BAB 9

Drama Completed 10212

“Doktor, macam mana keadaan dia?” Aisyah bingkas bangun apabila melihat doktor yang memeriksa keadaan Ayu tadi melangkah keluar dari wad kecemasan.

“Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. Pesakit cuma pengsan dan tidak sedarkan diri akibat terlalu terkejut. Selain itu, kami dapati terdapat kesan lebam di lengan dan dahinya mungkin berpunca daripada hantukan di bahu jalan. Tapi jangan risau, kecederaan tersebut hanya sementara sahaja dan tidak memberi kesan kepada anggota dalaman pesakit. Selebihnya tiada apa-apa. Kamu boleh bawa pesakit pulang selepas dia sedarkan diri nanti.” Doktor itu tersenyum memandang Aisyah.

“Alhamdulillah, syukur dia tak apa-apa. Boleh saya melawat dia sekarang?” Aisyah lega mendengar penerangan daripada doktor tersebut. Hatinya kembali tenang apabila mengetahui Ayu tidak mengalami kecederaan serius.

“Ya, silakan. Kalau tiada apa-apa lagi, saya minta diri dahulu dan jangan lupa untuk cuci luka kamu juga. Kamu boleh minta bantuan dengan nurse yang bertugas dekat sini.” Sempat doktor itu berpesan sebelum meninggalkan laluan hospital itu.

“Baik doktor. Terima kasih banyak-banyak.” Aisyah menunduk sedikit kepalanya kepada doktor muda tersebut sebagai tanda hormat. Langkah kakinya kembali diatur memasuki pintu kaca wad kecemasan itu.

Aisyah melihat tubuh kaku Ayu yang terlantar di atas katil. Hanya bunyi desahan nafas Ayu dan titisan drip yang kedengaran di situ. Dada Ayu yang berombak tenang dipandang sekilas sebelum Aisyah mula mengambil tempat duduk di kerusi yang terletak sebelah katil Ayu.

“Ayu..” Nama itu diseru perlahan.

“Aku minta maaf sebab tak dapat lindungi kau sepenuhnya. Nasib baik tiada apa-apa yang berlaku pada kau.” Aisyah mula menggenggam tangan Ayu di atas katil.

“Andai.. andai aku lewat seminit sahaja tadi, aku tak tahu apa akan jadi pada kau. Aku takut sangat Ayu, takut kehilangan kau seperti mana aku kehilangan ‘dia’ lima tahun lepas. Semuanya terjadi kerana aku lambat bertindak.” Aisyah mula menangis sambil menyembamkan mukanya pada tangan Ayu. Dia kembali teringat kemalangan petang tadi. Tidak dapat dia bayangkan jikalau terjadi perkara yang tidak diingini kepada Ayu kala itu.

Lama Aisyah berkeadaan begitu sebelum merasakan jari-jemari yang berada di dalam genggamannya bergerak sedikit. Aisyah pantas mengangkat kepala memandang wajah Ayu. Kelopak mata Ayu kelihatan bergerak-gerak ke kiri dan kanan sebelum mula terbuka luas. Cepat-cepat Aisyah mengelap air matanya di pipi sehingga tiada yang tersisa. Tidak mahu Ayu melihat dirinya dalam keadaan begitu.

“Ayu. Alhamdulillah kau dah sedar.” Aisyah bangun mendapatkan Ayu.

“Aisyah.. Aku dekat mana ni?” Lemah Ayu bersuara. Matanya meliar melihat keadaan bilik yang serba putih.

“Kau dekat hospital. Tadi kau tak sedarkan diri sebab kemalangan.” Aisyah menerangkan situasi sebenar kepada Ayu.

“Hospital? Kemalangan?” Ayu bertanya bagaikan orang bodoh. Dia cuba mengingat kembali kejadian yang berlaku sebelum dia pengsan dan dibawa ke sini. ‘Tadi aku tengah lintas jalan nak pergi ke kereta aku. Selepas itu, aku dengar orang panggil nama aku sebelum..’ Ayu membawa tangan menutup mulutnya yang sudah terlopong apabila otaknya mula mencerna apa yang berlaku. Dia memandang muka Aisyah. Air matanya mengalir tatkala terpandangkan darah yang sudah kering di lengan baju Aisyah. Dia tahu Aisyah yang melindunginya daripada dilanggar. Dia kenal suara yang menjerit memanggil namanya itu.


“Kau dapat luka ni sebab selamatkan aku kan? Ya Allah, berdosanya aku. Ni semua salah aku. Kalau aku lebih berhati-hati tadi, mesti kau tak cedera macam ni. Aku minta maaf Aisyah, disebabkan aku kau kena tanggung akibatnya.” Ayu mula diserang rasa bersalah. Disebabkan tindakannya itu, orang lain yang mendapat bala. Dia bangun memeluk Aisyah di sisi.


“Ish kau ni. Jangan cakap macam tulah. Dah tertulis takdir kau nak kemalangan hari ni, nak buat macam mana. Kalau kau elak sekalipun perkara akan terjadi juga. Lagipun, bukan teruk sangat aku cedera, lepas sapu ubat nanti oklah.” Aisyah mengusap kepala Ayu persis seorang ibu sedang memujuk anaknya yang sedang menangis. Dia tidak mahu Ayu terus dihantui rasa bersalah dengan tindakannya.


“Dah, jangan nangis lagi. Nanti terkejut beruk nurse dengan doktor dekat sini bila tengok muka kau macam tu. Diorang mesti cakap aku marah kau.” Aisyah cuba memujuk lagi. Walaupun tadi dia juga menangis seperti itu, tetapi dia sungguh tidak suka melihat Ayu berkongsi rasa sedih dengannya.


“Ish kau ni Aisyah. Aku baru nak feeling. Potong mood betullah.” Ayu ketawa juga setelah mendengar pujukan Aisyah. Dia merungkaikan pelukan sebelum kembali memandang Aisyah.


“Aku minta maaf sangat-sangat Aisyah. Terima kasih juga sebab selamatkan aku. Kalau bukan disebabkan kau, aku mungkin sudah tidak bernyawa atau koma sekarang.” Ayu tersenyum manis.


“Aku yakin kalau orang lain dekat tempat aku pun, mereka pasti melakukan hal yang sama. Kau tak payah risau ok.” Aisyah membalas.


“Aku nak pergi uruskan pendaftaran dan ambil ubat kau dekat kaunter. Doktor cakap lepas kau sedar, kau dah boleh balik. Kau nak pesan apa-apa tak? Makan? Minum?” Aisyah kembali membaringkan tubuh Ayu di atas katil.


“Tak ada apa. Aku masih kenyang sekarang. Cuma aku nak pesan..” Ayu menyentuh lembut tangan Aisyah.


“Hmm?” Aisyah menanti bicara dari Ayu.


“Pesan kepada kau sebab aku tak suka dengan tindakan berani mati kau yang sanggup gadaikan nyawa demi aku. Kenapa kau sanggup buat begitu Aisyah? Kau sedar tak nyawa kau boleh melayang sekali kalau tak sempat elak?” Ayu merenung dalam anak mata Aisyah menantikan jawapan. Dia terharu dengan perbuatan Aisyah tetapi dalam masa yang sama dia juga risau akan keselamatan sahabatnya itu.


“Itu lebih baik daripada aku terpaksa teruskan hidup bersaksikan kau yang tiada di sisi. Kau tak tahu Ayu.. alangkah sakitnya hati ini apabila kehilangan seseorang yang kita dah anggap sebagai darah daging kita sendiri. Kehilangan seseorang yang kita dah anggap sebagai family depan mata kita sendiri. It hurts like hell, you know? And.. impossible to heal the pain. The only things I can do is to keep telling myself that everythings gonna be okay.” Sejurus itu, Aisyah melangkah keluar meninggalkan Ayu keseorangan.


Ayu terkedu mendengar setiap bicara yang dituturkan Aisyah. Suara itu jelas menahan getar di dada. Renungan mata Aisyah menunjukkan bahawa gadis itu cukup terluka. Pertama kali dia melihat keadaan Aisyah yang begitu. Aisyah kelihatan seperti menahan beban yang sangat besar dalam dirinya. Gadis itu sepertinya pernah melalui fasa yang sangat menyedihkan dalam hidupnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience