Zakuan terkesima di tempatnya berdiri. Kedua-dua belah tangan naik memegang erat susur tangga untuk menampung badannya yang hampir melorot jatuh mendengar kisah yang diceritakan oleh Tuan Johari.
“Daddy kenal dengan Aisyah semenjak mereka berkawan di sekolah menengah lagi. Sebab itu daddy agak terkejut apabila mengetahui Aisyah bekerja di rumah kamu. Daddy terpaksa rahsiakan perkenalan kami daripada pengetahuan kamu sebab daddy tak nak kamu tahu yang Sarah berjumpa dengan daddy secara diam-diam selama ini. Kami tahu kamu akan marah teruk bila tahu akan hal itu. Dan kejadian lima tahun lepas juga memaksa daddy untuk mengunci mulut supaya kamu tidak bertambah bencikan daddy.” Tuan Johari berjalan mendekati Zakuan di tangga. Tunak pandangannya kepada Zakuan cuba memohon pengertian anak lelakinya itu.
“Tapi daddy tak sangka yang selama ini kamu menyiasat kemalangan itu secara diam-diam sehingga kamu boleh mengetahui keberadaan Aisyah bersama Sarah sewaktu itu. Tindakan daddy merahsiakan kemalangan itu daripada kamu membawa kepada kebencian kamu terhadap Aisyah.”
“Tak! Tak mungkin! Bukan itu apa yang Zakuan dengar!” Zakuan menggelengkan kepalanya berkali-kali menidakkan kenyataan Tuan Johari.
“Daddy tak tahu dari mana dan siapa yang telah menceritakan kejadian itu kepada kamu selama ini. Apa yang pasti tragedi malam itu hanya diketahui oleh daddy, mak cik Intan dan Aisyah sahaja. Percayalah Zakuan, kemalangan itu terjadi bukan disebabkan sesiapa. Kamu perlu percaya dengan Qada’ dan Qadar Tuhan.” Tuan Johari mengusap bahu Zakuan cuba untuk menenangkannya.
“Sewaktu pengebumian Sarah, daddy masih berada di hospital menerima rawatan akibat daripada letupan itu. Parut di dahi daddy ini adalah kesan daripada kejadian malam itu. Tetapi daddy masih datang bersama mak cik Intan ke kubur Sarah walaupun sudah terlambat. Daddy nampak kamu yang masih menangis di sisi pusara Sarah sewaktu itu walaupun jasad Sarah sudah dimamah bumi. Dan rasa bersalah dalam diri daddy semakin menebal ketika itu. Daddy hanya mampu memandang kamu dari jauh kerana daddy takut kehadiran daddy di situ memberikan lagi tekanan kepada Zakuan.” Tuan Johari menahan sebak yang bertamu di dada.
“Daddy tipu kan? Daddy sengaja mereka cerita supaya Zakuan rasa bersalah! Semua ini rancangan daddy.” Merah padam muka Zakuan menidakkan segalanya. Dia mengundur beberapa tapak ke belakang cuba menjauhkan diri dari Tuan Johari.
“Tak Zakuan! Setiap perkataan yang keluar dari mulut daddy adalah kebenaran. Bukan Aisyah yang patut kamu benci, tetapi daddy sendiri. Daddy yang menghalang Aisyah daripada menyelamatkan Sarah ketika itu. Daddy yang minta pihak hospital rahsiakan kemalangan itu daripada kamu. Jika kamu mahu balas dendam, daddylah orangnya. Bukan Aisyah dan bukan juga orang lain.” Tuan Johari menguatkan suara cuba menyedarkan Zakuan yang bagaikan tidak mahu menerima hakikat di depan mata. Dia sudah menceritakan segala-galanya. Sekarang terpulanglah kepada Zakuan untuk percaya atau tidak.
“Semuanya terjadi disebabkan daddy dan Aisyah. Sarah mati kerana bergaul dengan orang-orang pembawa malang di sekelilingnya. Andai Sarah tidak berjumpa dengan daddy malam itu pasti dia sudah selamat! Andai bukan Aisyah yang memandu malam itu pasti dia sudah selamat! Andai daddy dan Aisyah tidak meninggalkannya malam itu pasti Sarah sudah selamat! Andai..” Zakuan sudah menangis di sisi tangga. Tidak sanggup meneruskan ayat apabila terkenangkan kembali dirinya yang bagaikan mayat hidup apabila menerima berita tentang keadaan adiknya ketika itu.
“Andai malam itu dia tidak berjumpa dengan daddy dan bukan Aisyah yang memandu sekalipun, Sarah tetap akan pergi meninggalkan kita. Cuma keadaan sekeliling sahaja yang menjadi asbab Zakuan.. sedangkan sudah tercatit sebelum Allah menciptakan langit dan bumi lagi bahawa hayat Sarah sampai di situ sahaja.” Tuan Johari lembut menasihati Zakuan.
“Dan Zakuan tak boleh menerima takdir itu. Sampai mati pun Zakuan tak akan maafkan daddy dan Aisyah!” Zakuan pantas berlari memasuki bilik tidurnya. Berdentum bunyi pintu dihempas menunjukkan rasa hati yang sakit.
Tuan Johari mengejar langkah Zakuan. Berkali-kali dia mengetuk pintu bilik Zakuan yang sudah terkunci untuk memujuk anak lelakinya itu. Dia takut dendam di dalam diri Zakuan bakal menyebabkan hati anaknya itu bertukar hitam dan bertindak di luar jangkaannya.
“Zakuan! Daddy minta maaf kerana rahsiakan semua ini. Tetapi percayalah daddy lakukan semuanya demi kebaikan Zakuan. Daddy sayang Zakuan sama seperti Sarah. Tolonglah buang dendam dalam diri Zakuan jauh-jauh.”
Zakuan yang masih berada di balik pintu biliknya bertindak menekup kedua-dua belah telinga dengan tangan. Dia tidak mahu mendengar suara itu.
“Baiklah kalau ini keputusan Zakuan. Cuma daddy mahu berpesan..” Tuan Johari menjatuhkan tangannya daripada mengetuk pintu bilik Zakuan. Dia memalingkan tubuh untuk berlalu pergi.
“Belajarlah menerima keadaan tanpa harus membenci kenyataan, kerana perjalanan hidup kita adalah takdir yang indah dirahsiakan Tuhan. Ketika Allah mengambil sesuatu dari genggaman kamu, bukan bermakna Dia sedang menghukum kamu, tetapi Allah sedang mengujimu untuk lebih mendekatkan diri dengan-Nya dan bukannya menyalahkan takdir seperti ini. Bukan kamu sahaja yang merasa kehilangan, Zakuan.. daddy juga turut merasainya.” Tuan Johari terus berlalu dari ruangan itu. Dia yakin Zakuan mendengar segala bicaranya.
Zakuan merasakan lutut kakinya menjadi lemah sebelum badannya perlahan-lahan melorot jatuh ke atas lantai. Zakuan menangis menghamburkan segala kesedihan dan kemarahan di dalam hati. Dia tidak mampu menerima segalanya dengan hati yang terbuka. Dirinya tidak kuat apabila diuji begitu. Zakuan kembali mengepal penumbuk bersama pandangan yang penuh dengan api kemarahan.
“Arghhhh!”
Share this novel