“Betul ke jalan yang kau cakap ni Sarah?” Aisyah merenung kepekatan malam di luar kenderaan yang dipandunya. Cuak kerana sedari tadi kereta mereka tidak berselisih langsung dengan kenderaan lain apabila melalui jalan berbukit itu. Sudahlah di kiri kanan mereka sekarang merupakan kawasan hutan.
“Kalau ikutkan location yang daddy hantar, betullah jalan ni.” Sarah juga gelisah di tempat duduknya. Bunyi kilat sambung-menyambung menambahkan lagi gusar di dalam hati.
“Baik kau telefon daddy kau tanyakan kepastian. Aku takut nanti tersesat kita dekat sini. Tak pasal-pasal berkhemah kita dalam kereta malam ni.” Aisyah memberikan cadangan. Jalan apalah yang diberikan Tuan Johari padanya ini.
Sarah pantas mencari nombor telefon daddynya. Setelah menekan punat dail, dia menunggu panggilannya berjawab. Angin yang mula bertiup kencang di luar menyebabkan tangan Sarah terketar-ketar bersama mulut yang terkumat-kamit memohon perlindungan agar perjalanan mereka menjadi lancar.
“Hello daddy? Betul ke location yang daddy hantar tu?” Tanpa salam Sarah terus bertanya apabila dirasakan panggilan berjawab di hujung talian.
“Daddy baru ingat nak call Sarah tadi. Betullah tu jalan ke rumah baru daddy. Kenapa Sarah? Sarah dengan Aisyah dekat mana sekarang ni?” Jelas suara Tuan Johari sedang risau. Seingatnya, perjalanan ke rumahnya daripada rumah Aisyah cuma mengambil masa dua puluh minit, tetapi sudah empat puluh minit dia menunggu, namun batang hidung anaknya itu masih tidak kelihatan.
“Kami pun tak tahulah dekat mana sekarang. Kami ikut sahaja location yang daddy hantar ni. Tapi kawasan ni macam kawasan hutan sahaja. Kami takutlah daddy.”
“Hutan?” Tuan Johari berfikir sejenak. Sekarang tahulah dia anaknya berada di mana. Pasti Google Maps telah membawa mereka melalui jalan belakang. Jalan yang jarang digunakan orang pada waktu malam kerana jalan tersebut diiringi hutan yang agak tebal.
“Kamu bagitahu Aisyah untuk ikut sahaja jalan tu sampai hujung. Daddy akan datang jemput nanti.”
“Cepat sikit tau daddy. Daddy jangan letak telefon dulu, kami takut.” Sarah bagaikan merengek kepada Tuan Johari. Entah kenapa hatinya dapat merasakan ada perkara buruk yang bakal berlaku. Tambahan pula dengan angin yang sudah bertukar menjadi ribut di luar mencemaskan lagi perasaan Sarah dan Aisyah.
“Yelah.” Tuan Johari mencapai kunci kereta yang tersangkut di tepi pintu. Tidak sampai lima minit, bunyi enjin kereta sudah kedengaran menandakan Tuan Johari sudah bersiap-siap memulakan perjalanan. Telefonnya dibiarkan di tempat duduk penumpang di bahagian hadapan. Dia membuka loudspeaker supaya dapat mendengar suara Sarah dengan lebih jelas.
“Aisyah, kau bawa sahaja sampai hujung jalan, nanti daddy datang jemput kita ke rumah dia.” Sarah memberikan arahan seperti yang dikatakan oleh Tuan Johari.
Aisyah hanya mengangguk patuh. Dia juga sudah meneguk air liur apabila melihat keadaan di luar. Pohon-pohon tinggi yang berada di tepi jalan sudah meliuk-lentok mengikut arah angin yang bertiup kencang.
“Cepat sikit Aisyah.” Sarah sudah mula mendesak Aisyah untuk melajukan kenderaan. Sungguh dia takut sekarang.
“Ish! kau ni Sarah, kan angin tengah kuat dekat luar tu. Bahayalah kalau bawa laju-laju.” Aisyah membalas perlahan. Ikutkan hati mahu sahaja dia pecut pacuan empat roda itu, namun keadaan sekeliling mematikan niatnya.
“Alah! Bukannya ada kereta lain pun. Kau tengok sekarang, sunyi sepi sahaja jalan. Kau pecut sahaja kereta ni. Lagi cepat kau bawa, lagi cepat kita sampai rumah daddy.”
“Yelah. Yelah.” Aisyah malas mahu bertikam lidah dengan Sarah. Dia menekan pedal minyak dan kereta yang bergerak perlahan tadi mula bergerak pantas membelah jalan raya.
Tuan Johari mengulumkan senyum mendengar pertelingkahan kecil itu. Dia sudah biasa dengan celoteh Sarah dan Aisyah selama ini.
“Eh! Aisyah hati-hati!” Sarah menjerit nyaring apbila dengan tidak semena-mena sebatang dahan pokok yang agak besar jatuh betul-betul di hadapan kereta mereka.
Aisyah dengan pantas cuba mengelak daripada dahan itu, namun entah di mana silapnya kereta yang dipandu dirasakan hilang kawalan.
“Arghhh! Allahuakbar!” Sarah dan Aisyah menjerit nyaring bersama dengan kereta yang sudah berpusing di atas jalan raya. Tatkala kereta mereka sudah semakin hampir dengan pokok besar yang berada di tepi jalan, mereka hanya mampu memejamkan mata merelakan segalanya berlaku.
Dumm! Kuat bunyi dentuman tersebut cukup membuatkan burung-burung di dalam hutan terbang bertebaran melarikan diri dari kawasan itu.
Tuan Johari yang mendengar segala-galanya turut terpana di hujung talian. “Sarah! Sarah! Apa yang berlaku?! Sarah!” Tuan Johari berkali-kali melaungkan nama anaknya. Namun suasana sepi di talian sana cukup membuatkan jantungnya berdegup kencang.
“Aisyah! Hello! Aisyah! Jawab!” Tuan Johari makin melajukan keretanya apabila panggilannya tidak menerima sebarang reaksi. Walaupun dia dapat mengagak apa yang berlaku kepada dua insan itu, dia berusaha keras menepis segala kemungkinan yang telah terjadi. ‘Tak. Tak mungkin! Sarah dan Aisyah tak apa-apa. Mereka selamat sahaja.’ Tuan Johari cuba menyedapkan hatinya.
KELOPAK mata perlahan-lahan dibuka. Terpejam celik matanya cuba melihat keadaan sekeliling. Tangan dibawa memegang dahi yang terasa berdenyut. Darah! Cecair merah itu dipandang dengan muka penuh tanda tanya. Sungguh fikirannya tidak dapat mencerna apa yang sedang berlaku sekarang. Pantas pintu kereta dibuka dan Aisyah mula melangkah keluar daripada keadaan yang dirasakan menyesakkan dada itu. Terhuyung-hayang badannya berjalan ke arah jalan raya yang gelap gelita. Telinganya berdengung dengan kuat menambahkan lagi sakit di kepala.
Aisyah kembali memejamkan mata apabila dirasakan ada cahaya lampu yang memanah tepat ke dalam anak matanya. Dia terduduk di atas jalan raya.
“Aisyah! Ya Allah apa yang berlaku?” Tuan Johari yang baru tiba di tempat kejadian hanya membiarkan cahaya lampu keretanya menerangi keadaan sekeliling. Dia bersyukur kerana akhirnya dapat menemui mereka di sini. Laju sahaja kakinya di bawa mendapatkan Aisyah yang sudah duduk berteleku di tengah jalan.
“Aisyah! Mana Sarah?” Tuan Johari menggoncangkan kedua-dua bahu Aisyah. Aisyah kelihatan blur dengan apa yang berlaku. Perbuatan Tuan Johari terhenti apabila dia terpandangkan darah yang sudah penuh mengalir di dahi dan muka Aisyah.
“Ma.. mana Sa.. Sarah, Aisyah?” Bergetar suara Tuan Johari menyoalkan hal itu.
Aisyah bagaikan terkena renjatan elektrik apabila mendengarkan nama Sarah disebut. Pantas kepalanya dibawa menghala ke arah kereta mereka yang sudah remuk di tepi jalan. Tanpa menjawab soalan Tuan Johari, Aisyah bangun daripada duduknya. Dia yakin Sarah masih berada di dalam kereta.
“Call ambulance pak cik! Call ambulance!” Aisyah terus berjalan menuju ke arah keretanya kembali. Beberapa kali dirinya terjatuh ke atas tar akibat pergelangan kakinya yang mulai sakit. Namun, dia masih berusaha untuk mendapatkan Sarah dan ingin melihat keadaan sahabatnya itu.
Tuan Johari tanpa membuang masa kembali mendapatkan telefonnya di dalam kereta. Dia membuat panggilan kecemasan dan memberitahu lokasi mereka berada sekarang. Sempat dia berpesan supaya mereka segera datang ke sini kerana terdapat kemalangan serius yang berlaku.
“Sarah! Bangun Sarah!” Terhenti degupan jantung Aisyah seketika apabila dilihatnya Sarah yang terkulai di tempat duduk.
“Sarah! Jangan takutkan aku. Bangun Sarah!” Aisyah sudah menangis teresak-esak sambil cuba mengejutkan Sarah. Suaranya diperkuatkan lagi.
“Ai..Aisyah?” Lemah suara itu membalas sahutan Aisyah. Sarah memandang Aisyah dengan penuh rasa sayu. Dapat dirasakan badannya mengalami kesakitan yang tidak terperi. Dia tidak mampu bergerak langsung daripada tempat duduknya sekarang.
“Jangan risau Sarah. Aku akan selamatkan kau. Mari.” Aisyah cuba mengeluarkan Sarah daripada tempat duduk penumpang namun, badan Sarah bagaikan tidak dapat bergerak dari situ. Tahulah Aisyah bahawa kaki Sarah tersepit akibat kereta yang sudah remuk kerana melanggar pokok tadi.
“Sa.. Sakit.” Sarah merintih. Kakinya sakit apabila Aisyah cuba menariknya keluar.
“Allahuakbar Sarah!” Tuan Johari yang baru muncul di situ turut terkedu melihat keadaan Sarah. Anaknya itu kelihatan tidak berdaya dan terdapat tompokan darah di baju dan seluarnya. Matanya berkaca kerana tidak sanggup melihat permandangan itu.
“Pak cik.. Tolong saya keluarkan Sarah dari situ.” Aisyah tersedu-sedan meminta pertolongan daripada Tuan Johari.
Tuan Johari sedaya upaya menguatkan kudratnya untuk mengeluarkan Sarah dari situ. Dashboard di bahagian penumpang yang menindih kaki Sarah cuba diangkat namun tidak bergerak walau seinci pun. Air mata yang sudah mengalir di pipi dilap dengan rakus. ‘Ya Allah kau selamatkanlah anak aku.’ Tidak henti-henti hatinya berdoa kepada Tuhan supaya Sarah selamat dikeluarkan. Dia mula meliarkan pandangan ke sekeliling mencari perkara yang boleh dijadikan alat untuk mengeluarkan kaki Sarah yang tersepit. Tiba-tiba matanya tertancap pada percikan api di bahagian enjin. Laju sahaja dirinya dibawa ke situ. Hidungnya mula menangkap bau tengik seakan-akan minyak petrol.
“To.. Tolong aku Aisyah. Ba.. Bawa aku keluar dari sini. A.. Aku takut.” Nafas Sarah sudah tercungap-cungap. Sejuk tangannya memegang tangan Aisyah di sisi.
“Walau apa pun yang terjadi aku akan selamatkan kau. Kau jangan risau Sarah. Aku ada dekat sini.” Aisyah mengangguk-anggukkan kepalanya cuba meyakinkan Sarah. Dia kembali menarik Sarah dengan lebih kuat berharap sahabatnya itu dapat keluar dari kereta yang sudah tidak berupa itu. Tetapi segala usahanya bagaikan tidak memberi apa-apa impak.
“Kita kena cepat Aisyah. Kereta ni dah nak meletup!” Tuan Johari bersuara cemas. Dia cuba menolak kerusi yang diduduki Sarah ke belakang, tetapi hasilnya masih sama. Tidak bergerak langsung! Aisyah yang mendengar perkara itu terus menggigil tubuh badan. Dia menggigit bibirnya menahan sebak di dada.
“Cepatlah!” Tuan Johari menjerit melepaskan kemarahannya. Tangannya masih ligat menolak kerusi Sarah sementara Aisyah yang sudah menangis teresak-esak cuba menarik Sarah keluar dari kereta. Sesekali mata Tuan Johari melihat ke arah api yang kian marak di enjin kereta. Dia tahu kereta itu bakal meletup bila-bila masa sahaja.
“Ting.. Tinggalkan Sarah.” Kata-kata itu cukup menghiris hati Tuan Johari dan Aisyah. Tidak mungkin mereka meninggalkan Sarah begitu sahaja.
“Apa kau cakap ni Sarah? Tak mungkin aku akan tinggalkan kau seorang diri dekat sini. Kau sabar eh, aku cuba tolong kau lagi.” Aisyah mengelap air matanya. Dia takkan sesekali tinggalkan Sarah. Tak akan!
“Daddy..” Sarah mengusap lembut pipi Tuan Johari bersama senyuman. Dia tahu masanya sudah tiba. Dia dapat rasakan semua itu.
“Tak, Sarah. Daddy akan selamatkan Sarah. Daddy akan bawa Sarah pulang ke rumah baru kita. Rumah family kita.” Tuan Johari mencium dahi Sarah berkali-kali. Cuba menyalurkan kekuatan kepada anak gadisnya itu.
“Tinggalkan Sarah. Daddy masih ada tanggungjawab yang perlu daddy laksanakan. Tanggungjawab kepada mummy Intan dan juga family kita.” Sarah juga turut menitiskan air mata.
“Tsk..” Tehinjut-hinjut bahu Tuan Johari menahan tangisan. Dia mencamtumkan dahinya bersama dahi Sarah. Kedua-dua pipi Sarah dipegang kemas. Tidak henti-henti dia menghadiahkan kucupan kasih di pipi kiri dan kanan Sarah.
“Pergi daddy. Pergi dari sini.” Sarah menghalau sekali lagi.
“Sarah hadiah yang paling indah dalam hidup daddy. Daddy sayang Sarah. Selamat hari lahir sayang.” Tuan Johari memeluk anaknya erat.
Menangis Sarah mendengarkan ucapan daripada bapanya itu. Mungkin inilah kali terakhir dia menyambut hari lahirnya.
“Tinggalkan Sarah. Pergi dari sini!” Keras Sarah bersuara apabila dilihat api kian menjulang tinggi.
“Maafkan daddy sayang. Maafkan daddy.” Sejurus Tuan Johari berkata begitu, dia menarik tangan Aisyah mengikuti langkahnya menjauhi Sarah.
“Tak, pak cik. Kita tak boleh tinggalkan Sarah. Kita kena selamatkan Sarah!” Aisyah meronta-ronta melepaskan genggaman Tuan Johari dari tangannya. Dalam samar-samar dia dapat melihat Sarah yang tersenyum manis ke arahnya.
“Kita kena selamatkan Sarah pak cik! Lepaskan saya! Saya nak tolong Sarah.” Aisyah menangis dan merayu sambil cuba mengeraskan badan untuk menghentikan perbuatan Tuan Johari yang sudah mengheretnya. Tetapi Tuan Johari bagaikan tidak menghiraukan dirinya.
Dengan kudrat yang bersisa Aisyah menarik tangannya sekuat hati. Terlepas genggaman Tuan Johari daripada pergelangan tangannya. Aisyah terus berlari untuk mendapatkan Sarah semula. Setelah semakin hampir, dapat dirasakan dirinya dipeluk dari belakang dan ditarik oleh Tuan Johari.
“Saya nak selamatkan Sarah! Lepaskan saya!” Aisyah menjerit nyaring. Matanya masih tidak berganjak daripada diri Sarah yang sudah memejamkan mata di tempatnya.
Bumm! Letupan yang sungguh kuat itu cukup membuatkan Aisyah dan Tuan Johari tercampak daripada tempat mereka berdiri. Tertiarap mereka di atas jalan raya. Dapat dirasakan dahi Tuan Johari pedih kerana terkena serpihan-serpihan yang melayang daripada letupan itu.
“Sarah..” Lemah suara Aisyah menyeru nama Sarah sambil badannya cuba mengengsot ke arah kereta Sarah yang sudah marak dijilat api. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Darah yang tidak berhenti keluar dari dahinya tadi membuatkan kepala Aisyah kembali berpinar-pinar dan matanya mula terpejam celik. Dia memejamkan mata dan perlahan telinganya menangkap bunyi siren bomba dan ambulance yang kuat. Perlahan-lahan Aisyah hanyut di dalam tidur yang sangat lena. Tidur yang dia tidak mahu sama-sekali dikejutkan untuk menghadapi realiti yang mendatang. Tidur yang mampu melupakannya daripada tragedi ini buat seketika.
Share this novel