Chapter 13

Romance Completed 24289

Bab 13

“Maksudnya, isteri saya terus keluar dari rumah kami lepas dapat panggilan tu?”

Inspektor Kent mengangguk. “ Ya. Tambahan lagi Willesburn berdekatan dengan Agnes Park.”

Aku menerima sahaja apa yang diberitahu oleh Inspektor Kent. Semuanya bertubi-tubi menimpaku sehingga aku tidak tahu dari mana untuk aku memulakan langkah untuk menyambung setiap rantaian misteri kes ini.

Selepas beberapa ketika, mereka berdua meminta diri untuk pulang. Aku menghantar mereka ke lobi hospital dengan ucapan terima kasih. Fikiranku makin kusut dengan apa yang didengariku tadi.

Penjara? Tahanan? Siapa? Adakah benar itu nombor untuk tahanan di penjara? Jika benar, apakah hubungan isteriku dengan tahanan itu?

Dan… adakah orang yang menelefonku isteriku pada malam itu adalah suspek? Bukannya sekadar kenalan isteriku yang menelefon menggunakan telefon awam.

Tapi… mustahil. Odette tidak mempunyai ramai kenalan rapat.

Sekembalinya aku ke wad yang menempatkan Odette, aku tersandar pada pintu biliknya. Renungan aku kosong ke hadapan. Setiap kata-kata Inspektor Kent sehingga ini membuatkan aku bingung sendirian walaupun kebenarannya masih belum disahihkan lagi.

Pandanganku beralih kepada Odette. Perlahan langkahku menghampiri katilnya. Aku mengambil tempat di kerusi bersebelahan dengan katil itu. Mataku tidak lepas daripada merenung ke arah wajah isteri kesayanganku.

“Odette ada rahsiakan sesuatu daripada abang ke?”

Aku cuba mengalihkan tumpuanku daripada kata-kata Inspektor Kent kepada keadaan isteriku pada saat ini. Daripada risaukan mengenai sesuatu yang belum pasti, lebih baik aku menumpukan perhatian untuk menyedarkan isteriku daripada lenanya.

Tetapi tidak semudah itu untuk aku melupakan apa yang diberitahu Inspektor Kent.

Aku menekup wajahku pada tilam katil. Aku melepaskan keluhan yang seberat-beratnya. Tubuhku terasa benar-benar letih saat ini. Begitu juga dengan jiwaku.

Cahaya yang terasa sudah sinonim dengan diriku kembali lagi. Seakan-akan mengetahui apa yang akan berada di hadapanku, aku cuba menenangkan hatiku yang sedikit sebanyak gentar. Tepat seperti sangkaanku, Odette yang berada di kurun ke 18 muncul di hadapanku. Aku kembali berada di bilik kecil yang menjadi tempat terakhirku berada pada kali yang lepas.

“Pernah… jumpa encik?”

Wajah Odette bingung melihatku. Aku turut bingung melihat wajahku. Serta merta aku teringatkan soalan yang aku tanyakan kepadanya sebelum ini.

“Tak, maafkan saya. Saya tersilap cik dengan seseorang,” aku cuba berdalih.

Odette ketawa kecil. Dia menggeleng perlahan.

“Saya tak pernah tinggalkan kampung ni selama 20 tahun saya hidup. Encik memang tersilap orang rasanya.”

20 tahun? Patutlah aku seakan-akan melihat Odette seperti berada di awal 20-an. Odette di hadapanku ini berusia sembilan tahun lebih muda daripada Odette yang menjadi isteriku. Isteriku di alam nyata, bukannya yang hanya muncul di dalam mimpiku.

“Oh… em… baiklah. Maaf, cik.”

Odette tersenyum kecil sebelum dia meninggalkan aku keseorangan di bilik itu. Tetapi aku perasan dia berhenti sejenak di muka pintu sebelum kembali meneruskan langkahnya dan menutup pintu.

Aku berbaring di atas katil. Mataku melihat kepada siling yang berada di hadapanku.

Kenapa aku kembali lagi ke sini? Adakah sebab aku terlampau risaukan isteriku jadi mindaku mengawal diriku sedemikian?

Aku tidak mempunyai sebarang jawapan untuk itu. Tetapi aku boleh cuba meneroka mimpiku ini demi mencari sesuatu petunjuk mengenai apa yang menimpa isteriku. Walau bagaimanapun apa yang menghairankan aku, kenapa mimpi aneh ini berlatartempat di sebuah kampung pada kurun ke 18? Adakah ia bermakna sesuatu?

Sejak dihantui mimpi-mimpi aneh ini, aku sedar terlalu banyak persoalan baharu yang timbul walaupun jawapan kepada soalan-soalan itu terlalu sukar untuk kudapati.

Mungkin tiada langsung jawapan kepada soalan-soalan tersebut.

Aku tidak sedar berapa lama aku berbaring dengan hanya menghadap siling dan dinding di bilik ini. Aku takut untuk menutup mataku. Aku risau sekiranya aku akan kembali ke realiti tanpa menemui apa-apa daripada mimpi aneh ini.

Hatiku terasa sudah semakin dekat dengan mimpi ini berbanding realiti yang menungguku sebaik sahaja aku meninggalkan segala mimpi yang hanya muncul buat seketika ini.

Matahari sudah hampir tenggelam di ufuk barat. Malam akan menjengah tidak lama lagi.

Mendengarkan suara Odette yang muncul di dapur yang berdekatan dengan bilik ini membuatkan aku terbangun daripada katil itu. Kedengarannya dia seperti sedang berbual-bual dengan ayahnya. Suaranya ceria bercerita mengenai apa yang dilaluinya pada hari ini. Bapanya juga kedengaran seperti melayannya dengan baik.

“Dah nak malam ni. Ayah masak ya malam ni? Nanti Odette pergi kejutkan Encik Dawson. Dari tadi lagi dia lena tidur.”

Aku agak terkejut mendengar namaku disebut oleh ayahnya. Odette mengiyakan sahaja kata-kata bapanya.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang disembangkan Odette bersama ayahnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience