BAB 14

Drama Completed 10212

Sejak insiden itu, Aisyah perasan Zakuan seperti ingin mengelak darinya. Lelaki itu lebih suka menggunakan Kak Milah sebagai orang tengah apabila mahu berurusan dengannya. Aisyah tidak ambil peduli akan perubahan Zakuan itu kerana dia lebih suka jikalau lelaki itu tidak mengganggunya. Lagi pula, Aisyah lebih memikirkan masalah berkaitan Ayu sekarang. Sampai ke hari ini dia tidak mendengar khabar Ayu apatah lagi sahabatnya itu tidak menghubunginya langsung.

Oleh kerana itu, hujung minggunya kali ini dia bertekad mahu ke rumah Ayu bagi menyelesaikan salah faham yang berkaitan dirinya. Dia ingin tahu alasan mengapa Dr. Ikhwan tidak sukakannya dan menghalang dia daripada berjumpa dengan Ayu. Dia mahu selesaikan semuanya hari ini.

Kunci kereta di atas meja dicapai, bag tangan yang disangkut di tepi pintu digalas. Laju sahaja Aisyah keluar mendapatkan keretanya yang terparking elok di hadapan rumah. Dia sudah tidak peduli jikalau kehadirannya ke rumah itu tidak disegani oleh Dr. Ikhwan nanti. Apa yang penting, dia perlu menjernihkan keadaan dengan segera.

AYU mengeluh apabila mengenangkan nasibnya yang bagaikan dikurung di dalam rumah. Fikirannya kembali menerawang teringatkan Aisyah. Dia tidak menyangka ayahnya akan bertindak sejauh ini dengan menyekat kebebasannya hanya kerana dia bersahabat dengan Aisyah. Encik Ikhwan betul-betul mengotakan janjinya. Kini, setiap gerak gerinya di luar akan dikawal ketat oleh Pak Samad. Telefon bimbitnya juga di-link-kan dengan telefon bimbit Encik Ikhwan untuk mengetahui dengan siapa dia berhubung. Dia sendiri buntu akan kesungguhan bapanya itu.

Ayu membawa diri ke ruang tamu untuk mengisi kebosanan yang melanda dirinya. Dia mula menekan punat kawalan jauh untuk mencari siaran yang dirasakan sesuai dengan cita rasanya. Namun akhirnya dia mengeluh dan membentak sendiri apabila tiada satu pun rancangan yang menarik perhatian. Ayu bingkas bangun dari duduknya sambil matanya meliar melihat sekeliling, mencari aktiviti lain untuk mengisi kebosanannya itu. Sudahlah hari ini dia seorang sahaja di rumah kerana mama dan ayahnya ada urusan penting di luar. Tiba-tiba matanya tertancap pada pintu bilik kerja ayahnya. Lama dia mentunakkan pandangan di situ.

‘Aku betul-betul nak tahu apa yang ayah buat di dalam bilik kerjanya. Apa yang ayah cuba sembunyikan dari aku dan mama selama ini.’ Hati Ayu terdetik akan hal itu. Perlahan-lahan dia membawa diri mendekati bilik itu. Tangan mula memulas tombol pintu sebelum Ayu menjengukkan sedikit kepalanya ke dalam. Susunan bilik itu kelihatan sama sahaja seperti sebelum ini. Ayu berjalan mengelilingi ruang bilik itu mencari perkara pelik yang mampu menangkap pandangannya, namun sayang tiada satu pun perkara yang mencurigakan.

Ayu menghenyakkan punggung di kerusi kerja ayahnya. Dia menghidupkan komputer riba milik Encik Ikhwan sebelum mula membuka satu-persatu folder yang terpapar di desktop. Semuanya berkaitan kerja dan takwim pembelajaran untuk semester baru.

“Hmm.. takkanlah ini sahaja kerja yang ayah lakukan selama ini.” Ayu mengetuk-ngetuk dagunya dengan jari. Dia mula membuka laci-laci yang berada di situ. Ayu masih tidak berputus asa selagi dia tidak mengetahui punca sebenar ayahnya berkelakuan pelik selama ini. Tangannya terhenti pada laci yang terakhir. Berkunci!


Ayu menyelongkar semula barangan yang terdapat di atas meja ayahnya untuk mencari kunci laci tersebut namun hampa. Sesaat kemudian dia terpandangkan klip kertas yang berada di timbunan buku di sisi meja ayahnya. Pantas tangannya mencabut klip kertas tersebut sebelum dibawa untuk mencungkil lubang kunci laci meja itu. Tiga puluh minit berlalu, Ayu masih berusaha keras untuk membuka laci tersebut. Dengan lafaz bismillah, sekali lagi Ayu menjolokkan klip kertas itu ke dalam lubang kunci dengan penuh semangat.


“Yeay!” Ayu bersorak girang apabila dia akhirnya berjaya membuka laci tersebut. Sebaik sahaja laci itu terbuka luas, matanya terpandangkan satu sampul surat berwarna koko dan pendrive berwarna hitam yang terletak elok di situ.


Tanpa membuang masa, Ayu membuka sampul surat itu lalu mengeluarkan isinya. Dia sudah tidak peduli jikalau tindakannya itu bakal membuatkan Encik Ikhwan marah nanti. Dia lebih mengikut kata hati yang berkobar-kobar mahu membongkar isi di dalamnya.

“Pasangan suami isteri maut dipercayai terlibat dalam kemalangan kereta lewat petang semalam. Kedua-dua mangsa tersebut yang ingin pulang ke rumah dari tempat kerja tidak kesampaian apabila kereta yang dipandu oleh Umar Bin Yassir, 38 dilanggar oleh sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan.” Ayu mula membaca keratan-keratan akhbar yang terdapat dalam sampul surat itu. Dahinya berkerut kehairanan kerana segala isi di dalam sampul itu berkaitan dengan kemalangan yang terjadi pada tahun 2015.


“Ketua polis berkata, Umar dan isterinya Syuhada Binti Anuar, 35 dilanggar oleh seorang pemandu yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol apabila pihak mereka menjumpai sebotol arak di dalam longkang berdekatan dan kesan tayar kenderaan lain di atas jalan raya. Kes diklasifikasikan sebagai langgar lari dan pihak polis sedang berusaha memburu suspek yang terlibat. Orang ramai yang mempunyai info tentang insiden itu diminta tampil untuk memberi keterangan kepada pihak polis.” Entah mengapa Ayu bagaikan berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kemalangan itu. Sepertinya dia pernah mendengar nama pasangan itu sebelum ini. Tetapi dia tidak ingat di mana dan siapa yang menyebutnya.


Ayu mula menilik gambar kedua-dua mangsa tersebut yang dipaparkan di akhbar itu. Walaupun gambar itu sudah kabur dek kerana lama disimpan, tetapi Ayu masih dapat melihatnya dengan jelas. ‘Muka perempuan ni macam..’ Hati Ayu berdegup kencang sambil tangannya mula mengusap gambar wanita yang bernama Syuhada itu.


“Aisyah..” Terpancul nama itu dari mulut Ayu. Mulutnya terlopong apabila dia mula teringatkan sesuatu. Pantas telefon bimbitnya dikeluarkan sebelum dia mula mencari-cari gambar di dalam album telefonnya. Gambar keluarga Aisyah yang pernah dikirim oleh sahabatnya itu dahulu.


“Ya Allah betullah ni gambar mak dan ayah Aisyah.” Ayu bagaikan kaku untuk bergerak. Dia tahu Aisyah merupakan anak yatim piatu, tetapi dia tidak sangka mak ayah gadis itu meninggal disebabkan kemalangan langgar lari. Tetapi yang lebih mengejutkannya sekarang, mengapa segala berita berkaitan keluarga Aisyah disimpan oleh ayahnya padahal Encik Ikhwan baru sahaja mengenali Aisyah tahun ini.


Dia mula teringatkan pendrive yang dijumpainya bersama sampul surat itu tadi. Terketar-ketar tangannya mencapai pendrive tersebut sebelum mencucuknya di komputer riba. Debaran di dada yang semakin menggila tidak dihiraukan. Dia mula mambuka rakaman video yang berada di dalam pendrive itu.


“Allah... Allah..” Ayu terbangun dari duduknya sambil tangan memegang dada kerana terlalu terkejut melihat apa yang terbentang di hadapan matanya sekarang. Tubuh badannya mula menggigil. Dia dapat rasakan bulu romanya naik dan mukanya bertukar pucat. Ayu terkelu seribu bahasa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience