BAB 13

Drama Completed 10212

“Kau kenal dengan daddy?” Zakuan menyoal Aisyah yang sedang ralit menyiram pokok bunga di taman mini yang terletak di belakang rumah.

“Tak.” Sepatah Aisyah menjawab. Dia perlu merahsiakan perkara itu daripada Zakuan.

“Betul? Kau jangan cuba-cuba nak tipu aku.” Zakuan mula mengecilkan matanya memandang Aisyah.

Aisyah hanya mengangguk malas. Dia tidak suka Zakuan mendesaknya begitu. Pili air ditutup sebelum dia mula menggulungkan getah paip lalu diletakkan di satu sudut. Aisyah mahu cepat-cepat beredar dari situ.


Zakuan seakan-akan dapat membaca gerak geri Aisyah yang seperti ingin melarikan diri. Pantas dia menghadang gadis itu dengan tangannya. Dia masih ada perkara yang mahu ditanya kepada Aisyah.

“Kalau betul kau tak kenal dengan daddy, kenapa tiga hari lepas aku nampak kau macam mesra sahaja bercakap dengan dia. Macam orang yang dah lama kenal.” Zakuan menjongketkan sebelah kening memandang Aisyah.

“Tuan Johari cuma mahu berkenalan dengan saya sebab saya pekerja baru di sini.” Untuk kesekian kali Aisyah mencipta alasan. ‘Ya Allah maafkan hambaMu ini yang sudah banyak berbohong. Sesungguhnya aku lakukan semua itu untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.’

“Baiklah kalau kau cakap macam tu. Kalau aku tahu kau cuba cucuk-cucuk daddy cerita apa yang aku dah buat dekat kau selama ni, siap kau!” Zakuan memberi amaran keras.

“Kalau encik rasa apa yang encik lakukan kepada saya itu betul, buat apa encik nak takut?” Aisyah menyindir Zakuan dengan berani. Makin lama dia makin bosan melayan lelaki itu. Kalaupun dia mendiamkan diri, dirinya tetap sahaja menjadi tempat untuk melampiaskan amarah. Jadi sama ada dia diam atau tak, dia masih menanggung akibat yang sama.

“Berani kau!” Zakuan menunjal kuat kepala Aisyah sehingga terdorong tubuh itu beberapa langkah ke belakang.

“Mungkin aku dah banyak bagi muka dekat kau sampaikan kau berani melawan aku sekarang.” Tangan Zakuan bertindak mencengkam rambut Aisyah yang berlapikkan tudung. Dia sudah tidak mampu mengawal kemarahannya.

“Sakit encik..” Aisyah dapat merasakan rambutnya yang bagaikan mahu tercabut dari akar akibat tindakan Zakuan itu.

“Sakit? Tahupun sakit. Waktu kau kurang ajar dengan aku tadi kau tak fikir pula sakit yang kau bakal terima!”

“Lepaskan saya encik. Lepaskan.” Berkali-kali Aisyah merayu kepada Zakuan. Namun rayuannya itu bagaikan tidak terkesan langsung pada lelaki itu yang sudah menggila.

“Kau dengar sini betina. Kalau kau berani lawan cakap aku lagi lepas ni, aku tak teragak-agak nak tampar mulut kau!” Zakuan menguatkan lagi cengkamannya pada rambut Aisyah. Dia tidak peduli tentang peringatan perempuan itu sebelum ini yang tidak suka disentuh.

Terpejam celik mata Aisyah menahan kesakitan yang mula mengalir di segenap tubuhnya. Sungguh dia tidak tahan menanggung kesakitan itu. Dia takut apabila terpandangkan mata Zakuan yang sudah merah memandangnya. “Ya Allah, hilangkanlah kesakitan yang menimpa diriku saat ini. Aku berlindung di bawah naunganMu, Tuhan sekalian alam.” Aisyah hanya mampu berdoa untuk melawan cengkaman Zakuan yang dirasakan semakin kejap.

Terlepas pegangan Zakuan apabila telinganya mendengar kalimah ‘Allah’ keluar daripada mulut Aisyah. Dia bagaikan terkedu di tempatnya. Wajahnya yang bengis tadi perlahan-lahan menjadi kendur. Hatinya tiba-tiba diserbu rasa takut yang luar biasa. Perlahan-lahan matanya turun memandang tangannya yang mencengkam rambut Aisyah sebentar tadi. ‘Apa aku dah buat ni? Ya Allah, aku betul-betul tak sedar.’ Zakuan mula merintih di dalam hati. Tangannya naik meraup wajah yang sudah berpeluh. Matanya kembali ditunakkan kepada Aisyah yang sudah terduduk lemah di atas tanah.


“Sa.. Saya minta maaf sebab me.. melawan cakap encik tadi. Saya tak pa.. patut per.. persoalkan apa yang encik buat ke.. kepada saya selama ni sebab saya me.. memang layak terima semua itu. Tapi saya min.. minta tolong sa.. sangat-sangat dengan encik untuk hor.. hormati saya sebagai perempuan yang ha.. haram untuk disentuh jika kita ti.. tiada apa-apa ikatan.” Bersusah-payah Aisyah bersuara. Kepalanya terasa berdenyut-denyut akibat daripada habuan yang diterimanya tadi.

‘Maafkan aku. Maafkan aku Aisyah. Aku tak sangka aku boleh bertindak sejauh itu.’ Zakuan menjerit di dalam hati. Untuk pertama kalinya dia berasa dirinya kejam kerana telah memperlakukan Aisyah sebegitu. Untuk pertama kalinya dia menyesal kerana telah menyakitkan tubuh gadis itu. Untuk pertama kalinya dia didatangi dengan perasaan simpati melihat keadaan Aisyah. Apabila matanya bersabung dengan anak mata Aisyah, Zakuan tidak lagi mampu membendung rasa bersalahnya. Pantas dia berlari masuk ke dalam rumah meninggalkan Aisyah.

Aisyah hanya memerhati belakang badan Zakuan yang sudah hilang dari pandangan. Perlahan-lahan dia cuba untuk berdiri dengan kudrat yang masih tersisa. Namun kakinya bagaikan tidak mahu memberi kerjasama. Akhirnya Aisyah terduduk kembali di atas rumput basah yang terkena air siramannya tadi. Semakin lama pandangannya bertukar menjadi kabur sebelum setitis air mata jatuh ke atas ribanya jua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience