BAB 27

Drama Completed 10212

Pelik? Badannya tidak berasa sakit langsung. Tangan naik meraba-raba bahagian dada dan perut mencari arah di mana peluru tersebut menembusi badannya. Zakuan membuka mata perlahan-lahan. Semakin lama matanya semakin meluas. Terlihat belakang tubuh Aisyah yang sedang berdiri di hadapannya. Tahulah Zakuan apa yang telah terjadi sekarang.


Aisyah memegang perutnya yang mula mengeluarkan cecair merah. Nafasnya dirasakan tersekat di kerongkong. Matanya sudah bergetar memandang Ariana yang masih mengacukan pistol ke arah dia dan Zakuan. Perlahan badannya tumbang apabila dirasakan dia tidak mampu lagi menanggung kesakitan akibat tembakan itu.


"Aisyah!!!" Zakuan yang bagaikan baru tersedar dari lenanya terus sahaja menyambut batang tubuh Aisyah yang hampir menyembah lantai. Dia juga terkejut apabila darah pekat itu mengenai tangannya.

"Hahahaha! Pergi mampus kau orang berdua!" Ariana bagaikan tidak mempu mengawal emosinya apabila sekali lagi dia menarik picu untuk melepaskan tembakan. Sasarannya sekarang adalah Zakuan. Dia puas melihat Aisyah yang sudah terbaring lemah. Dia puas melihat orang yang tidak disukainya itu terseksa. Lebih baik dia lenyapkan mereka berdua supaya dia dan papanya bebas dari buruan polis selepas ini.


Zakuan yang sedang memangku kepala Aisyah di ribaannya hanya mampu pasrah. Pasrah jika kali ini peluru itu mengenai dirinya.


Bang!


"Arghhh!!" Ariana menjerit kesakitan. Pistol yang dipegangnya tadi terlepas apabila dirasakan bahunya ditembusi sesuatu. Dia terduduk di atas lantai sambil mengerang perit.


"Polis! Jangan bergerak!" Kelihatan beberapa orang lelaki lengkap beruniform memasuki gudang itu. Semuanya memegang senjata api dan dihunuskan ke arah Ariana sebelum salah seorangnya bertindak menggari kedua-dua belah tangan Ariana. Mereka tidak menghiraukan keadaan Ariana yang cedera.


Tahulah Zakuan bahawa tembakan tadi bukannya dari pistol Ariana tetapi pihak polis yang datang menyelamatkan mereka. Namun, itu semua tidak dihiraukan Zakuan kerana fokusnya kini lebih terarah kepada Aisyah yang sudah berlumuran darah. Dengan cemas Zakuan membuka bajunya lalu ditekapkan pada perut Aisyah untuk menghentikan pendarahan yang banyak.


"Ya Allah, Aisyah!!!" Tuan Johari yang baru muncul bersama kelompok anggota polis yang berada di situ terus berlari mendapatkan Zakuan.


"Zakuan! Kenapa boleh jadi macam ni?!" Tuan Johari sudah duduk berlutut di tepi Aisyah. Matanya bergenang melihat wajah Aisyah yang mula bertukar pucat. Hanya mata gadis itu yang separuh terbuka memandang ke arahnya.


Tetapi soalannya hanya dibiarkan sepi. Dapat dilihat Zakuan yang masih terkejut di tempatnya sehingga tidak mampu mengeluarkan sebarang suara. Hanya tindakan anaknya itu yang menunjukkan betapa takut perasaannya melihat keadaan Aisyah sekarang.


"Kita kena bawa Aisyah ke hospital sekarang!" Tuan Johari bersuara kalut. Kedengaran seorang anggota polis memberitahu bahawa dia sudah menelefon ambulans sejak tadi tetapi disebabkan jarak hospital yang agak jauh dari gudang ini mungkin memakan masa yang agak lama untuk ambulans sampai.


Dia bersyukur kerana menjumpai Aisyah di sini. Tuan Johari membuang pandang pada Dato' Suhaimi yang baru sahaja sedar dari pengsannya. Dato' Suhaimi juga digari sebelum dibawa pergi oleh anggota polis. Tuan Johari tahu Dato' Suhaimi pasti melakukan sesuatu terhadap Aisyah untuk menghapuskan segala bukti yang masih tinggal. Oleh kerana itu, dia bertindak bijak dengan meletakkan peranti rakaman dan gps di dalam beg tangan Aisyah jikalau terjadi sesuatu kepada gadis itu. Ternyata firasatnya betul apabila Aisyah tidak memunculkan diri di balai polis hari ini. Terus sahaja dia memberitahu anggota polis tentang hal itu dan mengambil langkah untuk mengikuti arah gps sehingga dirinya dibawa ke sini.


"Ke... Kenapa?" Akhirnya terbit jua suara garau Zakuan.


