Selendang yang melilit kepala sesekali bergerak lembut mengikut alunan angin yang bertiup syahdu pada petang itu. Langkah kaki diatur tanpa mempedulikan tanah merah yang melekat di kasut seliparnya. Tujuannya hanya satu. Pusara yang terletak di tengah-tengah kawasan tanah perkuburan Islam itu didekati. Lama dia berdiri memandang kubur yang dikelilingi batu bata bewarna putih itu. Dalam renungan matanya seolah-olah dapat menembusi lapisan tanah yang melindungi jasad yang sudah tidak bernyawa didalam kubur tersebut. Kubur itu kelihatan bersih dan terjaga daripada semak samun yang tumbuh meliar di sekitarnya. Aisyah pasti bukan dia seorang sahaja yang sering melawat pusara ini. Tangan mula menyapu debu-debu tanah yang melekat pada batu nisan putih sebelum perlahan bibir bergerak menyebut nama itu.
“Nur Sarah Farhana..” Setelah beberapa minit dia meneliti kubur tersebut, Aisyah mula mengalunkan bacaan surah Yasin untuk disedekahkan kepada si mati yang sudah tenang bersemadi di sana. Hanya itu amalan yang mampu dia kirimkan mengiringi roh Sarah yang sudah kembali disisi-Nya. Usai mendoakan kesejahteraan kepada Sarah, Aisyah masih tidak berganjak daripada tempat duduknya.
“Kau tahu Sarah? Dua hari lepas aku dipertemukan dengan seorang lelaki bernama Zakuan. Aku tak tahu siapa dia, apa tujuan dan urusan dia mencari aku sampailah dia menyebut nama kau.” Aisyah berjeda seketika.
“Aku boleh nampak Sarah.. Mata dia penuh dengan dendam dan perasaan marah bila dia bercakap dengan aku. Sampailah dia bawa aku ke rumah banglonya. Dia tanya aku tentang kemalangan yang membabitkan kau lima tahun lepas. Aku tak tahu jawapan yang bagaimana harus aku sampaikan padanya. Keadaan aku masa tu ibarat detelan mati emak diluah mati bapak. Tapi aku tetap berterus-terang dengan dia. Aku nampak yang dia sayangkan kau sangat-sangat Sarah. Sampaikan dia sanggup bertindak sekejam itu dengan aku..” Bagaikan jasad Sarah sedang berdiri dihadapannya, Aisyah menceritakan segala-galanya disitu. Tiada air mata dan esakan yang keluar kali ini, hanya kisah hidupnya yang dikongsikan dengan sahabatnya kala itu.
“Aisyah..” Aisyah pantas memanggungkan kepala melihat empunya suara. Hatinya resah terpandangkan wajah yang sedang tersenyum itu. Segala kata yang disusun untuk dikongsikan bersama Sarah hilang pergi begitu sahaja.
“Lama Aisyah tak datang sini. Aisyah sihat?” Tuan Johari memandang wajah lembut Aisyah yang kalut berdiri dihadapannya.
“Pak cik.. Saya sihat, alhamdulillah. Maaf sebab saya tak maklumkan pada pak cik untuk datang ke sini.” Aisyah bermain-main dengan hujung tudungnya.
“Eh! Tak apa. Pak cik tak kisah pun. Pak cik faham. Pak cik tahu kamu mesti rindukan Sarah.” Tuan Johari memandang pusara anaknya dan wajah Aisyah bersilih ganti.
“Saya datang sekejap sahaja pak cik. Saya minta diri dulu ya. Assalamualaikum.” Cepat-cepat Aisyah ingin menghilangkan diri dari situ. Dia tidak menyangka dia bakal berjumpa dengan Tuan Johari di sini. Hatinya terusik apabila melihat parut panjang yang menghiasi dahi Tuan Johari.
“Tunggu dulu Aisyah. Sejak pemergian Sarah, kamu jarang datang rumah pak cik.” Tuan Johari menahan langkah Aisyah. Salam yang diberikan Aisyah dibiar sepi. Lama dia tidak bertemu dengan sahabat anaknya itu.
“Saya ada banyak urusan yang perlu diselesaikan. Dan saya juga tiada sebab untuk ke situ lagi.” Aisyah membalas lembut. Suaranya bergetar di hujung ayat. Dia mula memusingkan badan sebelum melangkah meninggalkan Tuan Johari di situ.
“Jangan salahkan diri kamu Aisyah. Semua yang terjadi adalah kehendak-Nya. Pak cik tahu kamu masih salahkan diri kamu, sebab tu kamu jarang datang rumah pakcik. Pak cik sendiri nampak dengan mata kepala pak cik apa yang kamu dah buat malam tu. Semua ni bukan kehendak kamu. Kamu dah cuba sehabis baik. Pak cik yakin Sarah pun tak suka melihat kamu berkelakuan begini.” Tuan Johari cuba memujuk hati Aisyah. Sedih dia melihat keadaan Aisyah yang tidak seceria dulu. Angin yang bertiup kencang secara tiba-tiba menampar pipinya seolah-olah mengiakan setiap penyataannya sebentar tadi.
Aisyah statik berdiri di tempatnya apabila mendengar bicara dari Tuan Johari. ‘Tapi aku punca semua itu terjadi.’ Aisyah menjerit di dalam hati. Tanpa menoleh memandang Tuan Johari, Aisyah berlalu pergi meninggalkan tanah perkuburan itu. Dia tahu perbuatannya agak kurang ajar namun cukuplah dia dihantui rasa bersalah apabila berhadapan dengan orang tua itu.
Tuan Johari memandang sayu kepergian Aisyah. Dia sudah menganggap Aisyah seperti anaknya sendiri. Sukar untuk dia jernihkan balik keadaan mereka seperti dahulu. Lima tahun tidak cukup untuk mengubati hati Aisyah yang sarat dengan rasa bersalah. Tuan Johari akhirnya mencapai surah Yasin yang ditinggalkan Aisyah di tepi pusara sebelum membukanya.
Share this novel