Bab 9
“ Saya tengok… jari isteri saya bergerak.”
“ Baru aje berlaku?” Doktor Murphy bertanya. Pantas aku mengangguk.
“ Apa yang encik lakukan tadi? Ada berbual dengan pesakit?” Doktor Murphy terus bertanya kepadaku sewaktu dia memeriksa keadaan Odette.
“ Ya. Saya fikir… kalau saya berbual dengan isteri saya, dia mungkin akan sedar.”
Doktor Murphy kelihatan berpuas hati denganku.
“Teruskan bercakap dengan pesakit. Pesakit yang masih belum sedarkan diri seperti ini biasanya otak mereka dapat dirangsang dengan suara orang yang rapat dengan mereka.”
“Ada komplikasi ke doktor?” aku bersuara risau.
“ Pernafasan isteri encik normal dan tiada tanda-tanda lain yang boleh membahayakan pesakit. Isteri encik dapat sedarkan diri dalam masa yang terdekat. Melainkan kalau ada sesuatu yang menghalang pesakit untuk berbuat demikian.”
“ Maksud doktor… kecederaan?”
Doktor Murphy menggeleng. “Saya bercakap dari segi psikologi. Ada juga kes di mana pesakit sendiri tidak mahu sedarkan diri. Mereka biarkan diri mereka tenggelam dalam minda separa sedar mereka. Pesakit mungkin ada trauma atau sesuatu yang kuat untuk menghalang mereka daripada sedarkan diri.”
“Ada kemungkinan… trauma?” Aku kebingungan.
“ Tak perlu risau, Encik Dawson. Pihak kami akan memantau keadaan isteri encik dari masa ke semasa. Saya akan segera maklumkan sekiranya ada sebarang komplikasi menimpa isteri encik.”
Aku tersenyum sedikit mendengarkan kata-kata Doktor Murphy. Aku yakin Odette masih belum sedarkan diri bukannya kerana trauma. Odette tidak pernah mengalami kemurungan. Mustahil dia menyorokkan daripada aku sekiranya dia benar-benar mengalami trauma.
Aku kan suaminya? Siapa lagi yang harus dia percayai untuk melindungi dirinya kalau bukan aku?
*********
“Encik?”
Suara itu kudengar lagi. Tetapi aku tidak menemui pemilik suara itu.
“Encik?”
Aku melihat ke sekelilingku. Putih. Hanya warna putih melatari tempatku berada.
“ Encik? Encik tak apa-apa?”
Aku memejamkan mata lalu membukanya kembali. Odette sedang berdiri di hadapanku dengan wajah yang kehairanan. Kanak-kanak yang pernah kulihat sebelum ini turut berada di sampingnya. Aku tersentak.
Aku kembali ke dalam mimpi aneh itu.
“Encik tersesat ke?”
Odette masih dengan soalan itu. Soalan yang pernah diutarakan olehnya pada kali pertama aku bermimpi sedemikian. Aku melihat ke sekeliling. Adakah ini sambungan mimpiku yang tadi?
“Saya… ada kampung terdekat dengan kawasan ni?”
Aku memutuskan untuk mengikut sahaja hala yang sedang dimainkan oleh mimpiku. Adakah ini mimpi yang biasa? Atau mimpi ini boleh membawa kepentingan kepada aku. Tidak seperti mimpi-mimpi yang pernah kualami sepanjang hayatku, mimpi ini benar-benar membuatkan aku berasa dalam realiti. Aku juga sedar bahawa ini hanyalah mimpi semata-mata walau bagaimanapun ianya terjadi.
Apakah yang berlaku?
“ Ada. Kampung kami tak jauh dari sini. Encik boleh ikut kami balik,” Odette menjawab pertanyaanku.
Walaupun aku seakan-akan berada di alam realiti, tetapi tetap ada perbezaannya. Odette tidak mengenali siapa diriku apatah lagi status dirinya sebagai isteriku.
“ Boleh… boleh juga.”
Ke manakah mimpi aneh ini akan membawaku? Apakah yang cuba ditunjukkan kepadaku?
Odette tersenyum kecil. “ Mari saya tunjukkan jalan. Encik…?”
“ Dylan. Dylan Dawson.”
“ Nama saya Odette Swann. Budak-budak ni semua anak-anak jiran di kampung kami.”
“ Oh… baik… Cik Swann.”
Aneh pula rasanya apabila terpaksa berbahasa formal dengan isteriku sendiri. Terasa seperti pada pertemuan pertama yang terjadi di antara kami berdua dahulu.
“ Mari kita balik dulu. Kasihan Encik Dawson. Kita tunjukkan jalan dahulu ya?”
Odette cuba memujuk kanak-kanak itu yang bertanyakan mengenai perkelahan mereka di kawasan sungai itu. Mereka bersetuju sahaja dengan cadangan daripada Odette. Kanak-kanak itu kelihatannya rapat dengan isteriku sehingga senang sahaja mereka mendengar kata-kata Odette tanpa banyak bantahan.
Dalam sepanjang perjalanan kami ke kampung yang dimaksudkan oleh Odette, aku banyak mendiamkan diri. Aku hanya membuka mulut apabila ditanyakan soalan. Kesemua kanak-kanak tadi berlari-lari di hadapan kami sambil berpegangan tangan. Berkali-kali Odette menyuruh mereka agar berhati-hati tetapi mereka tetap dengan dunia mereka.
Kalaulah aku dan Odette sudah mempunyai cahaya mata kami sekarang, adakah aku dan dia akan bersama-sama meluangkan masa dengan anak kami? Berkelah bersama-sama, bermain bersama-sama.
“ Encik nak ke mana sebenarnya?”
“ Saya… mengembara ke mana aje. Kebetulan saya dah sampai di kawasan ni, mungkin saya akan bermalam untuk beberapa hari.”
Memandangkan aku tidak tahu secara spesifik keberadaanku, lebih baik aku mengambil langkah yang selamat dengan menjawab secara umum.
Sebuah perkampungan yang biasa kulihat di dalam filem menjadi hidangan mataku. Di sana sini orang sibuk dengan tugas masing-masing. Kesemuanya berpakaian sepertiku dan Odette. Kaum lelaki kelihatannya seperti dalam perjalanan ke ladang atau ke hutan.
…bersambung
Bab akan datang:
Kemanakah haluan Dylan dalam mimpi aneh itu?
Share this novel