkan diri datang melawat Zakuan selalu. Zakuan dah besar and dah ada life sendiri.” Zakuan memalingkan badannya untuk berlalu dari situ. Hatinya sakit jikalau berhadapan dengan Tuan Johari. Dia tidak peduli jikalau katanya itu membuatkan bapanya berjauh hati.
“Kau dah habis beli barang kan? Jom balik.” Zakuan menggamit Aisyah yang kelihatan mengeras berdiri di situ. Tidak dipedulikan pandangan tajam Tuan Johari yang memerhatikan Aisyah. Dia memejamkan mata cuba sabarkan hati apabila dilihatnya Aisyah masih membatukan diri. Gadis itu seolah-olah hanyut dalam dunianya sendiri.
“Aku suruh balik.” Zakuan bertindak mencengkam lengan Aisyah untuk menyedarkan perempuan itu.
“Ha?” Aisyah yang baru kembali ke dunia nyata hanya mengikut Zakuan yang menariknya kasar ke kaunter. Dia kembali memandang Tuan Johari yang semakin lama semakin jauh.
“Kenapa aku bodoh sangat tak tanya Tuan Johari sendiri selama ni? Mati-mati aku ingat Zakuan ni kekasih Sarah. Rupa-rupanya darah daging dia sendiri.” Aisyah bermonolog sendiri. Dia masih tidak dapat menerima hakikat yang terbentang luas di hadapan mata.
“Kau tercegat apa lagi dekat situ!”
Tergopoh-gopoh Aisyah mengeluarkan barangan di dalam troli lalu diletakkan di atas kaunter. Dia tidak mahu dirinya dimarahi lagi untuk kesekian kali. Lagi pula dia juga mahu cepat-cepat beredar dari pasar raya itu yang dirasakan mula berbahang.
Share this novel