BAB 28

Drama Completed 10212

Tanah merah itu digenggam sekuat hati menahan perasaan. Sesekali terdengar sendunya yang berpanjangan menandakan betapa hatinya hancur pada tika itu. Air mata hanya dibiarkan mengalir tanpa henti mengiringi perasaan bersalahnya yang menggunung dalam diri. Walau beribu tan air matanya keluar sekalipun, dia tahu jasad Aisyah tidak mungkin kembali.


"Zakuan.." Tuan Johari menepuk bahu Zakuan yang masih duduk bersimpuh di atas tikar di sisi kubur Aisyah. Sudah setengah jam Aisyah selamat disemadikan dan sejak itu dilihatnya Zakuan tidak henti menangis.


"Biarkan dia pergi dengan tenang. Jangan meratapi arwah begini." Tuan Johari menegur lembut sikap anaknya. Dia juga turut merasa kehilangan dan sangat sedih sekarang. Tetapi dia harus berpada dalam menunjukkan perasaan.


"Kenapa ketika Zakuan mengetahui segalanya, semua sudah terlambat? Kenapa begitu cepat dia pergi sebelum Zakuan sempat tebus dosa padanya?" Zakuan memegang erat tangan Tuan Johari di bahu.


Tuan Johari tersenyum kecil melihat reaksi Zakuan. Dia tahu anaknya sudah berlembut hati dengannya sejak kejadian semalam. Dia dapat melihat dendam di mata anaknya berubah menjadi penyesalan yang berpanjangan. Namun, jika diberi pilihan dia juga mahu menghilangkan penyesalan itu kerana dia tahu Zakuan tidak berniat untuk bersikap kejam selama ini.


"Andai Zakuan tidak mengikut kata lelaki keparat itu, pasti Aisyah masih hidup. Andai Zakuan tidak membawa Aisyah ke sana, pasti dia masih hidup. Andai Zakuan percaya cakap daddy sebelum ini, pasti Aisyah masih hidup. Andai Zakuan tidak terlalu taksub untuk membalas dendam, pasti Aisyah masih hidup." Zakuan menekup wajahnya dengan kedua-dua tangan. Sudah tidak peduli sisa-sisa tanah yang masih melekat di tapak tangan. Zakuan kembali tenggelam dalam tangisannya.


"Jangan begitu Zakuan.. Perkataan 'andai' yang kamu gunakan seolah-olah kamu menyalahkan takdir yang sudah terjadi. Sesungguhnya hati menjadi resah dan gelisah jika kita biasa berandai-andai menyingkapi persoalan hidup. Belajarlah untuk lepaskan pemergian arwah walaupun hati kamu pedih dan sakit." Tuan Johari merenung pusara Aisyah yang terletak bersebelahan pusara arwah ibu dan bapa Aisyah sendiri.


"Tetapi bagaimana Zakuan mahu memohon maaf padanya? Bagaimana daddy? Pasti hidup Zakuan dihantui rasa bersalah dari hari ke hari." Zakuan memandang Tuan Johari dengan penuh sayu.


"Hanya amalan yang mampu mengiringi orang yang sudah tiada. Hanya Al-Fatihah yang mampu kita sedekahkan padanya. Dan kamu pohonlah pada yang Esa supaya dia memaafkan perbuatan kamu terhadap Aisyah. Lagipun Aisyah sendiri sudah memaafkan kamu. Jadi tiada apa yang kamu patut sesali lagi." Tuan Johari tersenyum nipis cuba meyakinkan Zakuan. Dia tidak mahu melihat Zakuan yang lemah dan murung seperti ini. Cukuplah dia kehilangan Sarah dan Aisyah dalam hidupnya. Untuk menghadapi perkara itu buat kali ketiga, dirasakan dirinya pasti tidak kuat.


Zakuan terdiam sebentar mendengar ucapan Tuan Johari, tetapi dirinya masih tidak berganjak dari situ. Dia masih berperang dengan perasaannya.


"Kalau betul kamu rasa bersalah pada Aisyah, bantulah jalankan amanat yang dia tinggalkan buat kita. Tegakkan keadilan buat ibu bapanya. Mungkin itu sahaja satu-satunya hadiah yang mampu kita beri padanya." Tuan Johari memegang kedua-dua bahu Zakuan untuk membantunya bangun. Dia perlu tiupkan semangat dalam diri Zakuan kembali.


Sekarang mereka hanya perlu serahkan segala bukti pada pihak polis. Tuan Johari pasti Dato' Suhaimi, Ikhwan dan Ariana akan mendapat hukuman yang setimpal. Bukti yang ada cukup kukuh untuk memenjarakan mereka bertiga. Sementelah alat perakam yang ditinggalkan dalam beg galas Aisyah semalam adalah bukti yang paling utama kerana Dato' Suhaimi mengaku sendiri perbuatannya.


Lama Zakuan mengamati wajah Tuan Johari. Cuba mencari sinar ketenangan pada wajah itu untuk mengubat hati. Akhirnya dia menarik Tuan Johari ke dalam pelukan untuk menzahirkan segala perasaannya sekarang.


"Zakuan minta maaf kerana kurang ajar dengan daddy selama ini. Maafkan Zakuan. Zakuan janji akan bantu daddy uruskan kes kemalangan ibu bapa Aisyah. Zakuan mahu berbakti padanya walaupun jasadnya sudah tiada. Zakuan mahu selesaikan segalanya supaya dia tenang berada di sana." Zakuan bersuara nekad. Hanya itu jalan terbaik untuk menebus dosanya.


"Daddy tak ambil hati pun. Daddy dah lama maafkan Zakuan." Tuan Johari mengusap belakang Zakuan perlahan. Dia terharu kerana Zakuan akhirnya kembali ke pangkuannya semula.


Lama mereka berkeadaan begitu sebelum Tuan Johari meregangkan pelukan.


"Marilah kita pulang. Biarlah kita mudahkan urusan Aisyah di alam sana." Tuan Johari menggamit Zakuan. Zakuan mengangguk sebelum mula menggulung tikar dan berjalan beriringan bersama Tuan Johari meninggalkan perkuburan Islam kampung itu.


Baru beberapa langkah berjalan, Tuan Johari terpandangkan seorang gadis yang berdiri berdekatan pintu pagar kubur itu. Dia merenung gadis itu lama. Dia mengecam wajah itu tetapi tidak pula mengenalinya. Gadis itu turut hadir sewaktu pengebumian Aisyah sebentar tadi. Nampaknya bukan mereka sahaja yang masih setia berada di sini, tetapi orang lain juga.


"Zakuan, kamu pergi ke kereta dahulu, nanti papa datang. Papa mahu jumpa seseorang."


Zakuan menurut sahaja kehendak daddynya. Setelah melihat Zakuan menghilang, Tuan Johari melangkah ke arah gadis itu.


"Cik?" Tuan Johari menegur lembut. Dilihatnya gadis itu sedikit tersentak dengan kehadirannya. Nampak sangat gadis itu terlalu asyik merenung kubur Aisyah sehingga tidak menghiraukan keadaan sekeliling.


"Cik ni kawan Aisyah?" Tuan Johari menyoal.


"Ya."


"Cik nama apa eh? Maaf bertanya sebab tadi saya nampak cik juga hadir dalam pengebumian Aisyah, tetapi cik hanya memandang dari jauh. Kenapa cik tak masuk sahaja dan berdiri dekat di kuburnya?" Tuan Johari masih tidak lepas memandang gadis itu. Jika dilihat umurnya pasti sebaya arwah Sarah dan Aisyah.


Dilihat gadis itu cuba menyembunyikan wajah di balik selendang hitam yang menutupi kepalanya. Mungkin mahu menyembunyikan air mata apabila kedengaran hidung gadis itu yang mula berair.


"Kerana saya salah satu mimpi ngeri yang hadir dalam hidupnya. Setiap langkah yang saya ambil untuk mendekati jasadnya bagaikan duri yang merobek tapak kaki saya. Biarlah saya hanya melihat dari sini. Sekurang-kurangnya saya mampu melihat jasadnya buat kali terakhir." Gadis itu tersenyum hambar. Suaranya bergetar menuturkan semua itu.


"Saya minta maaf bagi pihak Aisyah jikalau arwah pernah berbuat sesuatu pada cik. Dan saya rasa arwah Aisyah juga tidak menyimpan dendam pada cik. Dia seorang yang sangat baik dan juga lembut. Cik jangan risau. Kalau cik mahu mendekati kubur arwah, pergilah. Tiada sesiapa yang akan menghalang." Tuan Johari berkata tenang. Dia dapat melihat sisa air mata di wajah gadis itu.


"Arwah tidak pernah menzalimi dan menyakiti saya. Cuma saya sahaja yang rasa tidak layak untuk ke sana. Pak cik jangan risau, saya tidak menyimpan dendam pada Aisyah. Kerana dia umpama bintang yang tidak selalu terlihat tetapi selalu ada dalam hidup saya. Satu-satunya sahabat yang tak akan saya lupakan.." Walaupun perlahan sahaja suara gadis itu bertutur, tetapi Tuan Johari masih dapat mendengarnya dengan jelas. Dia nampak keikhlasan pada wajah itu.


"Terima kasih kerana menegur saya. Saya minta diri dahulu." Gadis itu memusingkan badan untuk melangkah pergi. Automatik Tuan Johari bersuara.


"Siapa nama cik?" Ingin sekali dia mengetahui nama itu.


Dapat dilihat gadis itu menghentikan langkah sebelum bersuara. "Ayu." Ayu berkalih semula memandang Tuan Johari sebelum tersenyum manis.


"Nama saya Ayu. Sahabat Aisyah." Dan setelah itu Ayu berlalu meninggalkan Tuan Johari keseorangan.


Tuan Johari hanya membiarkan. Mungkin bukan urusannya mahu bertanya lebih. Tetapi dia tahu Ayu sedang menyembunyikan kesedihan di dalam hati. Mata gadis itu yang sembap menunjukkan segala-galanya.


"Kamu sungguh baik terhadap orang sekeliling kamu Aisyah, sehinggakan mereka sangat terkesan dengan kehilangan kamu. Ramai yang mendoakan kesejahteraan kamu di sana. Walaupun hidup kamu sebatang kara di dunia ini, tetapi pemergian kamu diiringi dengan doa dari orang-orang yang mengenali kamu." Tuan Johari memandang langit yang redup.


"Terima kasih Ya Allah kerana Engkau pernah menghadirkan insan sebaik Aisyah dalam hidup kami. Semoga kau tenang di sana sayang." Tuan Johari kembali tersenyum manis sebelum kaki mengorak langkah meninggalkan kawasan itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience