BAB 6

Drama Completed 10212

“Aku nak kau mop rumah ni dalam masa setengah jam. Termasuk lantai tingkat atas sekali. Pastikan tiada satu habuk pun yang melekat dekat lantai ni.” Zakuan memberi arahan sebelum tubuhnya hilang di balik bilik kerjanya.

“Dia ingat aku robot ka apa? Dahlah rumah ni besar, dengan barang penuh lagi.” Aisyah mengeluh perlahan. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil memerhatikan keluasan rumah yang bagaikan istana itu. Dia tahu lelaki itu sengaja ingin menyeksanya apatah lagi apabila mendengar Zakuan melarang keras Kak Milah daripada membantunya. Aisyah segera mencapai batang mop dan baldi yang terletak di tepi pintu bilik air. Tanpa berlengah, Aisyah memulakan tugasannya.

“Ergh..” Aisyah meregangkan ototnya yang terasa sengal. Sudah tiga puluh minit berlalu, tetapi dia hanya dapat mengemop lantai tingkat bawah rumah itu sahaja.

Bunyi pintu dibuka ditingkat atas membuatkan Aisyah cemas sendiri. Derap kaki kedengaran menuruni tangga sebelum berhenti betul-betul dihadapannya.

“Kerja senang macam ni pun kau tak boleh nak selesaikan. Hari pertama dah malas. Terhegeh-hegeh macam siput. Kalau macam ni cara kau bekerja, sampai tahun depan pun belum tentu siap!” Zakuan memarahi Aisyah yang berdiri statik di depan tangga. Kecil sahaja Aisyah pada pandangannya.

“Aku bagi kau masa lagi tiga puluh minit. Kalau kau tak sempat juga, tahulah nasib kau lepas ni. Oh ya! Aku nak kau mop semula ruangan ni sebab aku rasa macam lantai ni masih kotor dan melekit bila aku pijak.” Dengan selambanya Zakuan menuang air kopi yang dibancuh Aisyah pagi tadi ke lantai. Dia tersenyum sinis ke arah Aisyah sebelum berlalu keluar.

Bulat biji mata Aisyah menyaksikan perbuatan tak bertamadun daripada Zakuan. Ringan sahaja mulutnya ingin memaki Zakuan, tetapi dia telan kata-katanya dalam hati. Aisyah cuba menenangkan diri apabila memikirkan dia berhutang dengan lelaki itu. Hutang nyawa! Kaki kembali dilangkah untuk menyambung kerja.

Akhirnya, Aisyah berjaya menyiapkan tugasannya dalam masa yang ditetapkan. Setelah menyimpan segala peralatan, Aisyah mencari kelibat Zakuan di luar rumah. Dilihatnya Zakuan santai membaca surat khabar di meja batu.

“Encik? Saya dah selesaikan tugas saya. Ada apa-apa lagi yang saya perlu buat?” Suara Aisyah menyedarkan Zakuan.

“Kau ni tak ada otak ka apa? Sedarlah diri tu orang gaji, kalau dah masuk tengah hari rambang macam ni mestilah aku nak makan. Jadi, pergi tolong Kak Milah sediakan apa yang patut dekat dapur!” Zakuan meninggikan suara.

“Ba.. baik encik.” Aisyah hanya menurut sambil kakinya dibawa ke dapur. Dia tidak mahu menaikkan kemarahan Zakuan yang selalu dengan panas barannya itu. Nanti lain pula jadinya.

“Kak Milah nak masak apa?” Aisyah menegur Kak Milah yang dilihat sedang membasuh ikan di sinki.

“Eh! Kamu buat apa dekat sini? Kalau kamu nak makan, akak tak masak lagi. Tapi lauk yang pagi tadi adalah kalau kamu nak alas perut kamu.” Kak Milah membalas lembut.

“Bukan, Kak Milah. Encik Zakuan suruh saya tolong Kak Milah masak untuk tengah hari.” Aisyah mengambil tempat di meja yang terdapat di ruangan itu. Tangannya laju mencapai pisau dan bawang yang sudah diletak di situ. Kalau bab memasak ni, Aisyah bukannya reti sangat. Biasalah dah selalu hidup menyendiri, jadi Aisyah jarang memasak di rumah. Dia lebih suka membeli makanan di luar.

“Dah dua kali akak nampak kamu dekat sini, tapi akak masih tak tahu nama kamu apa.” Kak Milah duduk menghadap Aisyah di meja.

“Nama saya Aisyah Qaisara. Akak boleh panggil saya Aisyah sahaja.” Aisyah tersenyum nipis. Hatinya lega apabila ada insan yang boleh dibuat teman di rumah itu.

“Cantik nama kamu. Secantik orangnya.” Kak Milah memuji. Sejurus kemudian Kak Milah mendekatkan kerusinya dengan kerusi Aisyah. Ada perkara yang dia nak tanyakan kepada Aisyah.


“Akak tengok kamu macam tak sebulu sahaja dengan Tuan Zakuan. Kamu ada buat salah apa-apa ka dengan dia? Selama akak bekerja dekat sini, akak tak pernah tengok Tuan Zakuan naik angin teruk macam tu.” Kak Milah berbisik perlahan. Dia takut tuannya yang berada di luar mencuri dengar perbualan mereka.

“Tiada apalah akak. Mungkin ada tindakan dan bait bicara saya yang menggores hatinya sebelum ini membuatkan dia bertindak begitu pada saya. Kita tak tahu gelojak dalam hati dia. Cuma saya berharap Encik Zakuan dapat berlembut dan tidak membenci saya suatu hari nanti.” Aisyah cuba untuk tidak menceritakan permasalahannya dengan Zakuan kepada Kak Milah.

“Akak cuma kesian bila tengok keadaan kamu. Kamu selalu kena marah dengan Tuan Zakuan. Akak rasa macam tak adil bila tuan paksa Aisyah bekerja di sini. Walau apa pun masalah yang timbul antara kamu berdua, kamu masih ada hak untuk membangkang setiap keputusan yang dia buat sebab itu bukan kehendak kamu.” Kak Milah memberi nasihat. Tangan Aisyah disentuh. Walaupun dia baru bertemu dengan Aisyah, dia tahu gadis itu mempunyai sekeping hati yang baik. Entah apalah yang tuannya tidak berpuas hati dengan gadis itu.

“Sebab saya rasa dengan cara begini saya mampu menghapuskan dendam dalam hati dia. Dan saya juga mahu bebas dari rasa bersalah yang semakin melemaskan diri saya selama bertahun-tahun. Jadi boleh dikatakan keputusan yang saya buat bukan atas paksaaan, tetapi lebih kepada keinginan diri saya sendiri.” Aisyah bermain-main dengan bawang yang sudah siap dikupas.

“Kalau itu keputusan kamu, akak tak boleh nak buat apa. Akak harap kamu berdua dapat berbaiklah selepas ini. Lagi satu, kalau kamu nak apa-apa bagitahu saja akak. Akak akan tolong apa yang mampu.” Kak Milah cuba menjernihkan suasana yang mula keruh.

“Mari tolong akak masak asam pedas dan sayur kailan untuk tuan kamu tu.” Kak Milah kembali menggamit Aisyah untuk membantunya. Kak Milah seronok kerana dia tidak keseorangan untuk memasak kali ini selepas Kak Lin berhenti kerja minggu lepas kerana masalah kesihatan.

“Saya nak tanya sesuatu boleh?” Aisyah dilihat teragak-agak bersuara.

“Tanyalah. Jangan segan-segan.”

“Kak Milah kenal dengan perempuan yang bernama Sarah? Dia sebaya dengan saya dan sama tinggi dengan saya.” Aisyah menyoal.

“Ish, tak pernah pula akak dengar nama tu sepanjang akak kerja sini. Lagipun selama ni Tuan Zakuan hanya tinggal seorang diri dekat sini. Tak nampak pula dia rapat dengan mana-mana perempuan. Kenapa kamu tanya?” tangan kak Milah ligat menyediakan bahan untuk dimasak.

“Tak ada apalah.” Aisyah membalas kecewa. Nampaknya hanya lelaki itu sahaja yang mengenali Sarah.

Setelah sejam bertungkus-lumus di dapur, Aisyah mula menghidangkan makanan di meja makan. Dilihatnya Kak Milah sudah berlalu ke luar rumah untuk menjemur kain. Tinggallah Aisyah keseorangan di situ menghidangkan apa yang patut. Perbuatannya terhenti apabila kerusi di meja itu ditarik seseorang.

“Siapa yang masak semua ni?” Zakuan menyoal garang.

“Kak Milah yang masak. Saya hanya tolong mana yang patut.” Aisyah bersuara. Dia berdiri di sisi meja makan.

“Dah tu kau buat apa tercongak dekat situ. Tak reti nak tuang air dekat aku?” Bongkak sekali Zakuan berkata-kata.

Aisyah kalut-kalut menuangkan segelas air sirap sejuk yang dibancuhnya tadi. Dia hanya mendiamkan diri menurut segala arahan dari Zakuan.

“Cepatlah!”

Dek kerana jerkahan yang tiba-tiba membuatkan air yang dituang tersasar landasan. Akibatnya, laju sahaja air sirap itu tepercik pada baju t-shirt putih yang dipakai Zakuan. Terlopong Aisyah melihat baju yang bersih itu sudah dicemari dengan tompokan merah dek kerana perbuatannya yang gelabah tadi.

“Bebal punya perempuan!” Zakuan menepis kuat cawan di atas meja. Bunyi kaca berdenting pecah dan bersepai di atas lantai cukup menyentak jantung Aisyah. Zakuan berdiri dari duduknya sambil mengibaskan bajunya. Dia menoleh ke arah Aisyah dengan wajah garang.

“Kau sengaja nak naikkan darah aku kan? Memang nak mampus kau ni!” Tangan Zakuan naik mahu mencengkam tangan Aisyah. Aisyah pantas mengelak.


“Saya minta maaf encik. Saya tak sengaja.” Aisyah bermain-main dengan hujung kakinya.

“Tak sengaja kau cakap! Dari tadi tak ada satu pun kerja kau yang boleh menyenangkan aku! Habis hilang selera makan aku. Baju aku ni, siapa nak ganti. Kau nak ganti?!” Zakuan menjerkah. Tangannya sekali lagi naik mahu mencengkam kedua-dua bahu Aisyah.

“Kalau encik nak saya gantikan baju encik, saya sanggup. Kalau encik nak marah saya, saya terima. Tapi saya mohon encik jangan sentuh saya sebab berdosa untuk lelaki dan perempuan yang bukan mahram bersentuhan dengan sengaja.” Aisyah bersuara sambil mengelak sekali lagi daripada cengkaman Zakuan. Kali ini dia perlu tegas dengan pegangannya yang satu itu.

Zakuan terasa ego lelakinya tercabar mendengar mulut Aisyah yang lancang menasihatinya. Dia kembali menjatuhkan kedua-dua belah tangannya di sisi. Merah padam mukanya menahan amarah yang memuncak.

“Kau tak payah nak mengajar akulah perempuan. Kau ingat aku nak sangat ka pegang kau? Kau pergi kutip semua kaca-kaca yang pecah tu sekarang!” Zakuan sudah tidak mampu menahan kemarahannya. Kuat tangannya menepuk meja makan melampiaskan rasa marah di hati. Lambat-lambat Aisyah menapak sebelum dia duduk bersimpuh mengutip satu-persatu kaca yang sudah hancur berkeping-keping menggunakan tangan.


Zakuan mendekati Aisyah dari belakang. Tangan kanan Aisyah yang masih memegang kaca dipijaknya tanpa belas ihsan. Kuat sehingga dia mendengar Aisyah mengaduh.


“Inilah akibatnya kalau kau cuba cabar kesabaran aku. Kalau aku suruh buat kerja tu, buatlah elok-elok. Esok kalau kau buat benda yang menyakitkan hati aku lagi, memang aku akan kerjakan kau cukup-cukup.” Zakuan mendengus kasar. Tanpa perasaan dia pergi meninggalkan Aisyah tanpa menyesali perbuatannya yang menyakiti tubuh gadis itu secara fizikal.


Aisyah yang tidak menjangkakan perbuatan dari Zakuan itu jelas terpana. Dia memandang belakang Zakuan yang hanya berlalu pergi begitu sahaja. Entah mengapa dia hanya menerima segala perbuatan kejam yang dilakukan Zakuan terhadapnya tanpa rasa ingin melawan. Mungkin hatinya sudah penat dan dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia ada. Aisyah kembali memegang tangannya yang terhiris akibat dipijak tadi. Serpihan kaca yang masih melekat di tangan dicabut tanpa mempedulikan darah yang sudah mengalir. Sesekali perkataan ‘aduh’ kedengaran meniti di bibirnya menahan sakit.


“Ya Allah.. jika ini harga yang harus aku bayar demi sebuah kemaafan, aku redha. Sesungguhnya aku berlindung pada-Mu dari menaggung bala yang berat, rasa sengsara, takdir buruk dan rasa senang hati musuh-musuh apabila melihat musibah yang menimpaku. Hanya kepada Engkau aku mengadu kasih dan meminta pertolongan.” Aisyah bersuara perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience