BAB 29

Drama Completed 10212

Tuan Johari dan Zakuan memanjat syukur mendengar tuduhan yang dibaca terhadap Dato' Suhaimi, Ikhwan dan Ariana. Akhirnya amanat yang diberikan dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat. Dengan bukti yang kukuh dibentangkan dan pengakuan bersalah daripada tertuduh yang bernama Ikhwan memudahkan lagi proses.


Zakuan dan Tuan Johari berjalan keluar dari mahkamah dengan penuh keyakinan. Akhirnya semua pesalah dipenjarakan dalam tempoh masa yang berbeza mengikut kesalahan masing-masing. Hanya Dato' Suhaimi yang menerima hukuman paling berat iaitu dipenjarakan selama lapan tahun dan denda sehingga RM20 000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun. Dato' Suhaimi didenda kerana tidak melaporkan kes kemalangan tersebut dalam masa 24 jam.


"Zakuan bersyukur sangat daddy, sebab akhirnya kita mendapatkan keadilan buat arwah ibu bapa Aisyah." Zakuan tersenyum lega.


"Betul tu. Daddy rasa terlepas satu tanggungjawab atas bahu daddy." Tuan Johari mengangguk hiba. Sudah dua minggu Aisyah pergi meninggalkan mereka dan selama dua minggu itu mereka berulang-alik ke mahkamah untuk mendengarkan kes perbicaraan itu. Sekarang mereka sudah tidak perlu ke sini kerana semuanya sudah selesai.


"Tapikan daddy, Zakuan tengok Encik Ikhwan tu nampak baik sahaja. Tengoklah setiap pertuduhan yang dibacakan semuanya dia mengaku salah. Cuma yang dua orang lagi tu masih cuba nak putar belitkan keadaan." Zakuan mendengus apabila teringatkan perangai Dato' Suhaimi dan Ariana yang tidak mahu memberi kerjasama sepanjang perbicaraan.


"Kita tak tahu keadaan dia masa itu. Mungkin dia terpaksa lakukan semuanya bersebab. Hanya dia dengan Allah sahaja yang tahu niat sebenar dia bersubahat dengan Dato' Suhaimi." Tuan Johari tidak mahu mengulas lebih. Biarlah mereka yang bersalah menanggung karma Allah di dunia. Mungkin hukuman yang diterima kini mampu meringankan dosa mereka di akhirat kelak.


Langkah kaki mereka beriringan menghampiri kereta di tempat parkir. Namun, tiba-tiba tubuh Tuan Johari terhenti apabila terpandangkan figura seseorang yang sangat familiar pada penglihatannya. Laju sahaja dia mengejar langkah gadis itu yang berada tidak jauh dari mereka. Zakuan hanya mengikut sahaja jejak daddynya.


"Ayu!" Ayu berpaling apabila mendengar namanya diseru. Dia sudah dapat menjangkakan pertemuan ini.


"Kamu Ayu kan?" Ayu hanya tersenyum mengiakan jawapan Tuan Johari.


"Kamu buat apa dekat sini?" Tuan Johari bertanya lagi. Dia tidak sangka dapat menemui gadis misteri itu di sini.


"Saya hadir untuk melihat perbicaraan ayah saya." Jelas Ayu secara ringkas.


"Oh! Kecilnya dunia. Pak cik juga berada di sini untuk selesaikan kes yang berkaitan keluarga Aisyah." Terang Tuan Johari tanpa dipinta. Dia rasa tidak salah dia menceritakan perkara itu kepada Ayu kerana Ayu merupakan sahabat Aisyah.


Zakuan yang tidak berminat untuk menyampuk perbualan mereka hanya berdiri di sisi Tuan Johari sambil membelek phone di tangan.


"Saya tahu pak cik. Pak cik yang menyerahkan bukti tersebut pada pihak polis. Saya tahu semuanya." Ayu bersuara tenang. Dia dapat melihat dengan jelas wajah Tuan Johari yang bertukar riak terkejut.


"Saya mendengar semua perbicaraan tadi." Kali ini bukan sahaja Tuan Johari terkejut tetapi, Zakuan juga sama. Terhenti tangannya yang sedang membelek phone di tangan. Setahunya hanya ahli keluarga terdekat yang boleh masuk ke dalam mahkamah mendengar perbicaraan. Bagaimana Ayu boleh turut serta bersama mereka?


"Bukan kamu.." Belum sempat Tuan Johari menghabiskan ayat, Ayu sudah memotong percakapannya.


"Saya anak kepada salah seorang yang terduduh. Encik Ikhwan ayah kandung saya. Jadi saya hadir ke perbicaraan itu untuk mendengar apa yang berlaku." Terkedu Tuan Johari mendengarkan kenyataan itu. Zakuan juga turut memandang tajam ke arah Ayu.


"Terima kasih kerana memperjuangkan kebenaran buat arwah Aisyah walaupun saya tak tahu apa hubungan pak cik dengan dia." Ayu menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan. Dia tahu mereka pasti tidak senang dengan dirinya setelah mengetahui kebenaran itu.


"Sekarang pak cik faham kan kenapa saya bertindak sedemikian sewaktu hari pengebumian Aisyah? Bukan kerana saya berdendam, tetapi saya malu dan rasa bersalah terhadap arwah." Ayu membuang pandang ke atas jalan. Suasana sepi seketika.


"Walaupun kamu ada kaitan dengan pesalah, tetapi pak cik rasa arwah Aisyah pasti masih menunggu kedatangan kamu." Tuan Johari bagaikan seorang bapa yang sedang memujuk anak gadisnya. Dia tidak marah pada Ayu kerana bukan Ayu yang melakukan hal itu, tetapi ayahnya.


Ayu tersenyum kelat. "Tak, pak cik. Aisyah yang membuang saya dari hidupnya. Saya sendiri melihat wajah Aisyah menginginkan saya menghilang dari sisinya. Saya tahu kesalahan ayah saya sedikit sebanyak membuatkan Aisyah turut membenci saya. Disebabkan itu saya mengotakan janji Aisyah untuk tidak hadir di dalam hidupnya kembali." Ya! sejak dia melangkah keluar dari pintu wad itu, dia mengotakan janjinya kepada Aisyah. Dan hatinya belum bersedia untuk mendekati kubur Aisyah kerana dia takut tidak mampu memaafkan dirinya sendiri. Aisyah pergi tanpa sempat membela arwah ibu bapanya.


"Pak cik tak tahu nak cakap apa lagi. Pak cik hormati keputusan kamu. Cuma pak cik harap suatu hari nanti kamu datang melawat kubur Aisyah sebagai seorang sahabat yang rindukan sahabatnya. Bukannya sebagai seorang pesalah."


"Insya-Allah pak cik. Saya cuba untuk ubati perasaan ini. Saya minta diri dahulu. Assalammualaikum." Ayu terus menghilangkan diri di dalam kereta. Walaupun dia sudah tenang dengan kepergian Aisyah, tetapi hatinya juga turut berasa sebak apabila terkenangkan masa lalu. Masa lalu yang dihabiskan bersama Aisyah kini hanya tinggal kenangan dalam kamus hidupnya.


Zakuan dan Tuan Johari hanya memandang kereta yang sudah berlalu pergi. Hanya asap hitam yang yang ditinggalkan kereta berwarna putih itu.

"Zakuan tak sangka rupanya keluarga sahabat baiknya sendiri yang terlibat. Macam manalah perasaan Aisyah apabila mengetahui semua itu?" Zakuan bersuara lemah. Dia dapat membayangkan kekecewaan yang dihadapi Aisyah selama ini.


"Jika kamu berada bersama Aisyah pada waktu itu, daddy yakin kamu tak akan sanggup untuk melihat keadaannya. Dia cukup terseksa dengan kebenaran yang diketahui. Tetapi yang lebih menyakitkannya adalah dia tiada tempat untuk mengadu, tiada tempat untuk berkongsi masalah. Sehinggakan dia pernah menyalahkan takdir yang tertulis buatnya." Fikiran Tuan Johari kembali terimbas tentang memori Aisyah yang pengsan di hadapan rumahnya. Sampai bila-bila dia akan mengingati detik itu.


"Sungguh cekal hati kau Aisyah. Sungguh tabah kau menghadapinya seorang diri." Zakuan berbisik sendiri. Dia tahu dirinya juga turut memberi luka yang dalam pada diri gadis itu dahulu.


"Ada fasa dimana seseorang lelah untuk menghadapi ujian hidup, memilih mengalah dan tak meminta sesiapapun memahami keadaannya. Membiarkan kehidupannya berjalan dengan sendiri, tanpa banyak bicara, tanpa banyak kata. Hingga pada akhirnya dia mengerti bahawa itulah cara Allah mengingatkannya bahawa hidup adalah tentang hati yang ikhlas, tentang ketebalan iman dalam menghadapi ujian." Tuan Johari membalas kenyataan Zakuan. Dia mendengar apa yang dibisikkan anak lelakinya itu.


Zakuan hanya tersenyum sebelum memeluk bahu Tuan Johari dan berjalan mendapatkan kereta mereka kembali. Hari ini segala-galanya dapat dirungkaikan tanpa halangan. Segala kebenaran disingkap tanpa rekaan. Dan segala kesalahan sudah ditebus dengan keadilan.



-TAMAT-

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience