BAB 20

Drama Completed 10212

“Bagitahu saya apa yang Kak Milah tahu sepanjang Aisyah bekerja di rumah Zakuan.” Tuan Johari merenung tepat wajah Kak Milah menantikan jawapan.

“Saya pun tak pasti nak mulakan dari mana.” Kak Milah membuang pandang ke arah tubuh Aisyah yang tidur pulas di atas katil hospital kesan daripada ubat yang diberikan doktor sebentar tadi.

“Apa yang saya tahu, Tuan Zakuan memang tidak sukakan Aisyah. Tetapi Tuan Zakuan juga yang paksa Aisyah untuk menjadi orang gaji di rumah itu.” Jelas Kak Milah.

“Maksud kamu, bukan Aisyah yang minta kerja dekat situ?” Dahi Tuan Johari berkerut. Nampaknya Aisyah berbohong kepadanya sebelum ini. Mati-mati dia ingatkan Aisyah menjadi orang gaji di rumah Zakuan secara kebetulan.

“Bukan tuan. Saya nampak sendiri Tuan Zakuan yang memaksa Aisyah waktu itu. Saya dengar Tuan Zakuan cakap Aisyah berhutang nyawa dengannya. Tapi saya pun tak pasti hutang apa yang Tuan Zakuan maksudkan.” Sambung Kak Milah lagi.

“Aku dah agak. Pasti ada perkara yang tak kena sejak aku nampak Aisyah di rumah Zakuan.” Tuan Johari menggumam sendiri.

“Apa yang Zakuan buat hari ni bukan kali pertama kan?”

“Ya. Sudah banyak kali saya nampak Tuan Zakuan memarahi dan mengasari Aisyah. Saya takut nanti, sampai satu tahap Tuan Zakuan akan buat perkara di luar dugaan kita. Selalu saya lihat Tuan Zakuan tidak dapat mengawal panas barannya apabila bersama dengan Aisyah.” Kak Milah menunduk menceritakan hal itu. Dia sudah tidak peduli jikalau Tuan Zakuan akan memecatnya nanti. Kejadian hari ini cukup membuatkan dia hilang hormat kepada majikannya itu.

Setelah mendengar kenyataan itu, Tuan Johari bingkas bangun daripada duduknya. Mukanya merah padam menahan marah. Rahangnya bergerak-gerak bersama renungan tajam menunjukkan bahawa dia cukup marah sekarang.

“Kak Milah tolong jaga Aisyah untuk saya. Saya perlu buat perhintungan dengan Zakuan!” Sejurus berkata begitu, Tuan Johari menghilangkan diri dari pintu wad.

Terkebil-kebil Kak Milah melihat Tuan Johari yang sudah hilang dari pandangan. Itulah kali kedua dia melihat lelaki lembut dan baik hati seperti Tuan Johari berada dalam keadaan marah. Dan kali pertama dia melihat lelaki itu marah adalah semasa kejadian di rumah tadi. Terkejut bukan kepalang apabila dia menyaksikan Tuan Johari melepaskan tumbukan kepada Zakuan. Walaupun sebelum ini hubungan mereka dua beranak tidak pernah baik, tetapi Kak Milah tidak pernah nampak Tuan Johari berkasar begitu.

“ZAKUAN! Zakuan!”

Zakuan yang sedang duduk santai membaca buku di ruang tamu hanya menoleh sekilas ke arah Tuan Johari sebelum kembali menyambung bacaannya. Debaran di hati cuba diusir pergi. Dia sedaya-upaya berlagak setenang yang boleh walaupun tahu dia bakal mengahadapi kemarahan daripada daddynya nanti.

“Kamu masih boleh duduk baca buku dekat sini! Kamu sedar tak macam mana keadaan Aisyah sekarang!” Tuan Johari merampas buku yang dipegang Zakuan.

“Kenapa? Dia dah mati ke?” Sinis sekali Zakuan berkata. Dia juga bangun berhadapan dengan Tuan Johari.

“Kurang ajar!” Tuan Johari mengangkat tangan mahu menampar Zakuan.

“Tamparlah. Tampar! Disebabkan perempuan tu daddy sanggup naik tangan pada Zakuan. Dia tu cuma orang luar dalam hidup daddy, tapi daddy layan dia macam darah daging daddy sendiri. Tamparlah kalau itu dapat puaskan hati daddy!” Zakuan seakan-akan cuba memprovokasi Tuan Johari. Dia yakin Tuan Johari pasti rasa bersalah mahu memukulnya. Namun sangkaannya meleset. Tertelang mukanya menerima tamparan hebat daripada Tuan Johari.

“Itu belum cukup untuk membayar segala kesakitan yang kamu sudah berikan kepada Aisyah. Daddy tak sangka kamu berubah sampai begini sekali disebabkan dendam yang kamu sematkan dalam hati kamu!” Dada Tuan Johari berombak pantas.

“Siapa yang bertanggunggjawab menyebabkan Zakuan berubah begini kalau bukan daddy sendiri. Daddy memang tak pernah sayangkan kitorang pun dari dahulu sampai sekarang. Walaupun dah banyak kali Zakuan beritahu daddy yang Aisyah adalah pembunuh Sarah, tetapi daddy tetap nak membela dia. Penting sangat ke dia dalam hidup daddy sampaikan daddy abaikan perasaan anak daddy sendiri!” Akhirnya menitis juga air mata lelaki Zakuan di hadapan Tuan Johari. Tipulah kalau dia katakan dia tidak menyayangi bapanya itu. Tetapi ego yang disanjung selama ini membuatkan dia masih tidak dapat memafkan kesalahan Tuan Johari terhadap mereka dahulu.

“Ya! Daddy tahu apa yang daddy buat dahulu memang salah. Daddy abaikan kamu dan Sarah sampaikan kamu tidak pernah merasa kasih sayang dari seorang ayah. Tapi itu bukan tiket untuk kamu bertindak kejam terhadap Aisyah. Dia juga manusia sama seperti kita, ada hati dan perasaan.” Tuan Johari cuba berlembut dengan Zakuan. Dia mengakui kesilapannya dahulu menjadi salah satu penyumbang kepada perubahan diri Zakuan yang bagaikan sudah tidak mempunyai perasaan belas terhadap orang lain. Tetapi dia sudah berusaha untuk menebus dosanya dahulu, cuma Zakuan yang tidak cuba membuka pintu hati menerimanya.

“Jadi daddy jangan salahkan Zakuan sahaja apabila semua ini berlaku. Daddy juga perlu faham perasaan Zakuan. Hanya Sarah satu-satunya orang yang Zakuan ada selepas kematian mama. Tapi perempuan tu dah ambil Sarah dari hidup Zakuan. Zakuan bencikan perempuan tu!” Zakuan menjerit nyaring. Dia mahu meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya selama ini.

“Tak Zakuan. Bukan Aisyah yang lakukan semua itu dan kamu masih ada daddy, Mak cik Intan di sisi kamu. Tak cukup lagi ke kasih sayang yang daddy tunjukkan kepada kamu selama ini? Dah bertahun-tahun daddy cuba tebus dosa daddy pada kamu kembali, tapi kamu bagaikan tak nampak segala usaha daddy. Daddy tak minta kamu maafkan daddy sepenuhnya, tetapi daddy mohon sangat supaya kamu cuba untuk terima daddy sedikit demi sedikit dalam hidup kamu.”

“Kalau betul daddy sayangkan kami dan mahu tebus dosa daddy kepada kami selama ini, mana daddy pergi pada hari Sarah dikebumikan? Mana?!” Zakuan merenung tajam ke arah Tuan Johari. Dia ingat lagi ketika itu bayang Tuan Johari tidak kelihatan langsung di tanah perkuburan. Tuan Johari bagaikan tidak peduli dengan kepergian Sarah.

“Jadi itulah sebab utama kenapa hati kamu masih keras untuk terima daddy? Disebabkan hal itu kamu seolah-olah tak ambil peduli kesungguhan daddy selama ni?” Tuan Johari tergelak sinis.


“Pernah tak kamu cari daddy waktu tu? Pernah tak kamu tanya ke mana daddy pergi? Parut dekat dahi daddy ni.. kamu tak pernah ambil peduli langsung. Jadi jangan cepat menghukum daddy kalau kamu tak tahu perkara sebenar.” Tuan Johari menggenggam tangan Zakuan. Dia tahu dia juga bersalah kerana tidak menceritakan segalanya. Bukan dia tidak cuba untuk menerangkan situasi sebenar, namun apabila dia menyebut sahaja nama Sarah di hadapan Zakuan, lelaki itu pasti menghamburkan kemarahan padanya.

“Sekarang dengar semua penjelasan daddy sebelum kamu nak marah tak tentu pasal.”

“Tak ada apa yang perlu dijelaskan lagi. Zakuan dah penat dengan semua ni. Kalau daddy kesiankan sangat dekat perempuan tu, daddy buanglah Zakuan dari hidup daddy sebab Zakuan, tak akan pernah hilangkan rasa benci dalam hati ini untuk dia.” Zakuan merentap kasar tangannya. Dia melangkah menuju ke tangga. Mahu memujuk hati yang sakit kerana Tuan Johari melebih-lebihkan orang luar dari dirinya sendiri.

“Daddy ada bersama Sarah sewaktu dia menghembuskan nafas terakhirnya lima tahun lepas!” Jeritan kuat Tuan Johari bergema di seluruh pelosok rumah agam itu. Walau apa pun yang terjadi Tuan Johari akan ceritakan segalanya kepada Zakuan hari ini.

Dapat dirasakan bulu romanya naik mendengar kata-kata itu. Perlahan-lahan Zakuan memusingkan badannya menghadap Tuan Johari. Dia mahu bertanyakan sesuatu kepada Tuan Johari tetapi lidahnya bagaikan kelu untuk berbicara.

“Daddy turut bersama Sarah dan Aisyah dalam kemalangan itu. Daddy tahu segala-galanya!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience