“Ya Allah Aisyah!” Tuan Johari menepuk-nepuk pipi Aisyah yang separuh sedar.
“Bangun Aisyah.”
“Pa.. Pak cik.” Aisyah bersuara lemah ke arah Tuan Johari. Dia bersyukur kerana Tuan Johari datang menyelamatkannya daripada terus dikurung di situ.
“Call ambulans sekarang Kak Milah!” Cemas Tuan Johari mengarah Kak Milah yang turut terpaku melihat keadaan Aisyah. Tuan Johari memangku kepala Aisyah di atas ribaannya.
“Baik tuan.” Kak Milah menghilangkan diri ke dalam rumah. Dia tidak menyangka Tuan Zakuan bertindak melampau dengan mengurung Aisyah. Nasib baik dia melihat kejadian itu dan segera memaklumkan kepada Tuan Johari. Kak Milah cuba membantu Aisyah sebentar tadi, namun kunci pendua bilik stor itu juga dipegang oleh Tuan Zakuan. Jadi Tuan Joharilah solusi yang terakhir untuk dia meminta tolong.
“Apa daddy buat dekat sini?” kemunculan Zakuan di situ menaikkan kemarahan Tuan Johari.
“Apa daddy buat kamu tanya. Sepatutnya daddy yang tanya apa kamu dah buat pada Aisyah!” Tuan Johari bingkas bangun daripada duduknya. Dia merapati anak lelakinya itu.
“Zakuan rasa daddy tak perlu masuk campur urusan Zakuan dengan dia. Perempuan tak guna tu memang layak untuk terima semua ni!” Tanpa rasa bersalah Zakuan menuturkan perkara itu. Dia tidak memandang langsung keadaan Aisyah yang sudah terbaring lemah di atas lantai.
“Zakuan!” Serentak itu, Tuan Johari melayangkan penumbuk ke muka Zakuan. Kuat sekali, sekuat hatinya yang cukup sakit mendengar kata yang tidak berperikemanusiaan keluar dari mulut Zakuan. Terduduk Zakuan di atas tanah akibat penangannya itu.
“Daddy tak sangka kamu dah berubah sekejam ini. Kalau kamu sakit hati dengan dia sekalipun, sekurang-kurangnya kamu hormatilah dia sebagai seorang wanita!” Tuan johari menunding jari tepat ke arah Zakuan. Kecil sahaja Zakuan pada penglihatannya sekarang.
Zakuan jelas terkejut melihat Tuan Johari menyinga kepadanya. Untuk pertama kali Tuan Johari bertindak memukulnya hanya disebabkan perempuan itu. Zakuan mengesat darah yang mula mengalir dari bibirnya.
“Daddy tak tahu apa yang perempuan tu dah buat dekat Sarah. Kalau daddy tahu, pasti daddy juga turut membenci dia.” Zakuan membidas sinis.
Tuan Johari tersentak. Dia tidak menyangka Zakuan mengetahui tentang kejadian itu. Dia yakin Zakuan merujuk kepada kemalangan lima tahun lepas. Ternyata Zakuan menyiasat segala-galanya selama ini.
“You don’t know anything Zakuan. You don’t know anything!” Tuan Johari mengetap gigi. Dia kembali mendapatkan Aisyah.
“Sabar eh Aisyah. Sekejap lagi ambulans datang. Mari Kak Milah, kita bawa Aisyah ke depan.” Tuan Johari menggamit Kak Milah yang baru muncul di situ. Tergopoh-gopoh Kak Milah mendapatkan Aisyah. Mereka memapah Aisyah menuju ke dalam rumah.
“Dia yang bunuh Sarah daddy!” Zakuan menjerit kuat kepada Tuan Johari. Sakit hatinya melihat Tuan Johari dan Kak Milah berusaha menolong Aisyah ketika itu. Gadis itu tidak layak mendapat pertolongan sesiapa.
“Cukup Zakuan! Kamu tak tahu apa yang berlaku. Kamu tak lihat dengan mata kamu sendiri apa yang terjadi malam itu. Jangan cepat menghukum kalau kamu hanya mendengar cerita daripada mulut orang lain.” Tuan Johari bersuara garang. Langkahnya bersama Aisyah terhenti betul-betul di hadapan Zakuan. Kak Milah hanya memerhatikan pertelingkahan itu. Dia tidak berani menyampuk sementelah melihat Tuan Johari juga berada dalam keadaan marah.
“Zakuan cuma mahukan keadilan untuk adik Zakuan sendiri! Salahkah apa yang Zakuan buat? Sarah dah tinggalkan kita dekat dunia ni, tetapi perempuan ni masih hidup bahagia dan bebas tanpa rasa bersalah dengan perbuatannya!”
“Bahagia kamu cakap? Kamu tak nampak apa yang dia dah lalui dalam hidup dia! Kamu tak nampak kesengsaraan dia selama ini! Kalau kamu nampak semua tu, jujur daddy cakap kamu tak akan sanggup untuk buat begini padanya. She’s hurt mentally and emotionally. Dan daddy tak nak kamu menjadi salah satu mimpi ngeri yang pernah hadir dalam hidup dia.” Bergetar suara Tuan Johari menuturkan itu. Matanya berkaca memandang Zakuan.
Zakuan bagaikan terkelu untuk melawan kata-kata Tuan Johari. Dia cuba mencerna segala ayat yang dituturkan oleh Tuan Johari kepadanya. Gaya pertuturan Tuan Johari seperti lelaki itu sudah lama mengenali Aisyah. Niatnya ingin bertanyakan hal itu kepada Tuan Johari terhenti apabila suara Aisyah menangkap pendengarannya.
“Encik Zakuan.. Demi nama Allah yang menciptakan nadi dan roh saya, saya bukan pembunuh Sarah.” Aisyah bersuara lemah. Redup pandangannya merenung anak mata hitam milik Zakuan. Dia berharap lelaki itu percayakannya kali ini.
“Mari Kak Milah.” Kak Milah mengangguk ke arah Tuan Johari sebelum kembali melangkah membawa Aisyah yang sudah lemah ke hadapan. Bunyi siren ambulan kedengaran di luar pagar.
“Tak mungkin Ariana berbohong pada aku selama ini. Tak mungkin dia sengaja mereka cerita tentang kemalangan itu. Tak mungkin!” Zakuan menyepak kerusi plastik yang terletak di sebelahnya. ‘You don’t know anything Zakuan. You don’t know anything!’ Kata-kata Tuan Johari kembali menerpa dalam fikirannya. Dia mula sangsi dengan cerita yang dihidangkan Ariana kepadanya selama ini.
Share this novel