"Pak cik yakin dengan semua maklumat yang ada dalam ni?" Aisyah tidak lepas daripada memandang beberapa helai kertas yang dipegangnya.
"Pak cik yakin. Pak cik sendiri yang cari semua maklumat tu. Aisyah dah ready nak buat report?" Tuan Johari menunggu jawapan daripada Aisyah. Hiruk-piruk di kawasan sekeliling kafe itu tidak dipedulikan. Seminggu dia menyiasat perihal Dato' Suhaimi setelah Aisyah meminta pertolongannya di hospital tempoh hari. Akhirnya penyiasatannya tidak berakhir sia-sia apabila segala maklumat tentang lelaki itu kini sudah dikumpul dan diberikan kepada Aisyah.
"Rupa-rupanya lelaki ini dekat dengan diri saya. Cuma saya yang tidak perasan." Aisyah mengeluh.
"Kamu kenal dia? Kamu kenal Dato' Suhaimi?" Tuan Johari terkejut.
"Kalau secara langsung saya tak kenal. Tetapi saya kenal anak dia. Roommate saya tahun lepas. Ariana." Aisyah juga agak terkejut tadi apabila dia melihat seraut wajah Ariana yang berada di samping Dato' Suhaimi. Ariana yang pernah menyerangnya sewaktu dia berjumpa dengan Zakuan di ruang makan hotel dahulu. Mengikut maklumat yang diberikan, Ariana merupakan anak tunggal dalam keluarga itu.
"Kecil sahaja dunia ni. Pak cik tak sangka perempuan dalam gambar tu kawan kamu." Tuan Johari tidak menyangka akan hal itu.
"Jadi apa tindakan kamu sekarang? Kamu nak terus buat report?" Tuan Johari menyoal kembali apabila Aisyah dilihat masih diam.
"Belum. Ada perkara yang saya mahu lakukan sebelum membuat report."
"Kenapa? Kamu takut bukti yang ada sekarang tak mampu untuk buka semula kes?" Tuan Johari berhati-hati menyoal. Takut pertanyaannya membuatkan Aisyah berkecil hati.
"Pak cik jangan risau. Saya cuma mahukan kepastian sebelum bertindak." Aisyah cuba memberikan senyuman manis terhadap Tuan Johari untuk menghilangkan gundah di hati lelaki itu.
"Tapi janji dengan pak cik kamu tak akan buat perkara yang bukan-bukan di belakang pak cik. Pak cik bukan apa, pak cik risau sebab sekarang orang yang kita nak tangkap bukan calang-calang orang. Takut nanti pihak sana mampu menghidu segala perbuatan kita." Tuan Johari lembut menasihati Aisyah. Dia risau hal yang satu itu.
"Baiklah pak cik. Saya janji." Aisyah hanya mampu berjanji perkara itu untuk menyedapkan kembali hati Tuan Johari.
"Oh ya! Ada perkara yang pak cik nak bertanyakan pada kamu." Tuan Johari hampir terlupa akan hal itu.
"Kamu ada beritahu sesiapa tentang kemalangan Sarah sebelum ini?" Tuan Johari memandang Aisyah menantikan jawapan.
"Kenapa pak cik tanya saya macam tu?"
"Pak cik dah ceritakan semuanya pada Zakuan. Jadi secara teknikalnya, kamu dah bebas dari cengkaman Zakuan. Kamu tak perlu bersusah-payah untuk beritahu dia perkara yang sebenar lagi. Cuma.. " Tuan Johari diam sebentar.
"Cuma?"
"Cuma waktu itu Zakuan bagaikan tidak percaya dengan apa yang pak cik beritahu. Dia cakap semua yang keluar dari mulut pak cik tak sama dengan apa yang dia dengar selama ini. Jadi pak cik anggap ada orang lain yang tahu selain kita bertiga. Sebab tu pak cik tanya kamu."
Aisyah diam tanpa reaksi. Dia tidak terkejut dengan kenyataan Tuan Johari kerana dia tahu siapa gerangan yang bertanggungjawab menceritakan hal tersebut kepada Zakuan. Ariana!
"Jadi Encik Zakuan memilih untuk tidak mempercayai daddynya sendiri?" Aisyah menyoal. Dia ingin tahu apa penerimaan lelaki itu.
"Nampaknya macam tulah Aisyah. Dah seminggu pak cik cuba untuk yakinkan dia, tapi hati dia seolah-olah tertutup untuk terima perkara sebenar." Tuan Johari mengeluh mengenangkan sikap Zakuan. Sungguh dia buntu mahu berbuat apa.
"Percayalah pada saya pak cik. Saya akan cuba untuk betulkan keadaan. Dan saya percaya yang Zakuan akan terima semuanya dengan hati yang terbuka tanpa menyalahkan sesiapa."
Aisyah bangun dari duduknya. Dia mahu beredar dari situ. Ada perkara penting yang perlu diselesaikan.
"Terima kasih pak cik sebab sudi tolong saya siasat hal ini." Aisyah menunduk hormat kepada Tuan Johari.
"Sama-sama Aisyah. Pak cik dah anggap kamu macam anak pak cik sendiri. Jangan segan-segan untuk minta tolong selepas ini." Tuan Johari tersenyum puas. Puas kerana akhirnya Aisyah sudi bergantung kepadanya. Puas kerana Aisyah sudah mula berkongsi masalah dengannya.
"Saya minta diri dahulu." Sejurus mengucapkan salam, Aisyah melangkah ke luar kafe sambil tangannya sibuk mencari senarai kenalan dalam telefon bimbitnya. Apabila nama itu sudah dijumpai, pantas dia menelefon tanpa rasa ragu lagi.
"Hello?" Suara halus itu menyapa telinganya.
"Ni Ariana kan?"
"Haah. Siapa ni?" Ariana masih cuba untuk mengecam suara itu.
"Aku Aisyah. Boleh kita berjumpa?"
SEPI mengulit dua batang tubuh yang saling memandang antara satu sama lain. Sudah lima minit berlalu namun tiada sesiapa yang memulakan perbualan membuatkan keadaan bertambah canggung.
"Ada apa kau nak jumpa aku ni? Aku ada banyak kerjalah." Akhirnya Ariana memulakan perbualan. Bosan dirasakan apabila berada dalam situasi begitu.
"Okay then, let me get straight to the point..." Aisyah mendekatkan lagi badannya dengan meja.
"Apa yang kau dah ceritakan pada Zakuan?" Tanpa berkelip Aisyah memandang Ariana.
"Pasal Sarah?" Ariana tergelak sinis.
"Aku cuma bagitahu dia perkara yang dia patut tahu. Lagipun memang betul kan kau ada bersama Sarah waktu tu." Ariana berkata dengan angkuh sambil menyilangkan kakinya dengan penuh gaya.
"Aku nak dengar apa yang kau dah momokkan dekat dia sampaikan dia menyimpan dendam dan mencari aku sebelum ni." Aisyah mengetap gigi cuba menahan sabar.
"Macam nilah Aisyah. Kalau kau nak tahu sangat apa yang aku cakap, why not kau pergi jumpa Zakuan and tanya dia sendiri sebab aku malaslah nak bazirkan air liur aku bercakap dengan kau." Ariana mencebik bibir menandakan dia meluat untuk berbincang lanjut tentang perkara itu.
"I guess kau tak nak bagi kerjasama dengan aku. So, jangan salahkan aku kalau aku gunakan cara lain supaya kau buka mulut." Aisyah memandang Ariana dengan tajam. Dia lelah melihat perangai Ariana yang bagaikan mahu bermain tarik tali dengannya.
Ariana meneguk air liur melihat perubahan Aisyah yang bagaikan mahu menelannya. Pertama kali Aisyah berubah seserius itu.
Aisyah mencampakkan beberapa keping kertas A4 di atas meja tepat di hadapan Ariana.
"Ayah kau a.k.a Dato' Suhaimi dah bunuh mak ayah aku tujuh tahun lepas. Atau lebih tepat dia pernah telibat dengan kes langgar lari yang membabitkan nyawa mak ayah aku. Dan untuk pengetahuan kau, aku ada semua bukti untuk menarik dia ke muka pengadilan semula. Kalau kau nak aku kurangkan hukuman dia, bagitahu aku perkara yang sebenar sekarang." Aisyah bersuara tegas. Dia sudah tidak peduli dengan risiko yang bakal ditanggungnya selepas ini. Apa yang pasti tindakan itu mampu membuat Ariana buka mulut.
Ariana terbeliak melihat satu persatu isi kandungan yang terdapat di dalam kertas itu. Tergamam dirinya dengan kenyataan Aisyah. Dia memandang Aisyah dengan badan yang menggigil. Sungguh tidak menyangka Aisyah mengetahui rahsia terbesar dalam keluarga mereka selama ini.
"K.. Kau tahu?" Bagaikan tidak terkeluar suara Ariana. Dia takut dengan ugutan Aisyah.
"I'm waiting." Aisyah berpeluk tubuh sambil menjongketkan sebelah kening menandakan dia menunggu Ariana menceritakan segalanya.
"K..au ingat kau bo.. boleh ugut aku dengan benda bodoh ni!"
"I give you five second or I will make a police report right now." Aisyah nekad sekali.
"Five."
Ariana nyata gelisah.
"Four."
"Three."
"Ok aku cerita!" Ariana menjerit nyaring. Dia tidak peduli dengan pandangan mata orang sekeliling yang turut menjamu selera di kafe itu.
"Aku bagitahu Zakuan yang malam tu kau nak bawa Sarah ke satu tempat. Kau nak surprisekan Sarah sempena hari lahir dia tetapi tak sempat sebab you guys terlibat dengan kemalangan."
"Aku tak rasa itu sahaja yang kau bagitahu dia." Aisyah mengecilkan bola matanya.
"Ya. Aku cakap yang kau bunuh Sarah. Ajakan kau malam itu hanya rancangan untuk kau bunuh Sarah. Kau bawa Sarah ikut jalan lama dan sengaja jadikan semuanya seperti kemalangan yang tidak disengajakan. Kau.. Kau biarkan Sarah terbakar di dalam kereta tanpa cuba selamatkan dia. Kau biarkan Sarah terkapai-kapai dalam letupan seorang diri. Sebab tu kau seorang sahaja yang selamat malam tu." Ariana bercerita tanpa perasaan.
Aisyah bagaikan terpempam mendengar semua itu. Sanggup Ariana mereka cerita sedangkan gadis itu tidak melihat apa yang berlaku pada waktu itu. Sanggup Ariana mengkhianati kepercayaannya selama ini.
"Lagi!" Aisyah masih cuba menahan perasaan amarah yang mula menguasai diri.
"Aku kata kau cemburu melihat kebahagiaan Sarah. Kau cemburu kerana Sarah ada segala-galanya. Kau cemburu dengan kemewahan Sarah. Kau tak suka orang lain beri perhatian pada Sarah lebih dari kau. Disebabkan itu kau merancang untuk membunuh Sarah supaya semua orang lupakan dia. Supaya semua orang mula berikan perhatian pada kau selepas Sarah mati. And I said you play victim dengan mengatakan kau pura-pura sedih atas kehilangan Sarah tetapi sebenarnya kau seronok sangat."
Aisyah menggenggam tangannya kuat sehingga terlihat urat hijau di kulitnya. Sungguh tidak menyangka Ariana sanggup menfitnahnya begitu.
"Kenapa kau bohong? Kenapa kau buat semua tu?" Aisyah cuba bertenang. Tidak mahu bertindak di luar akal fikiran. Ikutkan hati mahu sahaja melayangkan penumbuk sulungnya pada wajah putih Ariana.
"Sebab aku takut Zakuan memberi perhatian pada kau. Aku takut Zakuan mula sukakan kau sebab Sarah selalu ceritakan pasal kau pada dia. Aku tak nak Zakuan pergi jauh dari hidup aku. Aku sayangkan dia." Ariana mengangkat muka melihat Aisyah. Mukanya cuba dibuat sesedih yang mungkin untuk menarik simpati Aisyah.
"Dan kau sanggup reka cerita untuk terus berada di samping Zakuan? Alasan bodoh apa yang kau cuba sampaikan dekat aku. Kau tak kenal pun siapa Sarah!"
"Memang aku tak kenal! Tapi aku kenal Zakuan sejak dari intern haritu. Sepanjang perkenalan kami, dia selalu bercerita pasal Sarah dan kau. Dia selalu bagitahu aku Sarah ada kawan baik yang sangat sayangkan dia. Zakuan siap tunjukkan gambar kau dekat aku cuma dia tak tahu apa-apa tentang diri kau. Dan kalau boleh dia nak jumpa kau sebab dia tahu kau turut bersedih dengan kehilangan Sarah. Dia nampak excited sangat waktu tu sampailah aku mula buka cerita yang kau turut tebabit dengan kematian Sarah." Ariana mula bersuara geram. Tidak percaya dia sudah menceritakan segalanya pada Aisyah.
"Zakuan tak tahu yang kau turut terlibat, jadi aku ambil kesempatan itu untuk bagitahu segala-galanya. Aku nampak perasaan excited dalam diri dia perlahan-lahan bertukar menjadi dendam untuk menjatuhkan kau. Dan selepas itu dia mula siasat tentang latar belakang kau."
Aisyah terhenyak di tempat duduknya. Jadi Ariana baru mengenali Zakuan sewaktu di tempat internnya. Dan disebabkan Zakuan menunjukkan minat mahu bertemu dengan dirinya, Ariana sanggup mereka cerita sehingga sebegitu rupa? Sudah hilang akalkah wanita itu?
"Sayang sangat kau dekat Zakuan sampai sanggup kau mengkhianati aku!" Aisyah menunding jari tepat pada muka Ariana.
"Orang kaya macam Zakuan adalah impian semua gadis di sekelilingnya. Bodohlah aku kalau aku lepaskan peluang itu. Pada usia yang muda dia dah ada syarikat sendiri. Jadi jangan salahkan aku kalau aku sanggup buat apa sahaja untuk dapatkan Zakuan." Ariana kembali tersenyum sinis.
"Sehingga kau sanggup fitnah aku? Aku percayakan kau selama kau jadi roommate aku. Kau satu-satunya orang yang aku ceritakan tentang kemalangan ngeri itu sebab kau selalu nampak aku mengalami mimpi buruk setiap malam, tapi kau memilih untuk menokok tambah tentang perkara itu. Kau memilih untuk menggunakan kelemahan aku demi kepentingan diri kau sendiri. Aku tak sangka Ariana!" Aisyah menepuk meja dengan sebelah tangannya. Geram sungguh apabila melihat Ariana bercerita tanpa rasa bersalah langsung.
"Well kau tak boleh salahkan aku seorang dalam hal ini. Siapa suruh kau ceritakan semua itu pada aku." Ariana membuat mimik muka menyampah pada Aisyah.
"Kau memang tak guna!" Aisyah sudah berdiri dari tempat duduknya. Kecil sahaja Ariana pada penglihatannya sekarang.
"Jaga sikit mulut kau! Aku dah cerita segala-galanya. Sekarang tepati janji kau pada aku. Serahkan semua bukti berkaitan papa aku!" Ariana juga sudah berdiri di hadapan Aisyah. Walaupun perangai Aisyah yang lembut itu sudah menunjukkan sisi lain dirinya, tetapi Ariana tidak gentar dengan semua itu.
"Siapa cakap aku nak beri kau bukti? Aku cuma cakap yang cerita kau hari ni mungkin dapat kurangkan hukuman terhadap papa kau. Terima kasih sebab sudi luangkan masa dengan aku walaupun kau sibuk." Aisyah menggalas beg tangan di bahu. Lebih baik dia bawa diri sebelum melayang meja dan kerusi di situ ke muka Ariana.
"Kau!" Ariana membeliakkan biji matanya. Naik turun dadanya menahan marah. Tidak menyangka Aisyah berani mempermainkannya.
"Oh ya! Jangan lupa bagitahu papa kau sekali yang aku akan buat report polis hari ini. Tunggulah polis datang jemput papa kau dekat rumah. Aku tetap dengan keputusan aku untuk berikan keadilan kepada arwah mak dan ayah aku." Aisyah senyum manis kepada Ariana sebelum mula melangkah pergi. Tidak betah berlama-lama di situ sementelah dia sudah mengetahui segala kebenaran dari mulut Ariana.
"Tak guna!" Ariana menjerit sambil menghentak-hentakkan kakinya melepaskan geram.
Share this novel