Chapter 21

Romance Completed 24286

Bab 21

“Saya tak tahu ayah, cuma… saya terfikir kalau bapa saudara Odette ada hubungi Odette selepas dia dilepaskan tiga bulan lepas. Saya tak menolak kemungkinan bahawa dia dah berubah tapi… saya tak boleh berhenti daripada fikirkan pasal bapa saudara Odette. Bagaimana kalau dia tak senang dengan hidup Odette sekarang? Bagaimana kalau dia cuba nak bahayakan hidup Odette lagi? Saya tak boleh duduk dengan tenang, ayah. Selagi saya tak jumpa bapa saudara Odette, selagi tu saya tak tenang.”

“ Dylan dah beritahu Inspektor Kent?”

Aku mengangguk perlahan. Aku telah menghubungi Inspektor Kent dan menceritakannya secara ringkas. Buat masa sekarang, Inspektor Kent masih dalam usahanya untuk menjejaki Marcus McCullagh.

“ Ayah yakin Dylan tahu apa yang perlu Dylan lakukan. Tapi jangan sesekali kalah dengan emosi Dylan. Ingat, Odette perlukan Dylan. Jangan cuba lakukan perkara yang boleh membinasakan diri kamu hanya kerana Dylan nak selesaikan kes ini.”

“ Saya faham, ayah. Saya pun perlukan Odette.”

Kami berdua sama-sama mendiamkan diri. Pandanganku kembali kepada pasangan suami isteri tadi. Kedua-dua anak mereka sedang berlari berkejaran sambil diperhatikan oleh ibu bapa mereka. Aku teringat akan diriku dan Mike apabila melihat anak-anak kecil itu. Aku teringat akan Odette apabila melihat pasangan suami isteri itu.

Sejujurnya, aku cemburu apabila melihat senyuman bahagia pada wajah si suami yang sedang bergurau senda dengan isterinya itu.

Sekali lagi aku terpaksa meninggalkan Odette di bawah jagaan ibu dan ayah. Aku kembali ke rumah untuk mencari klu yang boleh membantuku menyelesaikan misteri yang menyelubungi hidup isteriku.

Masa Odette banyak dihabiskan di kondominium kami, berbeza dengan aku yang sentiasa sibuk dengan urusan syarikat. Kadang kala pada setiap kali aku pulang dari pejabat pada waktu malam, ada-ada sahaja perubahan yang dibuat oleh isteriku di rumah kami.

Memandangkan aku sudah menemui secebis kertas yang membawaku kepada masa silam isteriku, aku yakin masih ada klu yang ditinggalkan oleh isteriku. Odette seorang yang sangat teratur hidupnya. Dia suka mencatat apa sahaja pada helaian kertas walaupun hanya catatan masa pukul berapa rancangan yang ingin ditontonnya akan dimainkan pada kaca televisyen.

Aku memulakan pencarianku di dalam bilik tidur kami. Beberapa hari yang lepas aku menemukan cebisan kertas itu di dalam almari. Tidak mustahil Odette tidak meninggalkan sebarang petunjuk lagi di dalam bilik ini.

Aku mengeluarkan setiap lipatan pakaian yang berada di dalam almari bersama-sama pakaian yang disangkut di dalamnya. Lincah tanganku menyelongkar setiap inci almari itu. Mataku meliar memerhatikan setiap sudut tetapi setakat ini pencarianku tidak berhasil. Kini almari itu sudah benar-benar kosong sebagaimana keadaannya pada hari pertama almari itu ditempatkan di dalam bilik ini.

Tetapi ada sesuatu yang mengangguku. Aku merasakan ada sesuatu yang aku terlupa. Aku cuba mengingatkan kembali tetapi aku langsung tiada sebarang petunjuk mengenai apa yang dilupakan olehku.

Aku tidak membuang masa untuk kembali menyimpan kesemua pakaian yang kuhumban di atas katil. Aku segera keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu. Kepala yang tidak gatal kugaru berulang kali. Terlalu banyak tempat yang boleh dijadikan sebagai ruang untuk persembunyian sesuatu. Dari mana harus aku bermula?

Aku membuka laci meja yang berada berhampiran denganku. Di dalamnya hanya terdapat buku-buku yang menyimpan resipi isteriku. Tiada apa-apa yang penting di dalamnya. Pencarianku pada setiap vas yang berisi bunga plastik juga tidak mendatangkan sebarang hasil. Ketika aku ingin beralih dari ruang tamu untuk ke dapur, barulah aku tersedar apa yang dilupakan olehku.

Odette gemar menyelitkan kertas memo pada setiap buku yang dibacanya. Walaupun kadang kala isi pada memo kecil itu tidak berkaitan dengan buku tersebut, isteriku tetap akan menyelitkan kertas itu. Dia akan berpura-pura merajuk denganku setiap kali aku mentertawakan tindakan anehnya itu.

Mataku memeriksa setiap tajuk buku yang memenuhi rak buku besar yang berada di dalam bilik bacaan. Terlalu banyak buku ditempatkan di sini sehingga aku buntu buku apa yang perlu kucapai. Aku berundur ke belakang apabila menyedari tajuk apa yang banyak memenuhi rak buku ini.

Kebanyakan buku-buku tersebut merupakan kisah mengenai mangsa penderaan. Kisah yang terjadi berdasarkan pengalaman sebenar penulis juga banyak ditempatkan pada rak buku ini.

Pada saat itu aku menyedari aku masih belum mengenali isteriku dengan sepenuhnya. Aku sentiasa bersama-samanya tetapi aku langsung tidak menyedari bahawa dia sedang cuba untuk melupakan apa yang terjadi pada zaman kanak-kanaknya dengan membaca buku-buku sedemikian. Setiap kali aku menghadiahkan buku untuknya, aku banyak memberinya buku yang bertemakan percintaan dan kekeluargaan.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah klu yang Dylan dapat untuk membantu menyelesaikan masalah isterinya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience