“Aisyah, kenapa aku tengok kau macam lain sahaja sejak kebelakangan ni?” Ayu menyoal apabila dilihat Aisyah seperti menungkan sesuatu. Ketika itu Aisyah datang menolongnya mengemas barang untuk dibawa pulang ke rumah sepanjang tiga minggu cuti pertengahan semester.
“Tiada apalah Ayu. Aku cuma berfikir apa yang aku nak buat untuk habiskan cuti aku dekat rumah nanti.” Aisyah membalas sambil tersenyum kelat.
“Itulah kau. Aku ajak pulang ke rumah aku kau tak nak. Kau nak juga bercuti sorang-sorang. Kalau kau pulang ke rumah aku, at least kita boleh habiskan cuti sama-sama. Tengok movie or pergi shopping sekali.” Ayu masih cuba untuk memujuk Aisyah pulang ke rumahnya. Walaupun sudah tiga tahun dia mengenali Aisyah, Aisyah tidak pernah menziarahi rumahnya walaupun sekali. Gadis itu lebih suka hidup menyendiri.
“Tak apalah Ayu. Lagipun aku segan dengan ayah kau. Maunya aku terbuat perangai tak elok dekat rumah kau, malu tujuh keturunan aku.” Aisyah cuba menolak lembut ajakan Ayu. Sering kali dia memberi alasan yang satu itu.
“Hmm.. baiklah kalau itu kata kau.” Ayu memasukkan lipatan baju yang terakhir ke dalam beg bagasinya. Dia menarik bagasinya sambil dibuntuti Aisyah.
“Betul ni kau tak nak ikut?” Ayu masih mencuba nasib. Mana tahu kalau Aisyah berubah fikiran.
“Ya. Kau tak payah risau tentang aku. Nanti kalau kau dah sampai rumah bagitahu aku.” Aisyah masih dengan keputusannya. Dia sempat berpesan kepada Ayu sebelum menghantar kepergian sahabatnya dengan ekor mata.
PELUH yang membasahi dahi dilap dengan lengan baju kurung yang tersarung elok dibadan. Sesekali salam diberikan sambil tangan ligat menekan loceng yang terdapat di tepi pagar banglo itu apabila dilihat tiada sesiapa yang menyedari tentang kehadirannya di situ. Lama Aisyah berkeadaan begitu sebelum dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula menghantar satu pesanan ringkas kepada penghuni yang berada di dalam untuk memberitahu tentang ketibaannya. Selang beberapa saat kemudian, pintu pagar terbuka luas dengan sendirinya dan muncul Kak Limah yang bagaikan tergesa-gesa mendapatkannya. Fikiran Aisyah kembali teringat tentang pesanan yang diterimanya lewat malam semalam.
‘Kalau kau nak tebus dosa kau dengan Sarah, datang rumah aku. Kau masih ingat kan rumah aku dekat mana?’ Tiada ribut tiada angin, Aisyah menerima message daripada nombor yang tidak dikenali. Dia tahu siapa insan yang bertanggungjawab menghantar pesanan itu kepadanya. Dia mengeluh tanpa berniat mahu membalas text tersebut kembali. Disebabkan itu dia berada di banglo itu semula hari ini.
“Jemputlah masuk.” Suara Kak Milah menghentikan lamunan Aisyah. Aisyah tersenyum sebelum menurut ajakan Kak Milah. Punggung dilabuhkan di sofa hitam yang terletak diruang tamu rumah itu.
“Aku ingat kau dah tak berani datang sini.” Suara keras Zakuan menyapa halwa telinga Aisyah. Zakuan mengambil tempat di hadapan Aisyah.
“Kenapa encik nak jumpa saya?” Aisyah tidak mahu berbasa-basi dengan Zakuan. Hatinya gentar berhadapan dengan lelaki itu. Dia pasti Zakuan mempunyai rancangannya tersendiri.
“Kau jangan perasan yang aku nak sangat tengok muka kau. Aku panggil kau datang sini sebab ada benda menarik yang aku nak tawarkan untuk kau.” Zakuan tersenyum penuh makna.
“Baik.. saya sedia mendengar. Kalau apa yang encik tawarkan itu tidak memberi keuntungan kepada saya, saya berhak untuk menolaknya.” Aisyah membidas berani. Dia seperti dapat mengagak apa yang bakal diutarakan oleh lelaki itu.
“Bagus. Aku suka dengan keberanian kau sekarang. Tapi aku nak tengok sejauh mana keberanian kau tu boleh bertahan.” Zakuan mengetap gigi.
“Aku nak kau jadi orang gaji dalam banglo ni.” Zakuan menyuarakan keinginannya.
“Apa maksud encik?” Aisyah keliru. Lelaki itu membenci dirinya tetapi masih menawarkannya untuk bekerja. Dia berfikir Zakuan mahu meminta ganti rugi di atas kemalangan itu.
“Aku nak kau jadi orang gaji dalam rumah aku tanpa bayaran. Aku nak kau buat kerja-kerja dalam rumah ni dan ikut semua arahan aku.” Zakuan merenung tajam ke arah Aisyah.
“Nonsense! Apa yang encik tawarkan tak ubah seperti menjadikan saya sebagai hamba abdi dalam rumah ini. Saya tak boleh terima tawaran yang encik berikan. Kalau perkara ini yang encik nak bincangkan dengan saya hari ini, saya minta maaf, saya tak boleh ikut. Saya minta diri dulu.” Aisyah bangun menuju ke pintu utama. Terasa darah panas menyerbu kemukanya mendengar tawaran tidak masuk akal daripada Zakuan. Belum sempat dia melangkah, terasa tangannya dikilas ke belakang. Aisyah berdecit menahan sakit.
“Hei perempuan! Aku dah cukup bagus tawarkan kau sebagai orang gaji. Kalau nak dibandingkan dengan apa yang kau buat dekat Sarah, aku boleh buat lebih teruk dari tulah! Kau beruntung aku masih biarkan kau bernafas dekat dunia ni. Kalau aku tak fikirkan tentang hukum hakam Allah, dah lama aku pisahkan roh kau dari jasad!” Zakuan bertukar bengis melihat penolakan Aisyah sebentar tadi.
“Kau nak anggap aku kejam dengan kau?! Aku boleh bertindak lagi kejam dari nilah kalau aku nak. Aku boleh saja hantar orang untuk musnahkan dan hapuskan kau, tapi aku lebih memilih untuk berunding dengan kau!” Zakuan kembali menguatkan pegangannya.
“Encik.. sa.. sakit.” Aisyah merintih apabila terasa tangannya bagaikan ingin patah. Dia mengharapkan belas ihsan dari Zakuan untuk melepaskannya. Seboleh-bolehnya dia menahan air mata daripada jatuh di hadapan lelaki itu. Dia tidak mahu lelaki itu menganggap dirinya lemah dan senang untuk ditindas.
“Tuan..” Kak Milah sekali lagi datang sebagai penyelamat. Dia cuba menghampiri dua insan di hadapannya itu.
“Kalau Kak Milah tak nak kena pecat, jangan masuk campur dalam urusan saya. Jangan bagitahu sesiapa tentang perkara ni termasuklah daddy. Saya tak akan teragak-agak untuk pecat Kak Milah kalau ingkar arahan saya.” Langkah kaki Kak Milah terhenti apabila mendengar arahan keras daripada Zakuan. Dia risaukan gadis itu tetapi dia juga takut kehilangan pekerjaannya. Kak Milah serba salah jadinya.
“Lepaskan saya! Encik tak ada hak nak tentukan takdir hidup saya. Saya bukan orang suruhan encik! Encik boleh minta berapa banyak bayaran dari saya, in syaa Allah saya akan usaha bayar sikit-sikit. Bukannya minta saya menjadi orang bawahan encik.” Aisyah cuba melepaskan diri. Ternyata keputusannya berjumpa dengan lelaki itu adalah salah.
Zakuan menolak Aisyah jatuh ke lantai mozek rumahnya apabila dilihat gadis itu mula meronta. Dia tidak peduli dengan kesakitan yang dirasai gadis itu akibat penangannya yang kuat. Rasa dendam lebih menguasai dirinya.
Kak Milah jelas terkejut dengan tindakan majikannya itu tetapi dia hanya membatukan diri kerana dia tidak mahu lelaki itu mengotakan amarannya sebentar tadi. Kakinya mula meninggalkan ruangan itu kerana tidak sanggup melihat Aisyah disiksa.
“Hak kau dah lama hilang sejak kau ragut nyawa Sarah lima tahun lepas. Kalau betul kau tak bersalah, kau boleh buktikan selama kau bekerja di sini. Aku nak tengok sanggupkah kau menderita untuk menebus dosa kau kepada Sarah. Nasib kau baik, aku cuma mengikat kau bekerja tiga minggu disini dan bukannya selama lima tahun. Lagipun kau mungkin tak akan mampu membayar harga yang kau dah buat dulu sebab rasanya tak ternilai kesalahan kau.” Zakuan mencengkam rahang Aisyah dengan kuat. Dia tahu Aisyah akan menurut kemahuannya kerana dia pasti gadis itu menjadi lemah apabila dikaitkan dengan kehilangan Sarah.
Aisyah cuba memikirkan baik buruk tawaran yang diberikan Zakuan. Jika dia menolak tawaran itu, pasti lelaki ini akan mengganggu hidupnya sepanjang hayat. Jika dia menerima cadangan lelaki itu, dia hanya perlu bertahan selama tiga minggu sahaja. Tetapi dia pasti lelaki ini akan meyeksanya selama dia berada di sini. Dia tak bodoh untuk tidak mengetahui niat asal lelaki itu mahukan dirinya bekerja di sini.
“Baiklah saya akan ikut arahan encik dan akan bekerja disini tanpa bayaran jika itu yang mampu saya lakukan atas kesalahan saya dahulu. Tapi encik janji selepas tiga minggu, encik akan lepaskan saya dan tidak akan mengganggu hidup saya lagi.” Aisyah akhirnya bersetuju menerima tawaran Zakuan. Dia menepis tangan kekar Zakuan di wajahnya. Dia tidak suka lelaki itu menyentuh dirinya. ‘Kau cuma perlu bersabar selama tiga minggu sahaja. Selepas ini kau boleh padamkan nama lelaki ini dari hidup kau. Dia akan menjadi sejarah selepas tiga minggu kau bebas dari cengkamannya.’ Aisyah cuba memujuk hati.
Zakuan berdiri sambil tersenyum menang. Dia sudah mengagak Aisyah akan bersetuju dengan tawarannya apabila nama Sarah disebut.
“Bagus. Kau boleh mula bekerja esok. Waktu kerja kau mula pukul lapan pagi sampai enam petang. Ingat, aku tak suka orang yang tak tepati masa.” Zakuan memberi arahan. Kakinya yang berura-ura mahu meninggalkan ruang itu terus terhenti apabila Aisyah memanggilnya. Dia masih tidak memalingkan muka kerana hatinya meluat mahu melihat wajah itu.
“Tunggu. Sebelum saya menjadi orang suruhan encik, saya perlu tahu apa hubungan encik dengan Sarah. Saya tak nak selama tiga minggu pengorbanan saya disini hanyalah sia-sia.” Aisyah akhirnya menyuarakan persoalan yang terpendam di hatinya selama ini. Dia berdiri dalam kepayahan mengharapkan jawapan daripada Zakuan.
Zakuan tidak bersuara. Dia menyeluk saku seluarnya sebelum melemparkan sekeping gambar di hadapan Aisyah.
“Seperti yang aku cakap sebelum ni. Kau tak perlu tahu siapa aku yang sebenarnya. Cukuplah kau tahu yang Sarah adalah seseorang yang sangat istimewa di hati aku. Kalau diberi pilihan, aku sanggup alihkan kesakitannya kepada diriku.” Zakuan membalas keras. Dia meninggalkan Aisyah di ruang tamu sebelum menuju ke tingkat atas.
Perlahan-lahan tangan Aisyah mengutip sekeping gambar yang jatuh betul-betul di hujung kakinya. Gambar tersebut diterbalikkan untuk dilihat isinya. Air mata Aisyah gugur jua apabila matanya menangkap senyuman manis Sarah di sisi seorang lelaki. Dan lelaki tersebut adalah Zakuan. Aisyah dapat melihat senyuman bahagia kedua-dua insan itu berlatarbelakangkan pemandangan ladang teh yang luas. Sesiapa sahaja yang melihat gambar itu pasti dapat mengagak bahawa Zakuan dan Sarah merupakan pasangan kekasih. ‘Mungkinkah..?’ Minda Aisyah diserbu tanda tanya.
Sorry kalau karya saya membosankan..
Share this novel