"Kenapa kau selamatkan aku?!! Kenapa kau lindungi aku?!! Kenapa kau buat semua tu?!! Kenapa Aisyah?!!" Dengan penuh emosi Zakuan menyoal sambil memandang tepat pada mata Aisyah yang separuh terbuka. Setitis air mata jantannya mula mengalir keluar.


"Se... Semoga a.. apa yang sa.. saya laku.. kan hari ini mam.. mampu buatkan aw.. awak maafkan kesi.. kesilapan saya ter.. terhadap Sa.. Sarah.." Tersekat-sekat Aisyah mahu menuturkan sebaris ayat itu. Dia dapat merasakan kesakitan pada setiap bicara yang dikeluarkan. Kesakitan yang luar biasa.


"Kau tak salah. Kau tak salah Aisyah.. Aku yang patut minta maaf dekat kau! Aku yang patut berada di tempat kau sekarang! Aku yang patut menanggung kesakitan yang kau rasa! Ya Allah.. Allahuakbar.. Allahuakbar.." Zakuan tersedu-sedan mendengar kenyataan Aisyah. Mulia sungguh hati Aisyah walaupun dia sering menyakiti hati wanita itu selama ini. Bukan sahaja hati tetapi boleh dikatakan dirinya kejam terhadap Aisyah.


Aisyah tersenyum dalam kepayahan memberi isyarat bahawa dia sudah mengampuni segala kesalahan Zakuan terhadapnya selama ini. Dia gembira kerana akhirnya Zakuan memaafkan dirinya dan tidak menyimpan dendam di hati. Jika ditakdirkan Allah mengambil nyawanya hari ini, dia redha dan terima.


"Aisyah bertahan ya? Sekejap lagi bantuan sampai. Aisyah kena kuat." Tuan Johari juga sedaya upaya menahan tangisan di hadapan dua insan yang disayanginya itu. Dia tidak mahu kelihatan lemah dan ingin memberikan kekuatan kepada mereka berdua.


"Pak cik.. Ka.. kalau nyawa sa.. ya sam.. sampai di sini saha.. ja.., to.. long tegakkan ke.. adilan un.. tuk ar.. arwah mak ayah saya..." Aisyah menunjukkan sesuatu di dalam genggamannya pada Tuan Johari di sisi. Dia menyerahkan pendrive hitam itu kepada Tuan Johari. Dia tahu hanya Tuan Johari yang sanggup membantunya jika dirinya sudah tidak wujud di dunia ini nanti.


Akhirnya pecah jua empangan tangisan Tuan Johari yang ditahan sejak tadi. Dia dapat merasakan betapa sejuknya tangan Aisyah apabila kulitnya berselisih sedikit dengan kulit tangan Aisyah.


"Baik.. Pak cik janji untuk bawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan." Hanya itu yang mampu dijanjikan Tuan Johari.


"Tak! Tak.. Kau tak boleh mati! Kau kena hidup Aisyah! Kau kena bertahan! Aku banyak dosa dengan kau. Bagilah aku peluang untuk tebus segala-galanya pada kau! Kau tak boleh pergi selagi aku tidak membayar segala kekasaran dan kekejaman aku terhadap kau selama ini!" Zakuan sudah meraung menceritakan sesalan di dalam hati.


"Dengan.. ikhlas hati.. sa.. ya maaf.. kan awak.." Aisyah memandang Zakuan lama sebelum kembali mentunakkan pandangan pada Tuan Johari.


"Aisyah rasa pe.. nat.. sangat seka.. rang. Aisyah.. letih.. Boleh Aisyah re.. hat, pak cik?" Mata Aisyah sudah mula berbalam-balam. Dia dapat rasakan badannya semakin lemah. Kata-kata Aisyah membawa maksud tersirat.


"Rehatlah nak. Sudah banyak sangat kau menderita selama ini. Rehatlah dengan tenang." Tuan Johari menganguk-anggukkan kepalanya. Perlahan dia mendekatkan mulutnya pada telinga Aisyah yang dilitupi tudung. Dia mula mengucapkan kalimah Syahadah dan 'Laailahaillallah' sambil diikuti Aisyah.


Halus sekali suara Aisyah pada ketika itu. Menunjukkan bahawa gadis itu sudah tidak mampu bertahan lebih lama. Beberapa saat kemudian, tangan Aisyah yang direhatkan di atas perutnya perlahan jatuh terkulai di sisi. Mata Aisyah yang separa sedar tadi sudah terkatup rapat bersama air mata yang keluar mengalir di pipi. Aisyah kelihatan seperti tenang dibuai mimpi.


"Tak! Tak mungkin! Kau tak boleh mati Aisyah! Kau tak boleh pergi.. Kau.. Tsk." Zakuan tidak mampu meneruskan kata-kata apabila dirinya sudah mula tersedu sedan bersama jasad Aisyah yang sudah kaku. Kali kedua dia menangis seteruk itu setelah kehilangan adiknya dahulu. Kali kedua dia merasakan kehilangan yang sangat hebat dalam hidupnya. Semuanya disebabkan seorang gadis bernama Aisyah Qaisara!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience