BAB 23

Drama Completed 10212

Aisyah perlahan-lahan membuka kelopak mata apabila dirasakan tangannya digenggam erat seseorang. Dia membawa pandangannya ke sisi. Pantas sahaja tangannya ditarik apabila seraut wajah itu menyapa matanya.

“Aisyah, kau tak apa-apa?” Ayu cuba tersenyum manis walaupun dia cukup terasa dengan perbuatan Aisyah sebentar tadi. Dilihatnya Aisyah sedang cuba untuk bangun dari pembaringannya. Ayu cuba untuk membetulkan bantal di belakang badan Aisyah supaya sahabatnya itu dapat duduk dengan selesa.

“Aku tak sangka yang kau demam teruk sampai begini. Tadi sewaktu aku telefon kau, Kak Milah bagitahu yang kau kena drip air sebab badan kau lemah sangat. Sebab tu aku datang ke sini untuk lihat keadaan kau.” Ayu bercerita tentang kehadirannya di situ tanpa dipinta. Dia tahu Aisyah melancarkan mogok untuk tidak mahu bercakap dengannya apabila soalannya tadi hanya dipandang sepi. Betapa terkejutnya dia sewaktu panggilannya disambut dengan berita tentang keadaan Aisyah yang diceritakan oleh seorang perempuan tua bernama Kak Milah. Tidak sempat pula dia bertanya gerangan perempuan itu kerana fikirannya lebih risaukan Aisyah sebentar tadi.

Aisyah membuang pandang kepada dinding putih di hadapannya. Entah mengapa hatinya sakit apabila mendengar suara itu. Seperti hatinya dicincang lumat apabila dia melihat wajah Ayu.

“Aku tahu kehadiran aku dekat sini mungkin tidak disukai kau. Tapi aku cuma mahu lihat keadaan kau di sini. Hati aku tak tenang selagi aku tak nampak kau depan mata kepala aku sendiri.” Ayu masih lagi berusaha untuk berbicara dengan Aisyah. Dia tidak betah Aisyah terus-terusan mendiamkan diri begitu.

“Pergi.” Perlahan sahaja Aisyah bersuara.

“Apa?” Ayu bagaikan tidak percaya apa yang diungkapkan Aisyah.

“Pergi dari sini. Aku tak perlukan kau.” Tanpa nada Aisyah mengungkapkan semua itu. Hatinya bagaikan kosong dan tidak berperasaan.

Terkedu Ayu di tempat duduknya. Inilah pertama kali Aisyah melayannya dengan penuh dingin. Pertama kali Aisyah tidak senang dengan kehadirannya di sisi. Tahulah dia sekarang Aisyah sudah mula membenci dirinya akibat daripada perbuatan ayahnya dahulu.

“Aku tahu kau masih marahkan aku, Aisyah. Tapi adilkah aku terima kebencian kau sedangkan kesalahan itu adalah perbuatan daripada ayah aku sendiri. Bukan aku yang minta semua ini terjadi.” Ayu bangun berdiri di hadapan Aisyah. Dia mahu Aisyah melihat dirinya ketika ini.

“Kau anak dia.” Tanpa emosi Aisyah membalas.

“Jadi disebabkan itu aku juga harus menerima tempias kemarahan kau? Disebabkan itu aku perlu tanggungg akibat yang sama sedangkan aku juga tidak bersetuju dengan perbuatannya? Adilkah begitu?” Ayu sudah mula beremosi. Dia menarik nafas cuba menahan sakit di hati. Dia tahu dalam hal ini pihaknya sudah membuat kesilapan kepada Aisyah. Jadi Aisyah mempunyai hak untuk bersikap begini.

“Dan tidak adil juga bagi aku untuk terus berkawan dengan kau. Kau anak kepada orang yang bersubahat dengan pembunuh ibu dan bapa aku. Aku rasa bagaikan aku mengkhianati mereka apabila berkawan dengan kau. Walaupun bukan kau yang melakukan semua itu, tetapi untuk bersahabat dengan orang yang ada darah daging dengan ‘dia’ adalah tidak sama-sekali.” Aisyah memandang tepat ke dalam anak mata Ayu. Dia yang dimaksudkan adalah Dr. Ikhwan.

Setitis air mata Ayu jatuh jua ke pipi mendengarkan kenyataan itu. Luluh hatinya apabila Aisyah bagaikan keras hati untuk memaafkannya. Sedarlah Ayu bahawa kesilapan Encik Ikhwan tidak mampu meruntuhkan kemarahan Aisyah walaupun dengan tali persahabatan yang dibina selama ini. Dia tidak salahkan Aisyah. Dirinya memang layak dilayan begitu.

“Aku minta maaf bagi pihak ayah aku. Aku minta maaf dengan segala perbuatannya kepada arwah ibu bapa kau. Aku minta maaf. Andai waktu boleh diputarkan, aku pasti akan cuba untuk membetulkan kesilapan dia waktu itu.” Ayu menunduk memandang lantai.


“Aku maafkan kau, tetapi aku tak boleh lupakan segalanya. Aku juga manusia, aku takut layanan aku kepada kau berubah jika kita terus berkawan. Buanglah aku dari hidup kau. Lupakan semuanya tentang aku, sebab aku juga akan buat perkara yang sama terhadap diri kau.” Aisyah mengetap gigi. Rahangnya bergerak-gerak menahan rasa di hati. Dia rasa itulah tindakan yang paling tepat sekarang.

“K..Kau pasti dengan keputusan kau?” Bergetar suara Ayu bertanyakan hal itu. Tangannya menggenggam kuat skirt labuh yang dipakainya. Hatinya sedih mendengar permintaan itu keluar daripada mulut Aisyah. Dia berharap Aisyah menarik kembali keputusannya.

“Pergilah dari hidup aku. Sejurus kau melangkah keluar dari pintu tu, kau dengan aku tiada hutang apa-apa. Kau kembali dengan kehidupan kau dan aku akan kembali dengan kehidupan aku. Anggaplah perkenalan kita selama ini hanyalah kenangan pahit yang pernah hadir dalam hidup kau. Lupakan persahabatan ini.” Aisyah bersuara nekad. Dia menunding ke arah pintu wad biliknya.

Sepi menghuni ruang bilik itu seketika. Kedua-duanya diam bersama gelojak perasaan di hati masing-masing.


“Baiklah. Aku akan ikut kemahuan kau.” Akhirnya Ayu bersuara. Dia mengelap tangisannya yang sudah lencun di pipi. “Terima kasih kerana sudi menjadi kawan baik aku. Terima kasih kerana sanggup berkorban segala-galanya demi aku. Terima kasih juga sebab sudi dengar segala masalah aku selama ini. Kau satu-satunya kawan terbaik yang pernah aku ada sejak lahir, tetapi mungkin persahabatan kita tidak kekal lama. Aku minta maaf sekali lagi jika sepanjang kita berkawan, kau ada berkecil hati dengan aku dan aku maafkan segala kesalahan kau sebelum ini.” Ayu tersenyum hambar. Sungguh dia tidak sanggup mengucapkan semua itu. Namun, demi menghormati keputusan Aisyah dia perlu lakukannya.

“Ini.” Ayu mengeluarkan sesuatu daripada beg tangannya. “Segala bukti tentang kemalangan ibu bapa kau dan perbualan antara ayah aku dan Dato’ Suhaimi semuanya terakam di dalam ini.” Ayu meletakkan pendrive hitam itu di atas meja di sisi katil.

Aisyah hanya memandang sekilas sebelum kembali membuang pandang ke arah lain. Dia tidak terkejut langsung dengan semua itu. Hatinya bagaikan mati mahu memberikan sebarang reaksi.

“Sekarang keputusan di tangan kau. Ikut suka kau mahu berbuat apa sebab apa sahaja keputusan kau lepas ini aku akan sokong. Tegakkan hak kau Aisyah. Tegakkan keadilan untuk arwah ibu dan ayah kau. Aku sentiasa ada di sisi kau.” Berat terasa nafas yang dihembus. Ayu lega kerana sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat walaupun untuk kali terakhir. Dia berharap tindakannya itu adalah betul.

“Selamat tinggal Aisyah.” Perlahan-lahan Ayu melangkah mendekati pintu wad. Sebelum dia menolak pintu itu, dia menoleh ke belakang ingin melihat wajah Aisyah. Tiada reaksi sedih mahupun gembira yang ditunjukkan Aisyah. Tahulah dia Aisyah sudah bersedia dengan perpisahan ini. Ayu tersenyum sendiri sebelum cepat-cepat menghilangkan diri. Dia takut tangisannya pecah kembali jika berlama-lama di situ.

“Maaafkan aku Ayu. Keadaan memaksa aku lakukan semua ini.” Aisyah berbisik sendiri. Dia mencapai pendrive yang ditinggalkan Ayu sebentar tadi. Telefon bimbit juga dicapai sebelum dia mula menghubungi seseorang.

“Assalammualaikum pak cik, saya ada perkara nak minta tolong.” Aisyah menarik nafas panjang sebelum mula membuka bicara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience