Chapter 28

Romance Completed 24286

Bab 28

Pada saat itu, suatu senyuman sinis yang ku kenali tertampal pada wajah seorang lelaki yang berkaca mata hitam dan berjaket hud hitam yang sedang berjalan di belakang Odette. Senyuman lelaki itu semakin lebar apabila melihat riak terkejut pada wajahku. Dari balik tubuh isteriku, aku dapat melihat hujung sebilah pisau terkeluar daripada lengan jaket lelaki itu.

“ Odette!”

Aku berlari ke arah Odette yang masih kelihatan hairan dengan tindakanku. Aku menarik lengan isteriku dan menolaknya ke tepi pada saat pinggangku terasa perit di bahagian belakang. Aku batuk mengeluarkan darah. Suara sinis yang amat kukenali kedengaran di telingaku.

“ Aku menang.”

Aku terjatuh ketika McCullagh menarik kasar pisau yang dibenamkan pada tubuhku. Aku dapat mendengar suara Odette menjerit memanggilku pada saat suara orang ramai mengerumuni kami. Aku terbatuk lagi. Sebelah tanganku melekat kepada bahagian pinggangku yang mengeluarkan darah dengan banyak. Odette duduk berlutut berhadapan denganku. Beberapa orang pengawal keselamatan berlari mendapatkan kami.

“ Abang… abang…”

Wajah isteriku berubah pucat seakan-akan tiada darah yang akan keluar walaupun ditoreh. Tangannya menggigil teruk ketika dia menyentuh kepalaku. Aku cuba menarik senyum walaupun kesakitan pada tubuhku membuatkan aku berasa semakin lemah.

“ Jangan risau… sayang…”

Odette menggeleng pantas. Air mata isteriku mula mengalir.

“ Abang… abang…”

Aku tersenyum lagi. Aku terasa amat letih. Apa yang ingin aku lakukan kini adalah memejamkan mata dan berehat buat seketika. Sebelum aku menutup mataku, aku dapat melihat beberapa orang pengawal keselamatan tadi menggari McCullagh yang sedang ketawa mengilai. Sebelum aku menutup mata, aku dapat melihat wajah isteriku masih basah dengan air mata.

Pada saat aku menutup mata, suatu cahaya yang terasa sudah sebati dengan diriku mengeliling kawasan di sekitarku.

Mataku terasa perit dengan silau cahaya matahari. Perlahan aku membuka mataku dan melihat keadaan di sekelilingku. Aku sedang terbaring di atas sebuah padang rumput menghijau yang luas. Pokok-pokok rendang mengelilingi sempadan kawasan padang itu. Aku segera bangkit daripada pembaringanku.

Aku kembali? Dalam mimpi aneh itu?

Bunyi air sungai mengalir dan kicauan burung menyapa telingaku. Aku berdiri lalu menepuk pakaianku yang sedikit kotor dengan tanah yang agak basah di padang itu. Mataku meliar memerhatikan setiap objek yang boleh kutemui di sekelilingku.

Melihatkan hanya aku seorang sahaja manusia yang berada di padang ini, aku segera mengatur langkah ke arah bunyi air sungai mengalir. Kawasan ini tidak sama dengan kawasan hutan yang pernah kulalui pada mimpi-mimpi anehku yang lepas. Ini adalah kawasan baharu yang lebih menenangkan hatiku.

Adakah aku telah mati?

Ini syurga ke?

Tanganku diletakkan pada bahagian pinggang yang ditikam tadi. Seingat aku pada saat aku menutup mataku, masih ada darah yang mengalir daripada pinggangku. Tetapi kini aku tidak merasakan kesakitan yang kurasai tadi.

Sepanjang perjalananku menuju ke arah bunyi air mengalir itu aku memfokuskan pandanganku kepada setiap objek hidup yang berada di sekitar kawasan itu. Tetapi apa yang dilihat olehku hanya menghampakan aku. Hanya pokok-pokok menghijau, beberapa ekor arnab dan burung sahaja yang kutemui. Tiada langsung manusia di kawasan ini.

Sebatang sungai yang mengalirkan air jernih terbentang di hadapanku. Langkahku semakin pantas bagi mendapatkan sungai itu. Sampai sahaja di hadapannya, aku segera duduk mencangkung dan membasahkan wajahku dengan air jernih itu. Aku terasa segar serta merta.

“ Encik Dawson? Encik Dawson, kan?”

Aku terpegun buat seketika. Itu suara yang amat aku kenali. Suara yang sentiasa berada dekat di hatiku. Aku menoleh ke arah suara itu. Seorang wanita berdiri di belakang aku. Suatu senyuman dikuntum indah pada wajahnya.

Odette.

Aku menemui isteriku lagi di dalam mimpi aneh ini.

“Encik kembali ke sini lagi?”

Aku diam. Aku segera bangun dan berdiri berhadapan dengannya.

“Dah lama encik pergi tinggalkan kampung ni. Encik dah jumpa apa yang encik cari?”

“Apa?”

Dah lama tinggalkan kampung ini? Apakah maksudnya?

Odette ketawa kecil. “ Encik lupa? Dah hampir lima enam bulan sejak kali terakhir encik di kampung ini. Saya tak sangka boleh jumpa encik balik kat sini.”

“Oh… ya. Ya. Saya datang balik ke kampung ni.”

Sudah begitu lama aku ‘meninggalkan’ mimpi aneh ini?

“Jadi, encik dah jumpa apa yang encik cari tu?”

Odette mengulangi soalannya. Matanya merenung lembut ke arahku. Aku menarik senyum.

“ Dah.”

“ Encik betul-betul pasti encik dah jumpa?”

“ Ya. Saya pasti,” aku menjawab yakin.

Senyuman pada wajah Odette berubah. Kali ini wajahnya kelihatan sayu seakan-akan ada sesuatu yang menyedihkannya. Aku bingung melihatkan perubahan pada wajah itu.

…bersambung

Bab akan datang:

Mengapa wajah Odette dalam mimpi aneh itu sayu setelah Dylan menjumpai apa yang dicari dalam mimpi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience