Bab 12
Aku kembali duduk di sebelah Odette. Memerhatikan wajah resahnya membuatkan aku sendiri tidak senang duduk. Pada masa yang sama aku memikirkan mengenai mimpi aneh yang kualami dua kali dalam masa sehari ini. Odette muncul di dalam mimpiku dan mimpiku yang pertama bersambung dengan mimpi yang kedua.
Apakah maksudnya?
Adakah mimpi itu membawa sebarang petanda bagiku menyelesaikan misteri kes yang melibatkan isteriku ini?
“Bila sayang nak bangun? Abang tunggu…”
Aku meraup wajah yang terasa kekusutannya. Sehingga kini Odette masih belum sedar. Tetapi kenapa aku tengok dia seakan-akan sedang tidur? Isteriku seperti tidurnya yang dihantui mimpi ngeri. Seperti malam-malam sebelum ini yang pernah aku menyaksikan bagaimana dia kelihatan resah dalam tidurnya.
Suatu memori datang kepadaku secara tiba-tiba. Seingat aku, aku pernah tersedar daripada tidur kerana Odette kedengaran seperti dia sedang merayu meminta tolong daripada seseorang. Pada mulanya aku hanya menganggap itu hanyalah mainan tidur tetapi itu bukanlah kali pertama aku melihat Odette merayu-rayu dalam tidurnya. Aku pernah menyaksikannya untuk beberapa kali.
Aku masih ingat bagaimana keadaan isteriku pada waktu itu. Peluh dingin menitik pada dahinya. Wajahnya berkerut dan mulutnya menggumam seakan-akan dia sedang meminta tolong daripada seseorang. Nama seseorang muncul daripada bibir isteriku tetapi pendengaranku tidak dapat menangkap nama itu.
Adakah seperti kata-kata Doktor Murphy sebelum ini, Odette tidak membenarkan mindanya untuk sedar kerana takut akan sesuatu di alam realiti? Adakah itu suatu kemungkinan? Jadi mimpi-mimpi ngeri yang pernah dialami isteriku itu bukanlah mainan tidur semata-mata?
Tapi siapa?
Siapakah yang mampu memberi impak yang sedemikian kepada isteriku? Dan bagaimana pula bentuk trauma yang pernah dialami Odette? Kenapa selama tempoh kami bersama-sama dia tidak pernah menyebut mengenai sebarang peristiwa yang pernah menakutkan dia? Adakah Odette sengaja berahsia?
Aku kembali mengeluarkan kertas yang kutemui di almari tadi. Mataku kembali melirik kepada perkataan dan nombor yang tercatat pada permukaan kertas itu. Ini benar-benar tulisan Odette. Telefon pintarku pula kukeluarkan. Nombor Inspektor Kent kudail. Sebaik sahaja panggilanku diangkat tanpa membuang masa lagi aku berterus-terang akan tujuan aku menelefonnya.
“ Saya ada sesuatu nak beritahu tuan. Boleh kita jumpa sekarang?”
********
Aku terpaksa meninggalkan wad itu sekejap kerana inginkan privasi untuk pertemuanku dengan Inspektor Kent dan Detektif Connor selepas ini. Walaupun hatiku berat tetapi aku turun juga dari tingkat empat menuju ke bilik tetamu semalam. Kedua-dua pegawai polis itu sudah menunggu aku di situ.
“ Bagaimana dengan isteri encik? Masih belum sedarkan diri?”
Inspektor Kent bertanya sebaik sahaja aku melabuhkan punggung di hadapannya. Gelengan aku menghentikan niatnya untuk kembali bersuara mengenai isteriku. Dia terus ke pokok utama pertemuan kami.
“ Encik kata ada jumpa sesuatu?”
Aku mengeluarkan cebisan kertas itu lalu kutunjukkan kepada mereka berdua. Inspektor Kent dan Detektif Connor saling berpandangan. Mereka seakan-akan mengetahui sesuatu hanya dengan sekilas pandang pada apa yang tertera pada kertas itu.
“ Kami tak tahu maksud di sebalik huruf M ni tapi nombor ni…” Detektif Connor diam buat seketika. Dia melihat kepada Inspektor Kent yang duduk di sebelahnya. Perhatian mereka berdua beralih pula kepada aku.
“ Nombor ni seakan-akan nombor untuk tahanan di penjara. Isteri encik ada hubungan rapat dengan sesiapa di yang menjadi tahanan?” Inspektor Kent bertanya.
Penjara?
Siapa?
Aku yakin ekspresi terkejutku menjawab soalannya kerana Inspektor Kent terus mengajukan soalan lain. Ini merupakan kali pertama aku mendengar hal seperti ini. Mustahil Odette ada hubungan dengan sesiapa yang berada di penjara. Mustahil!
“ Ini memang tulisan isteri encik, kan?”
Aku mengangguk tanpa berkata apa-apa. Lidahku terasa kelu untuk mengatakan walau sepatah perkataan pun.
“ Kami akan periksa milik siapa nombor tahanan ini. Sementara tu kami akan pegang dahulu bukti ni. Mungkin kes langgar lari ini ada kaitan dengan apa yang isteri encik catatkan pada kertas ini.”
“ Bagaimana dengan nombor-nombor yang tuan jumpa dalam telefon isteri saya?”
“ Apa yang kami peroleh buat masa sekarang, panggilan-panggilan itu dibuat di kawasan-kawasan yang berlainan. Kesemuanya tidak dibuat di kawasan ini. Dua daripada panggilan itu dibuat di Hackley, satu di Northbridge, satu di Willesburn dan satu di Branwell.”
“ Semua tempat tu tak ada kaitan dengan satu sama lain, kan?”
“ Ya. Kesemuanya kawasan yang berjauhan antara satu sama lain. Ada panggilan yang dibuat di pondok telefon awam dan ada panggilan yang dibuat di bar. Panggilan yang dibuat di telefon awam di Willesburn adalah panggilan terakhir kepada mangsa sebelum isteri encik kemalangan. Durasi di antara panggilan itu dan masa kemalangan adalah 15 minit.”
…bersambung
Bab akan datang:
Apa kena-mengena nombor itu dengan isterinya?
Share this novel