BAB 10

Drama Completed 10212

Ayu melambai-lambaikan tangan kepada Aisyah selepas mengucapkan terima kasih kerana sudah menghantarnya ke rumah. Walaupun Ayu bertegas bahawa dia boleh memandu sendiri tadi, Aisyah tetap juga mahu menumpangkannya kerana takut berlaku sesuatu dalam perjalanan nanti. Ayu akhirnya terpaksa bersetuju dengan keputusan Aisyah kerana dia juga tidak yakin untuk memandu pulang dalam keadaan yang masih terkejut begitu. Ayu melangkah masuk ke dalam rumah apabila memastikan kereta Aisyah sudah hilang dari pandangan. Baru sahaja kakinya melangkah ke ruang tamu, dirinya diserbu dengan pelbagai persoalan daripada mama dan ayahnya.

“Ayu tak apa-apa? Anak mama tak apa-apa kan? Ayu sakit dekat mana, biar mama tengok.” Jelas terpancar riak kerisauan di wajah Puan Khatijah setelah melihat kelibat Ayu. Hampir gugur jantungnya sebentar tadi apabila mendapat panggilan daripada Ayu sendiri yang menyatakan dirinya kemalangan. Walaupun Ayu hanya cedera ringan sahaja tetapi hati ibu mana yang tidak risau apabila dikhabarkan dengan berita sebegitu.

“Macam mana Ayu boleh accident? Siapa yang langgar?” Encik Ikhwan pula menyoal sambil memegang tangan kiri Ayu untuk melihat kecedaraan anaknya itu.

“Mama.. ayah.. jangan risau. Ayu tak apa-apa, cuma cedera ringan sahaja. Doktor pun cakap yang lebam Ayu ni boleh hilang dalam masa seminggu atau dua minggu.” Ayu cuba menenangkan kegelisahan di hati orang tuanya. Dia tersenyum manis untuk meyakinkan mereka bahawa dia baik-baik sahaja. Tangan ibu dan ayahnya dipimpin ke sofa yang terletak di ruang tamu itu sebelum mula menceritakan peristiwa kemalangan yang membabitkannya lewat petang tadi.

“Syukurlah Ayu tak kena langgar dengan motosikal tu. Mama tak dapat bayangkan kalau Ayu tak sempat elak waktu tu.” Puan Khatijah tersenyum lega.

“Sebenarnya kan mama, Aisyah yang selamatkan Ayu dari dilanggar. Dia yang tolak Ayu ke tepi jalan sebelum Ayu tak sedarkan diri. Ayu berterima kasih sangat dengan Aisyah. Tadi pun Aisyah yang hantar Ayu balik sebab dia tak nak Ayu drive sorang-sorang dalam keadaan macam tu.” Ayu tersenyum apabila menyebut nama Aisyah.

“Aisyah..” Encik Ikhwan menyeru perlahan nama itu. Badannya mengeras apabila mendengar nama itu meniti di bibir anaknya.

“Untung Ayu dapat kawan macam Aisyah. Nanti bila-bila Ayu ajaklah Aisyah datang sini, makan-makan dekat sini. Mama nak berterima kasih dekat dia sebab jaga buah hati mama ni.” Puan Khatijah menepuk-nepuk tangan Ayu di dalam genggamannya. Dia kenal dengan kawan anaknya itu kerana mereka pernah berjumpa sekali dua sewaktu dia pergi melawat Ayu di universiti.

“Saya tak izinkan!” Encik Ikhwan bangun daripada duduknya. Mukanya kelihatan risau. Matanya tajam memandang anak dan isterinya bersilih ganti. Dia tak akan sesekali benarkan sesiapa bawa Aisyah ke rumahnya.

“Kenapa ni abang?” Puan Khatijah menyoal hairan dengan perubahan lakinya itu.

“Saya tak izinkan Aisyah datang sini.” Encik Ikhwan mengulang kembali larangannya.

“Apa ayah cakap ni? Kenapa ayah tak suka Aisyah datang sini?” Ayu pula menyoal. Terkejut apabila mendengar arahan yang diutarakan ayahnya itu.

“Ayah tak benarkan kamu berjumpa lagi dengan Aisyah. Ayah tak nak kamu berkawan dengan dia. Ayah tak suka.” Encik Ikhwan meraup rambutnya ke belakang. Dia mula mundar-mandir di situ. Dirinya gelisah sendiri.

“Ayah sedar tak apa yang ayah cakap ni? Ayu berkawan dengan Aisyah dah hampir tiga tahun ayah. Tapi kenapa sekarang baru ayah nak larang persahabatan kami?” Ayu sudah berdiri menghadap ayahnya. Dia agak terkejut apabila ayahnya berkelakuan begitu.

“Haah abang. Kenapa abang tiba-tiba cakap macam tu? Selama ni elok sahaja Ijah tengok diorang berkawan. Lagipun Aisyah tu student abang juga. Apa yang abang tak suka sangat dengan budak tu?” Puan Khatijah juga turut berdiri menantikan jawapan daripada suaminya.

“Kalau abang cakap tak boleh, maknanya tak boleh! Susah sangat ke nak dengar arahan abang?” Encik Ikhwan menempelak kepada isterinya. Walau apa pun yang terjadi dia harus menghalang Ayu dan Aisyah daripada berkawan.


“Dan kamu Ayu! ayah tak nak kamu pergi jumpa dia lagi lepas ni. Ayah tak nak kamu rapat-rapat dengan dia dalam kelas nanti. Jangan hubungi dia dan kalau boleh buang dia jauh-jauh dari hidup kamu. Kalau kamu sayang ayah, ikut apa yang ayah suruh.” Encik Ikhwan bersuara keras sebelum berura-ura mahu melangkah ke tangga. Dia tidak betah berada di situ apabila soal Aisyah dibangkitkan.

“Tapi kenapa ayah? Ayu juga perlu tahu alasan ayah halang Ayu berkawan dengan Aisyah. Apa kurangnya Aisyah? Selama ni ayah ok sahaja Ayu keluar jalan-jalan dengan Aisyah.” Ayu menarik tangan ayahnya memohon penjelasan.

“Ayah tak suka dengan dia! Kamu faham tak?! Ayah tak suka anak ayah berkawan dengan orang yang hidup sebatang kara. Entah dari mana asal usul dia kita tak tahu. Sebelum ni memang ayah pejam mata sahaja bila nampak kamu selalu bersama dengan dia, tapi kali ni ayah terpaksa bertegas. Jangan ingkar arahan ayah!” Encik Ikhwan menjerkah anaknya. Dia terpaksa memberi alasan itu untuk menutup permasalahannya sekarang. Jalan terbaik adalah dia terpaksa jauhkan Aisyah daripada Ayu sebelum keadaan menjadi tak terkawal.

“Ayah tak boleh buat macam ni. Ayah tak boleh halang Ayu. Ayu tak sanggup kehilangan Aisyah. Dia yang tolong Ayu selama ni. Dan hari ni pun dia yang selamatkan nyawa Ayu. Ayu tak sanggup nak putuskan persahabatan ini sedangkan Ayu berhutang nyawa dengan dia.” Ayu mula menangis memohon simpati ayahnya.

“Abang.. Sampai macam ni sekali abang bencikan Aisyah? Ijah tengok budak tu baik sahaja. Apa yang tak kena dengan abang ni?” Puan Khatijah mula hilang sabar dengan perangai suaminya yang bagaikan tidak peduli dengan perasaan Ayu sekarang. Sudahlah Ayu baru sahaja ditimpa kemalangan, lakinya pula bagaikan menambahkan lagi beban anaknya itu.

“Sebab tu ayah larang kamu berjumpa dengan Aisyah, supaya kamu tak berhutang nyawa lagi dengan dia di kemudian hari. Cukuplah hari ini sahaja kamu berjumpa dengan dia, selepas ni ayah tak izinkan kamu keluar tanpa pemantauan Pak Samad. Ayah akan ambil kunci kereta kamu. Kalau kamu ingkar juga arahan ayah, duit poket kamu pun ayah akan bekukan.” Encik Ikhwan nekad. Tidak dipedulikan amarah yang mula ditunjukkan Puan Khatijah. Tidak dipedulikan juga suara Ayu yang sudah mengogoi dalam pelukan isterinya. Apa yang dia tahu nama Aisyah harus dihapuskan daripada hidup keluarganya. Dia takut segala perbuatannya yang lepas bakal dibongkar dengan kehadiran Aisyah. Dia takut rahsianya yang tersimpan kemas selama ini bakal dihidu oleh anak dan isterinya.

“Mulai esok Pak Samad akan jadi driver kamu. Jangan cuba-cuba nak jumpa Aisyah belakang ayah, faham?!” Encik Ikhwan menyambung lagi. Tanpa menunggu jawapan dari Ayu, dia melangkah ke tingkat atas. Dia rasa dengan membiarkan Ayu di bawah pengawasan Pak Samad, driver isterinya itu adalah tindakan yang betul.

“Mama..” Ayu mula meminta simpati daripada Puan Khatijah. Dia tidak suka ayahnya berbuat demikian. Apa salah yang telah Aisyah lakukan sehingga ayahnya boleh bertindak sebegini? Ayu buntu memikirkan hal itu.

“Sabar eh sayang. Nanti mama cuba pujuk ayah kamu. Shh.. jangan nangis lagi.” Puan Khatijah mengusap lembut kepala Ayu. Dia juga hairan melihat perubahan mendadak suaminya itu.

Sorry lambat update.. busy sikit lately ni

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience