BAB 16

Drama Completed 10212

Langkah kaki diatur perlahan menyusuri tasik yang berada di tengah-tengah taman rekreasi. Ketenangan air di dalam tasik tidak mampu menenangkan sekeping hati yang sudah hancur sejak melangkah keluar dari rumah itu sebentar tadi. Aisyah masih cuba menahan gejolak hati yang meronta-ronta untuk dilepaskan. Walaupun dia sudah tahu kronologi dan siapa yang terlibat dengan kemalangan ibu bapanya, namun dia buntu mahu berbuat apa. Rasa terkejut masih lagi membaluti dirinya. Sungguh dia tidak menyangka kehadirannya ke rumah Ayu bakal dihidangkan dengan perkara yang sungguh meluluhkan hatinya.

Aisyah mengambil tempat di bangku kayu yang terdapat di sebelah tasik itu. Matanya masih tertancap dan dibawa merenung jauh ke dalam tasik. Fikirannya kembali teringatkan kejadian tujuh tahun lepas. Kejadian di mana dia menangis meraung-raung di pintu wad kecemasan apabila mendapat perkhabaran itu.

“Kami minta maaf. Kami dah cuba sedaya upaya. Kelewatan mangsa dihantar ke hospital mengakibatkan mangsa mengalami pendarahan yang banyak dan tidak dapat diselamatkan.” Bagaikan halilintar yang menyambar setangkai hatinya apabila mendengar suara doktor cina itu. Aisyah yang baru berumur lima belas tahun ketika itu hanya mampu meraung sambil ditenangkan nurse yang berada di situ.

“Tak. Tak mungkin! Ayah dan ibu saya tak mungkin tinggalkan saya! Ayah! Ibu! Bangunlah. Aisyah datang nak jemput ayah dengan ibu pulang ke rumah.” Aisyah menjerit tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Dia bagaikan dirasuk ketika itu. Dunianya dirasakan gelap dan nyawanya bagaikan diragut terbang bersama roh kedua ibu bapanya. Dan pada waktu itulah Tuan Johari hadir memberi pertolongan dalam hidupnya. Keluarga Tuan Joharilah yang menguruskan segala proses pengebumian ibu bapanya. Dia sangat terhutang budi dengan keprihatinan dan kesungguhan yang ditaburkan oleh keluarga Tuan Johari. Oleh kerana itu dia sudah menganggap Sarah sebagai darah dagingnya sendiri.

“Andai dia selamatkan ibu dan abah waktu itu, mungkin sekarang Aisyah tak perlu hadapi semua ini sendiri.” Aisyah bersuara perlahan. Cukup untuk dirinya sahaja yang dengar.

“Bodohnya aku kerana tak cuba siasat perkara itu sejak dahulu. Rupa-rupanya orang yang terlibat dalam kes itu adalah keluarga kawan baik aku sendiri.” Aisyah mendongak memandang langit yang sudah bertukar mendung. Dia kembali teringatkan peristiwa di mana dia menyelamatkan Ayu daripada kemalangan yang dirancang oleh Dato’ Suhaimi ketika itu. Tidak menyangka dia menyelamatkan insan yang ada kaitan dengan kematian kedua ibu bapanya. Pengorbanan yang dia lakukan selama ini adalah untuk anak kepada lelaki yang telah membunuh ibu bapanya. Sukar dia menerima kenyataan itu.

“Hahahaha.” Aisyah ketawa kuat mengenang segala peristiwa yang terjadi dalam hidupnya. Dirasakan seperti takdir sedang mempermainkan dirinya tika ini. Setelah kematian ibu bapanya, dia pula kehilangan sahabatnya, Sarah yang dianggap seperti keluarganya sendiri. Sekarang dia sekali lagi dihadap dengan satu realiti yang menyakitkan apabila dia bersahabat dengan Ayu. Takdir seperti tidak mengizinkannya untuk bahagia.

“Hahaha.. Ha..” Ketawa yang memenuhi kawasan itu sebentar tadi semakin lama semakin hilang bersama deruan angin yang kuat menandakan hari mahu hujan.

“Tsk..” Akhirnya terdengar esakan halus keluar dari mulut Aisyah. Semakin lama semakin kuat. Aisyah menangis semahu-mahunya. Dia sudah tidak mampu membendung segala perasaan yang terbuku di dalam dada. Terhinjut-hinjut bahunya melepaskan segala rasa yang ditahan sejak tadi. Sudah tidak dipedulikan hujan yang mulai turun membasahi dirinya. Seperti turut menemani duka yang hadir dalam hati Aisyah.

“Sakitnya Ya Allah. Sakitnya. Dugaan apa lagi yang kau cuba beri pada aku. Aku sudah tak sanggup Ya Allah.” Aisyah meramas dadanya yang bagai ditusuk dengan belati tajam. Sungguh sakit rasa ini!


“Aku ingatkan masa dapat sembuhkan segala kedukaan aku selama ini. Tapi aku salah. Masa cuma mengajar aku hidup dalam kesakitan aku sendiri. Bantulah aku hilangkan kesakitan dalam hati aku. Aku dah tak ada siapa-siapa dekat dunia ni selain kebesaran-Mu. Aku cuba jadi kuat tetapi aku juga penat dengan semua ini Ya Allah.” Aisyah mengongoi buat kesekian kalinya. Dia lelah dengan semua ini. Badan yang sudah basah kuyup tidak dipedulikan. Dia tenggelam dalam rintihannya sendiri.

GURUH yang berdentum kuat cukup menyentak Tuan Johari dan Puan Intan yang sedang bersantai di ruang tamu. Entah mengapa hati Tuan Johari berasa resah. Sesekali dia mengerling tingkap rumahnya dan memerhatikan hujan yang turun dengan lebat di luar rumah. Seakan-akan menantikan seseorang hadir ke rumahnya.

“Kenapa Intan tengok abang macam tak senang duduk sahaja lagaknya? Abang tak sedap badan ke?” Puan Intan menunjukkan riak risau di wajahnya.

“Abang tak tahulah. Tapi hati abang ni rasa macam ada benda yang tak kena. Rasa resah tiba-tiba.” Tuan Johari membetulkan kaca matanya. Dia sendiri tidak pasti apa yang hatinya cuba sampaikan sekarang.

Ting! Tong! Bunyi loceng rumah secara tiba-tiba membuatkan Tuan Johari dan Puan Intan berpandangan. Tangkas mereka berdua bangun untuk mengintai kehadiran insan yang berada di luar pagar rumah mereka. Namun hujan yang terlalu lebat menyebabkan pandangan mereka menjadi kabur.

“Awak pergi ambil payung. Saya nak tengok siapa yang datang waktu hujan-hujan macam ni.” Encik Johari sudah membuka tombol pintu rumahnya. Perasan resah tadi semakin lama semakin kuat.

“Nah abang. Mari Intan temankan sekali.” Puan Intan kembali bersama dua kaki payung di tangan. Mereka sama-sama melangkah ke luar pagar. Dalam samar-samar Tuan Johari melihat sekujur tubuh yang sudah terbaring di luar pagar rumahnya. Dia mempercepatkan langkahnya.

“Ya Allah abang, ada orang pengsan tu.” Puan Intan yang turut melihat perkara itu turut memperlajukan langkahnya.

“Allahuakhbar! Aisyah!” Tuan Johari berlari mendapatkan Aisyah. Dia langsung tidak menyangka Aisyah hadir ke rumahnya pada waktu begini.

“Aisyah! Bangun nak. Aisyah!” Berkali-kali Tuan Johari menggoncang badan Aisyah namun tiada respon yang diterima daripada gadis itu.

“Abang kita kena bawa dia ke dalam. Badan dia panas sangat ni.” Puan Intan bersuara dengan cemas. Tangannya naik menyentuh pipi Aisyah yang sudah kemerahan.

Mereka berdua bersusah payah memapah Aisyah ke dalam rumah. “Apa yang dah jadi pada kau nak? Mengapa kau boleh berkeadaan sampai begini sekali? Apa yang telah mengganggu fikiran kamu Aisyah?” Tuan Johari bersuara perlahan. Dia sungguh sedih melihat keadaan Aisyah yang tidak bermaya begitu. Dia tahu Aisyah sedang menghadapi masalah besar sekarang kerana gadis itu hadir ke rumahnya setelah beberapa tahun sudah tidak menjejak kaki ke sini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience