BAB 15

Drama Completed 10212

“Ayu!!!”

Jerkahan itu nyata mampu membuatkan bahu Ayu sedikit terhinjut. Ayu melarikan pandangan kepada Encik Ikhwan di muka pintu. Setitis air matanya jatuh membasahi pipi apabila dia melihat wajah cemas ayahnya itu.

“Apa kamu buat dalam bilik ni? Kan ayah dah cakap kamu tak boleh ganggu bilik kerja ayah!!” Encik Ikhwan melangkah pantas mendekati Ayu. Dia cuba merampas komputer riba yang terdampar di atas meja.

“Kenapa kamu deg..” Kata-kata Encik Ikhwan mati di situ apabila matanya terlihat klip video yang terpampang di skrin. Terlepas pegangan komputer riba itu dari tangannya. Dia terundur beberapa langkah ke belakang sambil memandang Ayu.

“Apa semua ini ayah? Apa semua ni?” Ayu menyoal sambil menggelengkan kepalanya berkali-kali. Sungguh dia tidak percaya dengan perkara yang dilihatnya sebentar tadi. Rakaman video itu merupakan dashcam kereta yang menunjukkan satu kemalangan ngeri yang membabitkan dua buah kereta.

Kereta Proton Saga bewarna merah yang dipandu tiba-tiba dilanggar oleh kereta Honda City di arah bertentangan. Akibat hentakan yang kuat, kereta Proton Saga itu melanggar bahu jalan sebelum terbalik. Beberapa minit kemudian, kelihatan pemandu Honda City yang melanggar kereta itu tadi melangkah keluar dalam keadaan terhuyung-hayang sambil memegang sebotol arak. Yang lebih memeranjatkan Ayu, apabila pemilik dashcam kereta yang menyaksikan kereta Proton Saga dan Honda City yang saling berlanggaran itu turut keluar untuk melihat keadaan Proton Saga yang sudah berasap di bahu jalan. Insan itu merupakan Encik Ikhwan, ayahnya sendiri!

Ayu pasti kereta Proton Saga itu milik ibu bapa Aisyah apabila dia terpandangkan wanita yang sedang cuba merangkak keluar dari kereta itu dalam kepayahan. Dia melihat Encik Ikhwan seperti ingin mendapatkan wanita itu sebelum ditahan oleh pemilik Honda City. Tercetus pertengkaran kecil antara mereka berdua sebelum kedua-duanya kembali kepada kereta masing-masing dan meninggalkan kawasan tersebut.

“Apa semua ni!” Ayu sudah tidak mampu menahan kemarahan apabila melihat Encik Ikhwan hanya membatukan diri.

“Ke.. Kereta merah tu milik ibu bapa Aisyah kan ayah? Ayah nampak kan kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua orang tua Aisyah?” Ayu menggoncang kedua-dua bahu Encik Ikhwan.

“A.. Ayah bo.. boleh jelaskan. Ayah..” Encik Ikhwan memicit dahi yang dirasakan sakit tiba-tiba. Dia tidak menyangka rahsia yang disimpan kemas selama ini diketahui oleh anaknya sendiri.

“Video ni.. merupakan kemalangan yang sama diceritakan dalam akhbar ni kan ayah? Jawablah ayah. Ayu nak tahu!” Ayu merenung ayahnya tajam.

“Kita bincang perkara ni nanti.” Encik Ikhwan cepat-cepat menutup komputer ribanya dan berura-ura mahu melangkah keluar, namun Ayu lebih pantas bertindak. Ayu merampas pendrive yang tercucuk kemas di tepi komputer riba itu dan disembunyikan dibelakang badannya.

“Ayu! Berani kamu lawan ayah.” Encik Ikhwan tidak mampu lagi bersabar apabila melihat tindakan Ayu.

“Bagitahu apa yang terjadi. Ayu tak akan pulangkan pendrive ni kalau ayah tak beritahu perkara sebenar, atau Ayu akan serahkan pendrive ni pada pihak polis.” Ayu nekad. Dia bosan melihat ayahnya yang seperti ingin bermain tarik tali dengannya.

“Jangan! Kalau kamu sayang ayah, kamu mesti beri pendrive itu pada ayah. Please sayang.” Encik Ikhwan cemas setelah mendengar ugutan Ayu. Dia takut jikalau Ayu betul-betul mengotakan ayatnya.

“Sebab Ayu sayangkan ayahlah Ayu nak tahu semua tentang insiden tu. Ceritakan pada Ayu segalanya.” Ayu tegas bersuara. Dia perlu tahu kebenaran di sebalik video yang dilihatnya tadi.

Encik Ikhwan mengeluh berat. Dia menggigit bibirnya sambil otak ligat berfikir apa yang harus dilakukannya. Perlahan-lahan Encik Ikhwan memanggungkan kepala dengan mata yang berkaca. Jika itu yang dipinta Ayu, dia akan menceritakan segalanya kepada anak gadisnya itu. Walaupun dia tahu kebenaran yang diceritakan nanti mampu menghadirkan kekecewaan untuk Ayu, tapi dia rasa itu lebih baik daripada Ayu mengetahui perkara itu daripada mulut orang lain.

“Ayah terpaksa sayang.” Encik Ikhwan berjeda seketika.


“Ayah satu-satunya saksi bagaimana kemalangan itu berlaku tujuh tahun lepas.”

“Jadi kenapa ayah tak serahkan video ni kepada pihak polis? Kenapa ayah simpan video ni sampai sekarang?” Ayu mengerutkan dahi. Dia tahu ayahnya tidak menyerahkan bukti tersebut kerana semua akhbar yang dibacanya tadi memberitahu mereka masih mencari suspek yang terlibat.

“Ayah terpaksa. Kamu faham tak?” Encik Ikhwan bersuara bengang apabila diasak begitu.

“Ayah betul-betul terdesak masa tu. Ayah perlukan duit. Jadi ayah terpaksa bersetuju dengan tawaran Dato’ Suhaimi kepada ayah.” Encik Ikhwan meraup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan.

“Masa tu ayah berhutang sana-sini sampaikan ayah dikejar Ah Long. Semuanya sebab ayah terlalu obses dengan judi sampaikan ayah hilang pendoman hidup. Ayah terlalu ikutkan hasutan syaitan sampaikan ayah terjerumus dalam dosa yang tak mungkin ayah lupakan sampai hari ni. Nak dijadikan cerita, semasa kemalangan, ayah baru pulang dari bank untuk buat pinjaman tetapi tak sangka pula yang ayah akan menjadi saksi petang itu. ”

Ayu agak terkejut mendengar cerita ayahnya itu, tidak menyangka ayahnya yang berpangkat ‘Dr.’ itu sangat lain dengan perwatakannya dahulu. Patutlah ayahnya sangat tertekan apabila dia meminta wang untuk ke sekolah. Rupa-rupanya ayahnya itu menghadapi masalah kewangan. ‘Tetapi siapa pula Dato’ Suhaimi yang disebut ayah?’

“Ayah cuba nak tolong Umar dan Syuhada, tetapi perbuatan ayah dihalang oleh Dato’ Suhaimi. Dato’ Suhaimi tawarkan ayah duit waktu itu dan tanpa berfikir panjang ayah terus sahaja bersetuju untuk mengikutnya. Disebabkan perkara itu Dato’ Suhaimi meminta ayah merahsiakan kemalangan tersebut daripada pihak polis, sebagai pampasan dia tolong langsaikan segala hutang ayah dan bantu ayah sambung PhD. Semuanya Dato’ Suhaimi sanggup lakukan semata-mata untuk menutup kesalahannya dalam kemalangan itu. Dia juga minta ayah delete rakaman kemalangan itu.” Encik Suhaimi tidak mampu menahan sebak di dada apabila menceritakan kebodohannya dahulu.

“Allahuakhbar! Ayah sedar tak apa yang ayah dah buat? Ayah dah dikira bersubahat dengan seorang pembunuh!” Ayu menekup mulutnya kerana terlalu terkejut mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Encik Ikhwan. Dia tidak menyangka Encik Ikhwan sanggup melakukan perkara itu demi duit. Sekarang baru dia tahu suspek yang terlibat dengan langgar lari itu merupakan Dato’ Suhaimi.

“Kamu tak faham keadaan ayah waktu tu! Ayah bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal apabila Dato’ Suhaimi sanggup pinjamkan duit kepada ayah.” Encik Ikhwan mendekati Ayu. Dia tidak suka melihat Ayu menangis.

“Ayu tak sangka ayah sanggup buat macam ni. Ayah sepatutnya bantu mereka waktu tu. Ayah sedar tak mereka masih bernafas semasa ayah meninggalkan tempat kejadian? Ayah nampak tak betapa sakitnya ibu Aisyah merangkak keluar dari kereta tu untuk minta tolong? Kenapa ayah? Kenapa?” Ayu sudah mengongoi mengenangkan kembali keadaan ibu Aisyah di dalam rakaman itu. Sungguh luluh hatinya melihat perkara itu.

