BAB 18

Drama Completed 10212

Setelah selesai makan tengah hari di rumah Tuan Johari dan Puan Intan, Aisyah meminta diri untuk pulang ke rumahnya. Namun tidak pula dia memberitahu Tuan Johari yang dia mahu ke rumah Zakuan untuk menjernihkan salah faham di antara mereka. Dia tidak mahu Tuan Johari berfikir yang bukan-bukan sementelah Tuan Johari tidak mengetahui hal sebenar dia bekerja di situ.

“Aisyah bawa kereta elok-elok. Kalau Aisyah rasa stress atau ada masalah, Aisyah boleh datang sini bila-bila masa Aisyah suka.” Puan Intan memeluk tubuh Aisyah dengan erat.

“Betul kamu tak nak pak cik hantarkan kamu?” Tuan Johari menjongketkan keningnya. Sudah banyak kali dia mempelawa Aisyah menumpanginya, tetapi gadis itu menolak baik niatnya.

“Tak apa pak cik. Saya ada urusan yang perlu diselesaikan. Pak cik dan mak cik janganlah risau.” Aisyah menguntum senyuman kepada Tuan Johari dan Puan Intan. Betul, dia perlu jelaskan dahulu hal sebenar kepada Zakuan supaya dia boleh terlepas daripada genggaman lelaki itu. Kemudian barulah dia boleh mengambil tindakan terhadap Dr. Ikhwan dan juga Dato’ Suhaimi.

“Yelah, kalau itu keputusan kamu. Tapi kamu perlu jaga kesihatan juga. Demam kamu belum kebah lagi tu.” Tuan Johari mengingatkan.

“Baiklah pak cik. Terima kasih kerana telah menjaga saya semalam. Saya tak akan lupakan jasa baik pak cik dan mak cik.” Aisyah membuka pintu kereta.


“Saya minta diri dahulu. Assalammualaikum.” Aisyah menghilangkan diri ke dalam kereta. Dia melambaikan tangan kepada Tuan johari dan Puan Intan yang masih setia menunggu di pintu pagar menghantar kepergiannya. Sungguh sekarang Aisyah dapat merasakan belaian kasih sayang daripada seorang ibu dan ayah apabila berada di sisi mereka.

AISYAH memegang dahinya yang tiba-tiba panas. Namun, dia memilih untuk mengabaikan kesihatannya dan melangkah masuk ke rumah agam itu. Ada perkara yang perlu dia selesaikan sekarang. Kelibat Kak Milah dicari di halaman rumah itu tetapi kawasan rumah itu sungguh sepi. Aisyah melangkah ke ruangan dapur, juga tiada satu pun bayang manusia yang menangkap penglihatannya. Aisyah pelik sendiri. Dia tertanya-tanya ke mana penghuni rumah itu pergi.

Buk! Bunyi sesuatu jatuh di tingkat atas cukup menyentak hati Aisyah. Dia tergesa-gesa berlari menaiki tangga untuk melihat apa yang berlaku. Hatinya berdoa semoga tiada perkara buruk yang terjadi. Fikirannya teringatkan Kak Milah.

“Kak Mi..” Baru sahaja Aisyah mahu melaung nama itu, langkahnya terhenti apabila telinganya menangkap suara itu.

“Saya nak Kak Milah hubungi dia sampai dapat! Suruh dia datang hari ini juga!” Zakuan menepuk meja kayu yang terdapat di ruangan itu. Dia berasa sangat marah sekarang.

“Kak Milah minta maaf Tuan Zakuan. Sejak pagi tadi lagi Kak Milah cuba call Aisyah, tapi tak berjawab. Mungkin dia ada hal kecemasan.” Perlahan sahaja Kak Milah bersuara. Dia takut melihat panas baran Tuan Zakuan secara tiba-tiba itu.

Aisyah hanya memerhati mereka berdua dari sudut tangga. Dia melihat kawasan itu sudah berselerak dengan buku-buku yang bertaburan di sana sini. Kini tahulah dia bahawa kemarahan lelaki itu bekaitan dirinya yang tidak masuk kerja hari ini.

“Saya tak kisah apa pun masalah dia! Berani dia ponteng kerja! Kalau Kak Milah tak boleh bawa dia ke sini dalam masa setengah jam, saya akan pecat Kak Milah!” Zakuan menempik lantang. Terhinjut bahu Kak Milah dek terkejut dengan jerkahan itu.

“Saya ada di sini.” Aisyah akhirnya bersuara. Dia tidak sanggup melihat Kak Milah dimarahi begitu. Sungguh Zakuan sudah bertindak melampau dengan membentak wanita itu. Aisyah mendekati mereka berdua sambil cuba mengumpul kekuatan di dalam hati. Dia tahu, dia perlu kelihatan berani apabila mahu berhadapan dengan Zakuan.

“Aisyah..” Kak Milah menyeru perlahan apabila dia terpandangkan gadis itu. Kak Milah pantas memegang tangan Aisyah dengan wajah cemas.


“Aisyah, Kak Milah rasa ini bukan masa yang sesuai untuk kamu datang. Kak Milah takut Tuan Zakuan bertindak kasar terhadap Aisyah seperti sebelum ni.” Kak Milah berbisik kepada Aisyah. Dia risau kerana Tuan Zakuan sekarang berada dalam emosi yang tidak stabil.

“Tak apa Kak Milah, saya dah biasa terima segala tohmahan dari dia. Lagipun ada perkara yang saya perlu bincangkan dengan dia. Kak Milah jangan risau.” Aisyah mengusap bahu Kak Milah dengan lembut. Dia cuba mengusir kegusaran di hati Kak Milah.

“Tinggalkan kami!” Suara lantang itu menyedarkan mereka berdua. Jelas arahan itu terarah kepada Kak Milah apabila lelaki itu memandangnya dengan tajam.

“Tapi..” Kak Milah masih berdegil.

“Kak Milah.. percayalah.” Aisyah mengangguk yakin. Tidak dapat tidak Kak Milah turun meninggalkan ruangan itu. Dia berdoa semoga Tuan Zakuan tidak naik hantu nanti.

Kini tinggallah mereka berdua di situ. Aisyah kembali mendekati Zakuan di tengah-tengah ruangan. Pertama kali dia tidak gentar apabila berhadapan dengan lelaki itu.

Hati Zakuan menggelegak apabila Aisyah menayangkan muka selamba. Perwatakan Aisyah kelihatan lain di hadapannya sekarang. “Kau pergi mana ha!” mata Zakuan tunak memandang Aisyah.

“Saya ada hal penting yang perlu diuruskan sebentar tadi. Saya minta maaf kerana tak maklumkan perkara tersebut kepada encik. Saya..”

“Arghhh! Pergi mampus dengan alasan kau. Kalau kau nak mati sekalipun, kau tetap perlu datang bekerja di sini. Ingat! Kau masih berhutang nyawa dengan aku.” Zakuan menjerkah kuat. Dia sudah tidak mampu mengawal amarahnya. Tangannya mula menggenggam penumbuk.

Aisyah nyata terkedu dengan bicara Zakuan. Lelaki ini betul-betul membenci dirinya. Aisyah kembali memandang Zakuan dengan senyuman sinis. “Saya nak berhenti.” Sekali lafaz Aisyah menuturkan perkara itu.

“Kau cakap apa?” Jelas air muka Zakuan berubah. Dia tidak menyangka Aisyah seberani itu dengannya. Rahangnya diketap kuat.

“Saya nak berhenti kerja. Lepaskan saya daripada cagaran yang encik ciptakan terhadap diri saya.”

“Kau sedar tak apa yang kau cakap ha! Kalau kau merayu dan berlutut dekat kaki aku sekalipun, aku tak akan lepaskan kau!” Zakuan mencerlung tajam ke arah Aisyah. Berani perempuan ini mahu lepaskan tanggungjawabnya begitu sahaja. Dia takkan sekali-kali biarkan perkara itu berlaku. Dia belum cukup puas menyeksa Aisyah.

“Saya tak bunuh Sarah. Saya tak bunuh adik encik!” Tegas Aisyah bersuara. Dia melawan panahan Zakuan dengan berani.

“Kurang ajar kau!” Zakuan bertindak mencengkam leher Aisyah dan menolak tubuh itu kuat ke dinding. Terkapai-kapai Aisyah cuba mencari nafas dengan cengkaman kuat itu.

“Apa kau cakap tadi?” Suara Zakuan bergetar. Matanya bertukar merah.


“Sa.. Saya tak bu..bunuh Sarah.” Dalam kepayahan Aisyah membalas.


“Kau tak bunuh dia kau cakap?! Kau ingat aku nak percaya cakap kau. Kau tak payah cuba nak cipta alasan untuk lari dari sini! Kau tetap pembunuh Sarah.” Zakuan menempik tepat di muka Aisyah. Dia sakit hati apabila nama Sarah meniti di bibir itu.


Aisyah yang berasa nafasnya sudah mula tersekat terus mengambil tindakan dengan menyepak celah kelangkang Zakuan. Terlepas terus pegangan Zakuan di lehernya. Lelaki itu menunduk menahan kesakitan akibat tindakannya tadi. Aisyah terpaksa lakukan begitu terhadap Zakuan. Dia perlu jelaskan keadaan yang sebenar sebelum Zakuan mula menghukumnya.


“Saya minta maaf kerana bertindak begitu. Tetapi saya cuma mahu encik dengar penjelasan saya terlebih dahulu.” Aisyah bermain dengan hujung tudungnya.


“Be.. berani kau!” Zakuan bersuara dalam kesakitan. Dia tidak menyangka Aisyah berani bertindak sejauh itu. Badannya bergetar menahan amarah yang semakin hebat.


“Selama ini saya bersutuju dengan segala tuduhan encik kerana saya rasa bersalah terhadap arwah Sarah. Tapi kenyatannya saya bukan pembunuh Sarah. Kejadian malam itu hanyalah satu kemalangan maut yang meragut nyawa Sarah. Dan saya ditakdirkan bersama dengan dia waktu itu. Sarah meninggal bukan disebabkan saya, tetapi kerana letu..” Kata-kata Aisyah terhenti di situ apabila tangannya ditarik kuat oleh Zakuan. Nampaknya Zakuan berjaya melawan kesakitan yang diberinya tadi.


“Aku tak nak dengar cerita bodoh yang kau tengah karang sekarang! Ikut aku!” Zakuan mengheret Aisyah ke dalam bilik mandi. Semakin kemas cengkamannya apabila dirasakan Aisyah cuba melepaskan diri.


“Aku rasa kau masih tak sedar apa yang kau cakap tadi. Mari sini aku sedarkan kau!” Zakuan membuka pili air dan membiarkan air penuh di dalam sinki. Aisyah meneguk air liur melihat tindakan lelaki itu.


“Aku nak kau ingat kembali apa yang kau dah buat dekat Sarah dulu.” Zakuan bertindak mencengkam belakang kepala Aisyah sebelum menekan kepala gadis itu ke dalam air.
Meronta-ronta Aisyah untuk lepaskan diri. Dapat dia rasakan air mula memasuki rongga hidungnya. Sungguh dia kehilangan nafas saat itu.


“Macam mana? Masih belum sedar?” Zakuan mengangkat kepala Aisyah kembali. Dia tergelak sinis melihat muka Aisyah yang sudah merah.


“Le..lepaskan saya. Ju.. jujur ssaya ca.. cakap saya tiada kaitan dengan kematian Sarah.” Aisyah bersuara tercungap-cungap. Dia cuba mengatur nafasnya yang tersekat-sekat.


“Kau memang sengaja nak cabar aku kan?!” Zakuan kembali merendamkan kepala Aisyah ke dalam air. Dia tidak rasa bersalah langsung melakukan perkara itu kepada Aisyah. Apa yang pasti, dia perlu memuaskan rasa sakit hatinya dengan menyeksa gadis itu.


Aisyah berusaha menolak sinki tersebut dengan kedua-dua belah tangannya namun hampa. Kudratnya nyata tidak mampu melawan tenaga lelaki Zakuan. Apabila dirasakan nafasnya sudah tidak dapat ditahan, kepalanya kembali diangkat oleh lelaki itu.


“Sang.. gup encik laku.. kan perkara ini ke.. pada saya.” Aisyah bagaikan mahu menangis. Inilah seksaaan yang paling hebat pernah dia terima dalam hidupnya. Seksaan yang cukup menghiris lumat hatinya.


“Perbuatan aku tak sekejam apa yang kau buat dekat Sarah!” Zakuan kembali mengheret Aisyah ke belakang rumah. Rontaan Aisyah tidak dipedulikan. Bilik yang terletak di hujung laman belakang rumahnya dibuka. Dia menolak tubuh Aisyah ke dalam stor kecil itu.


“A.. Apa encik buat ni?” Aisyah terkial-kial untuk berdiri. Dia terasa kepalanya berpinar-pinar. Tetapi Aisyah berusaha melawan kesakitan itu sekarang.


“Aku dah cukup bersabar dengan kau. Selagi waktu kerja kau tak habis, kau duduklah dalam ni!” Zakuan bertindak menolak tubuh Aisyah dengan lebih kuat. Aisyah yang cuba keluar dari bilik itu terdorong kembali ke dalam.


“Sekarang baru kau rasa apa padahnya kalau kau cuba lawan cakap aku! Kau dengar sini perempuan sial, hutang nyawa kau dengan aku masih berbaki seminggu. Dan dalam masa seminggu ini aku akan pastikan hidup kau merana!” Seraya menghamburkan segala kemarahannya, Zakuan terus mengunci pintu bilik itu. Rayuan dan jeritan Aisyah di dalam sudah tidak dipedulikan.


“Lepaskan saya encik! Biar saya jelaskan semuanya! Encik perlu tahu duduk perkara sebenar. Semua yang terjadi bukan salah saya. Lepaskan saya encik!” Aisyah menepuk-nepuk pintu kayu itu dengan tangannya. Dia ingin keluar dari bilik yang dirasakan sempit dan gelap ini.


“Encik.. tolong lepaskan saya. Saya merayu pada encik.” Aisyah masih berusaha untuk memujuk lelaki itu. Namun derap kaki yang sudah berlalu pergi membuatkan Aisyah berhenti menjerit. Tahulah dia bahawa Zakuan betul-betul meninggalkannya di situ.


Aishah perlahan-lahan duduk bersandar di pintu kayu itu sambil memeluk lututnya. Dia berasa dirinya semakin lemah kerana banyak menjerit tadi. Tangannya naik meraba dahi yang sudah berbahang panas. Pandangannya juga bertukar menjadi berbalam-balam sebelum dia rebah di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience