Pedih di tangan akibat luka semalam tidak dipedulikan. Apa yang pasti Aisyah mahu cepat-cepat menyelesaikan kerja yang dilakukan sekarang. Matahari sudah terpacak tegak di atas kepala membuatkan badannya bertambah bahang. Matanya meliar ke garaj melihat dua buah kereta yang masih belum dibasuh. Siapa lagi kalau bukan Zakuan yang akan menyeksanya seperti itu. Mungkin kereta lelaki itu akan rosak atau calar jika dibasuh pada waktu petang. Aisyah mengutuk sambil tangannya bergerak menyental tayar kereta Audi itu.
“Habis basah baju aku. Dahlah tak bawa baju lebih.” Aisyah menggumam.
Tepat pukul satu petang Aisyah berjaya membersihkan semua kereta milik Zakuan. Dia tersenyum puas melihat hasil kerjanya. Setelah menyusun semula kereta di dalam garaj, Aisyah mula melangkah masuk ke dalam rumah. Dia mahu menyejukkan badan yang sudah bermandi peluh. Lega hatinya apabila udara sejuk daripada penghawa dingin menyentuh kulit badannya. Terasa nyaman.
“Kak Milah dah siap masak ke? Kalau akak tak masak lagi, biar Aisyah tolong.” Aisyah menyoal apabila dilihat Kak Milah sedang membersihkan dapur.
“Dah. Akak dah siapkan semuanya. Jomlah makan dengan akak, Aisyah. Akak bosan makan sorang-sorang. Hari ni kamu temanlah akak, boleh?” Kak Milah memandang Aisyah dengan muka meminta simpati.
“Ok Kak Milah. Lagipun saya memang tengah lapar sangat sekarang. Saya tak makan lagi dari semalam.” Aisyah tidak menolak apabila dirasakan perutnya mula berkeroncong. Dia perlu menjamah sesuatu dek kerana tenaganya yang sudah habis akibat berjemur di bawah panas terik tadi.
“Akak nampak kamu tak jamah apa-apa pun kelmarin? Kamu tak suka masakan akak?” Kak Milah menyenduk nasi di atas pinggan. Aisyah dilihat membasuh tangan di sinki.
“Kesitu pulak Kak Milah ni. Saya puasa sunat semalam, sebab tu saya tak makan apa yang Kak Milah masak.” Aisyah menerangkan kepada Kak Milah. Takut insan itu salah faham dan berkecil hati dengannya.
“La.. kenapa Aisyah tak cakap. Akak boleh masak lebih untuk Aisyah bawa balik. Dahlah semalam Aisyah tolong akak sediakan makan tengah hari. Mesti kamu letih.” Kak Milah rasa bersalah setelah mengetahui perkara itu.
“Tak apalah Kak Milah. Bukannya saya pergi berperang. Saya cuma berperang dekat dapur. Lagipun Kak Milah yang masak semua lauk semalam. Saya potong bawang dan hidangkan sahaja. Tak terasa pun penatnya.”
“Kalau macam tu, hari ni kamu bolehla makan puas-puas. Akak yakin kamu mesti akan termimpi-mimpi masakan akak malam ni.” Kak Milah berseloroh sebelum menyuap makanan ke mulut.
“Mesti punya. Saya bau pun dah tahu masakan akak sedap. Tu belum rasa lagi.” Aisyah ketawa sambil mencedok lauk ayam masak merah ke dalam pinggannya.
“Siapa bagi kau kebenaran untuk jamah makanan dalam rumah ni!” Suara kuat itu mematikan suapan tangan Aisyah.
“Ada aku bagi kau kebenaran untuk makan makanan dalam rumah ni?!” Zakuan sekali lagi menyoal sebelum melangkah mendekati Aisyah di meja makan.
“Tuan jangan salahkan Aisyah pasal hal ni. Saya yang ajak dia makan sekali dengan saya. Kalau tuan nak marah, marah saya.” Kak Milah berdiri di sebelah Aisyah. Dia tidak suka melihat amarah yang ditunjukkan Zakuan.
“Siapa arahkan akak untuk sediakan makanan dekat perempuan ni? Kalau saya tak bagi arahan jangan memandai-mandai nak buat tindakan sendiri.” Zakuan memandang Kak Milah tajam.
“Tapi kasihan dia tuan. Dari pagi lagi Aisyah buat kerja untuk tuan. Satu butir nasi pun dia tak sempat jamah. Takkan saya ajak dia makan pun tuan tak izinkan. Lagipun dia juga orang gaji dalam rumah ni sama seperti saya. Tak salah kalau dia nak makan sekali dalam rumah ni.” Kak Milah kembali membela Aisyah di sisi.
“Saya tak kisah kalau dia nak kebulur sekali pun. Yang pasti saya haramkan semua makanan dalam rumah ni daripada dia. Walau setitis air paip sekalipun. Semua makanan dan harta benda yang saya bayar saya tak benarkan masuk dalam perut perempuan ni! Kalau dia lapar sangat, dia boleh keluar dan cari makanan sendiri! Rumah saya bukan restoran yang sediakan makanan untuk orang macam dia!” Zakuan menggenggam penumbuk sambil matanya mencerlung ke arah Aisyah yang sudah berdiri di sebelahnya. Gadis itu lebih memilih untuk tidak bersuara dan mendiamkan diri.
“Saya tak sangka tuan akan bertindak sekejam ini.” Walaupun kata-kata itu tidak ditujukan kepada Kak Milah, tetapi dia cukup terasa dengan perbuatan Zakuan.
“Saya dah cakap dengan Kak Milah jangan masuk campur dalam urusan saya. Maksudnya Kak Milah tak payah persoalkan segala tindakan saya terhadap perempuan ni, sebab dia layak untuk terima semua hukuman daripada saya berbanding dengan apa yang dia buat. Kalau Kak Milah ingkar juga arahan saya atau saya nampak Kak Milah senyap-senyap sediakan makanan untuk dia, saya akan potong separuh gaji Kak Milah.” Zakuan tersenyum sinis. Dia pasti ugutannya akan membuatkan Kak Milah berhenti memberi perhatian kepada Aisyah.
“Tapi tuan..” Kak Milah masih tidak berputus asa walaupun kecut perutnya mendengar ugutan itu. Demi Aisyah, dia rela berkorban.
“Kak Milah.. tak apa. Biar saya selesaikan masalah ini.” Aisyah akhirnya bersuara. Dia tak mahu Kak Milah turut terkena tempiasnya.
“Tapi akak rasa..” Sekali lagi butir bicara Kak Milah terhenti apabila tangan Aisyah memegang bahunya. Dia memandang Aisyah dengan pandangan sayu. Tidak menyangka yang Zakuan akan bertindak sejauh ini. Tapi apakan daya, dia juga orang gaji dan pekerja di rumah itu. Jadi dia tidak boleh bercakap lebih kepada tuannya.
“Kalau itu apa yang encik nak, saya akan turuti. Tapi saya mohon dekat encik untuk benarkan saya minum air sebab saya dahaga sangat sekarang. Kalau encik nak, saya boleh bayarkan harga untuk air yang saya minum tu.” Aisyah hanya mahu basahkan tekak yang sudah kering. Dia harap lelaki itu masih ada sifat prihatin terhadap dirinya. Dia tidak akan menjamah makanan itu jikalau lelaki itu sudah berkata begitu.
“Kau nak minum? Boleh sangat-sangat.” Zakuan tersenyum memandang Aisyah. Dia mengangkat segelas air sejuk lalu disuakan kepada Aisyah.
Aisyah memandang Zakuan dengan pandangan tidak percaya kerana lelaki itu tiba-tiba tersenyum manis kepadanya. Dalam hatinya bersyukur kerana Zakuan masih membenarkannya untuk minum segelas air walaupun hanya air kosong. Dia menyangka Zakuan akan memarahi dan membentaknya semula. Tetapi telahannya salah. Mungkin lelaki itu kasihan mendengar rayuannya sebentar tadi.
Tangan Aisyah perlahan-lahan naik untuk menyambut huluran itu, tetapi dengan sekelip mata Zakuan membalikkan cawan itu. Cawan yang tadinya penuh dengan air menjadi kosong apabila isinya ditumpahkan ke dalam pinggan di atas meja. Aisyah terkaku melihat nasi dan lauk ayamnya yang sudah berenang-renang di dalam pinggan.
“Boleh blah.” Zakuan tersenyum puas.
Kak Milah terjerit kecil melihat perbuatan Zakuan. Sungguh dia tidak menyangka tuannya sanggup bertindak sebegitu terhadap Aisyah. Apakah tuannya sangat membenci gadis itu sehingga tiada sifat berperikemanusiaan yang tersisa di dalam hatinya?
“Kau nak minum sangat kan tadi. Minumlah. Jangan risau aku tak minta kau bayar sesen pun hari ni. Kau boleh minum dan makan sepuas-puasnya.” Zakuan ketawa sinis kepada Aisyah. Dia melangkah dengan penuh gaya menuju ke muka pintu dapur. ‘Padan muka kau perempuan. Kau ingat aku nak kesian sangat dengan keadaan kau yang macam tu. Sampai mati pun aku tak hadap la.’ Hatinya seronok melihat wajah terluka yang dipamerkan Aisyah.
“Encik..” Aisyah menyeru perlahan. Matanya masih tidak berkalih daripada memandang pinggan nasinya. Zakuan menghentikan langkah.
“Rezeki itu milik Allah. Semakin banyak encik memberi untuk orang lain, semakin banyak rezeki yang mengalir untuk encik. Kalaupun encik tidak ikhlas memberi kepada saya hari ini, sekurang-kurangnya encik simpan rezeki ini untuk orang lain. Perasaan benci dan amarah dalam diri encik hari ini telah membawa kepada satu pembaziran.” Tenang Aisyah menegur perbuatan Zakuan. Dia mengutip pinggannya di atas meja tanpa memandang sedikit pun ke arah Zakuan. Dia kesal kerana lelaki itu sekali lagi melampiaskan amarahnya kepada perkara lain.
Kak Milah hanya menjadi pemerhati. Jauh di sudut hati dia juga turut sakit hati dengan perbuatan Zakuan, tetapi untuk menyuarakan hal itu tidak sama sekali kerana Zakuan adalah bosnya.
Zakuan jelas terkaku apabila suara lembut itu menjengah gegendang telinganya. Dia berpaling untuk memandang Aisyah, namun gadis itu sudah melangkah meninggalkan ruangan itu. Kata-kata yang dituturkan Aisyah sebentar tadi semakin lama semakin meresap jauh ke lubuk hatinya.
Share this novel