“Kamu ingat ayah boleh hidup senang selepas itu?! Ayah pun tertekan apabila teringatkan kembali kejadian itu. Rasa bersalah dalam ni semakin menggunung dari hari ke hari, dari tahun ke tahun. Ayah sering diburu rasa takut. Tetapi ayah tahu untuk pulihkan keadaan adalah terlambat sebab ayah dah buat perjanjian dengan Dato’ Suhaimi.” Tangan kanan Encik Ikhwan mencengkam dadanya. Sebelah lagi tangannya menggoncang bahu Ayu.

“Beberapa tahun selepas itu ayah cuba menyiasat latar belakang keluarga mereka untuk tebus semula dosa ayah, tetapi hampa. Ayah tak tahu siapa ahli keluarga Umar dan Syuhada sampailah hari ayah batalkan kelas hari tu.” Encik Ikhwan mengelap air mata di pipi. Dia turut sebak menceritakan semua itu kepada anaknya.


“Ayah dapat tahu yang sebenarnya kawan baik kamu, Aisyah merupakan darah daging mereka sendiri. Itupun sebab ada seorang lelaki bernama Zakuan datang ke pejabat ayah minta biodata tentang Aisyah. Ayah terkejut sangat waktu tu. Tak sangka orang yang ayah cari selama ni ada depan mata ayah sendiri. Ayah rancang nak tunjukkan semua bukti ni kepada Aisyah dan serah diri kepada pihak polis, tapi perkara tersebut dapat dihidu oleh Dato’ Suhaimi.” Encik Ikhwan merenung daun yang menghijau di luar tingkap.

“Akibatnya Dato’ Suhaimi hantar amaran kepada ayah. Dia cakap kalau ayah berani buka mulut, nyawa Ayu dan mama akan jadi galang gantinya. Dan kemalangan yang berlaku pada Ayu haritu betul-betul menunjukkan bahawa Dato’ Suhaimi tak main-main dengan perkara itu.” Encik Ikhwan kembali memandang Ayu.

“Maksud ayah, kemalangan motor haritu memang sudah dirancang oleh Dato’ Suhaimi? Ya Allah, sanggup dia lakukan semua itu untuk menyelamatkan diri. Dia tak hirau langsung tentang nyawa orang lain.” Ayu menggenggam penumbuknya. Walaupun dia tidak mengenali Dato’ Suhaimi, tetapi dia sungguh bencikan lelaki itu sepenuh hati.

“Ayah minta maaf nak. Ayah minta maaf. Disebabkan perkara itu ayah minta kamu jauhkan diri dari Aisyah. Ayah tak nak dia berkorban lebih banyak untuk kamu.” Encik Ikhwan juga menangis sambil memandang Ayu. Akibat tindakannya dahulu, orang lain yang terpaksa menerima natijahnya.

“Ayah tahu tak Ayu berhutang nyawa dengan Aisyah! Dia yang selamatkan nyawa Ayu haritu. Macam mana Ayu nak berhadapan dengan dia ayah?! Macam mana kalau dia tahu ayah kawan baik yang dia berkorban nyawa selama ini merupakan insan yang bersubahat dengan pembunuh ibu bapanya? Apa yang Ayu nak buat ayah? Dia kawan baik Ayu ayah... Kawan baik Ayu...” Ayu melurut jatuh ke lantai. Dia sungguh sakit menerima realiti yang satu itu.

“Ayah minta maaf sayang. Please forgive me. Ayah tak minta semua ni terjadi.” Encik Ikhwan menggigit bibir menahan sebak melihat keadaan anaknya. Dia juga buntu memikirkan hal ini. Sekarang dia perlu memilih antara nyawa ahli keluarganya ataupun keadilan buat Aisyah. Dia takut untuk ambil apa-apa risiko jikalau tersalah langkah. Dato’ Suhaimi merupakan seorang yang sangat berkuasa. Lelaki itu sanggup lakukan apa sahaja untuk menjaga reputasinya.

“Abang..” Suara gugup itu cukup menyentak suasana duka di dalam bilik kerja itu. Pantas Encik Zakuan dan Ayu mengangkat wajah melihat muka pintu yang sudah terbuka luas. Terlopong kedua-dua insan itu melihat figura-figura yang berdiri statik di muka pintu.

“Aisyah datang nak jumpa Ayu, tapi..” Puan Khatijah tidak dapat meneruskan kata. Dia memerhati Aisyah yang berdiri di sebelahnya yang sudah memerah muka. Niat di hati ingin membawa Aisyah berjumpa dengan Encik Ikhwan bagi memujuk lelakinya tetapi dia tidak menyangka tindakannya membawa Aisyah ke bilik itu memberikan tamparan hebat kepada anak gadis itu. Dia dan Aisyah sudah mendengar segala-galanya. Sungguh Puan Khatijah tidak tahu mahu bereaksi yang bagaimana. Dia sendiri terkejut mendengar semua itu.

“Jadi Dr. Ikhwan menyimpan bukti tentang kematian ibu bapa saya selama ni?” Aisyah bersuara mendatar sambil memandang tajam kepada Encik Ikhwan. Dadanya yang berombak pantas jelas menunjukkan dia sedang menahan kemarahan daripada meletus.

“Aisyah..” Encik Ikhwan ingin melangkah mendekati Aisyah, namun kakinya bagaikan digam ditempatnya berdiri.

“Aisyah, kau dah dengar semuanya?” Ayu bersuara takut-takut.

“Ya. Dan sangat jelas.” Aisyah menggenggam penumbuknya. Dia cuba beristighfar di dalam hati untuk menenangkan diri. Tiada satu pun titisan air mata yang mengalir tika ini. Dia juga pelik kerana dirinya tidak menangis mendengar segala kenyataan yang keluar dari mulut Dr. Ikhwan sebentar tadi. Mungkin fikirannya sedang kosong dan terlalu terkejut dengan realiti yang bertandang secara tiba-tiba ini.

“Aisyah, saya boleh jelaskan kepada kamu.” Encik Ikhwan cuba mendapatkan Aisyah kembali.


“Saya minta diri dulu.” Aisyah laju berlari keluar rumah. Dia tidak betah berlama-lama di situ. Dia takut tidak mampu mengawal diri dan membuat sesuatu yang buruk kepada Dr. Ikhwan. Dirasakan kesabaran di dadanya semakin nipis.

“Saya minta maaf Aisyah. Saya minta maaf. Saya tak berniat nak lakukan semua tu.” Encik Ikhwan mengejar langkah Aisyah sehingga ke laman rumah. Begitu juga Puan Khatijah dan Ayu.

“Maafkan ayah aku Aisyah. Aku pun terkejut ayah aku sanggup buat perkara terkutuk ni. Aku.. Aku pun terkejut dengan hakikat yang terbentang sekarang. Sungguh aku tak sangka ayah aku ada kaitan dengan kes tu.” Lencun muka Ayu dengan air matanya yang tidak berhenti mengalir. Dia takut kehilangan Aisyah. Aisyahlah satu-satunya sahabat sejati yang pernah hadir dalam hidupnya.

Aisyah hanya berdiri mebelakangi tiga insan itu. Dia tidak menoleh dan hanya mendiamkan diri. ‘Kau ingat dengan kemaafan yang kau ucap tu boleh kembalikan nyawa ibu bapaku? Mereka darah daging aku. Dan aku terpaksa hidup tanpa kasih sayang mereka sejak kemalangan itu. Hidup sebatang kara tanpa pelukan seorang ibu dan seorang bapa di sisi.’ Tetapi Aisyah hanya bersuara di dalam hati. Untuk meluahkan semua itu tidak sama sekali. Dia tahu kemarahan yang dihamburkan nanti bakal memburukkan lagi keadaan.

Kebisuan Aisyah meresahkan Encik Ikhwan. Pantas dia berdiri di belakang Aisyah sebelum berlutut kepada gadis itu. Puan Khatijah yang melihat perkara itu tidak mampu membendung esak tangisnya lagi.

“Saya minta maaf Aisyah. Saya menyesal dengan perbuatan saya. Kalau kamu nak hukum saya, kamu hukumlah. Saya terima segala hukuman dari kamu.” Encik Ikhwan menunduk memohon kemaafan Aisyah. Dia tahu kemaafannya sahaja tidak cukup untuk gadis itu.

“Tujuh tahun saya cuba untuk redha dengan pemergian mereka. Saya cuba untuk maafkan orang-orang yang terlibat dalam kematian mereka. Tapi bila hari tu tiba saya sedar yang saya hanya manusia lemah, hati saya masih belum kuat untuk maafkan orang-orang itu. Pintu hati saya masih tertutup untuk maafkan mereka. Saya minta diri dahulu. Assalammualaikum.” Tanpa berpaling Aisyah berlari menuju ke keretanya.

Semakin kuat tangisan Puan Khatijah dan Ayu apabila mendengar kata-kata Aisyah. Encik Ikhwan juga terhenyak di tempatnya. Dia berasa sungguh berdosa sekarang. Dia sudah menjahili gadis itu dengan begitu hebat sehinggakan tiada air mata yang mengiringi gadis itu pergi. Sungguh hebat tamparan yang dia berikan kepada Aisyah sehingga gadis itu tidak mampu menangis lagi!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience