Chapter 17

Romance Completed 24286

Bab 17

Odette tidak akan pernah lupa untuk membuatkan aku kembali ceria sekiranya aku ada mengalami masalah. Walau bagaimana cara sekalipun aku gunakan untuk melindungi daripada pengetahuannya, tetapi Odette tetap Odette. Dia tetap tahu walaupun aku cuba merahsiakan daripadanya.

Jadi, aku perlu cuba yang terbaik untuk kembali mendapatkan isteriku. Seperti mana dia yang sentiasa mencuba untuk menceriakan aku, aku perlu lakukan yang terbaik agar dia boleh kembali kepadaku.

Ibu dan ayah tiba lima belas minit awal daripada masa yang dijanjikan. Tanpa berlengah lagi aku segera masuk ke dalam kereta dan memberitahu Jimmy akan destinasiku. Umur Jimmy sebaya dengan Mike. Dia bekerja sebagai pemandu ibu dan ayah selepas bapanya, Pak Cik Billy bersara selepas hampir 50 tahun bekerja dengan keluarga kami.

“Kalau boleh saya nak tiba secepat mungkin ke sana.”

“Baiklah, tuan.”

Aku dan Jimmy sama-sama mendiamkan diri dalam perjalanan kami. Kebiasaannya dia banyak bercerita denganku tetapi aku dapat merasakan dia cuba bertindak untuk memahami situasi sukar yang sedang dialamiku kini. Jimmy hanya bertanya keadaan isteriku. Tidak lebih daripada itu.

Perjalanan yang lama membuatkan mataku mengantuk. Aku memaksa diriku untuk kekal sedar tetapi dari masa ke masa aku terlena walaupun untuk seketika. Dan buat kesekian kalinya, cahaya terang yang amat kukenali menyelubungi pandanganku.

Suatu kawasan yang asing padaku menyambut kepulanganku ke dalam mimpi aneh itu. Hanya kegelapan yang berada di hadapanku. Aku cuba meneliti suasana di sekelilingku buat seketika. Rupa-rupanya mimpi aneh itu membawa aku kepada tengah-tengah sebuah hutan. Bunyi burung hantu kedengaran menghiasi kesunyian malam di hutan tersebut. Aku mendongak ke atas. Bulan sedang bersembunyi di balik awan.

Kenapa pula aku berada di sini? Sepatutnya aku sedang berada di kotej yang didiami oleh Odette dan bapanya. Adakah ini bermakna mimpi kali ini tidak bersambung dengan mimpiku yang sebelumnya?

Aku tidak tahu di manakah aku patut memulakan langkahku. Hanya pokok-pokok besar berada di sekelilingku. Aku tidak ada panduan bagaimana untuk keluar dari hutan ini. Aku cuba memfokuskan kepada bunyi air sungai mengalir tetapi cubaanku hanya menghampakan aku. Aku hanya dapat mendengar bunyi burung hantu yang saling bersahutan dan bunyi reranting kayu dipukul angin malam.

Aku tidak dapat menipu diriku sendiri bahawa aku berasa agak takut dengan suasana baharu ini. Kini, hanya aku seorang sahaja yang berada di dalam hutan ini yang kelihatan menyeramkan. Seorang diri tanpa sebarang petunjuk ke manakah arah yang harus kutuju.

Tetapi, adakah mimpi ini berkait dengan isteriku juga?

Tanpa membuang masa aku berjalan ke suatu arah berdasarkan gerak hatiku. Aku tidak boleh berlama-lama di sesuatu kawasan sahaja. Sekiranya aku ingin keluar, aku perlu mencari jalannya.

Laluan yang dipilihku dipenuhi dengan ranting-ranting patah dan juga banir pokok yang mampu menjadi tempat persembunyianku sekiranya keadaan di sekelilingku mampu meletakkan diriku di dalam bahaya. Aku perlu berhati-hati kerana mungkin ada binatang-binatang buas yang sedang bersembunyi sambil memerhatikan aku, menanti untuk menjadikan aku mangsa mereka. Sesekali aku akan melihat ke kanan dan ke kiriku tetapi hanya kegelapan di pandanganku.

“Tolong!”

Pantas aku berpusing ke arah jeritan yang kedengaran tidak jauh daripadaku. Kakiku masih melekat di situ. Aku cuba mendengar lagi jeritan meminta tolong itu.

“Tolong!”

Aku kenal suara itu. Itu suara isteriku!

“Odette!”

Tanpa membuang masa lagi aku berlari laju menuju ke arah suaranya. Tajam ranting-ranting kayu yang mencalari tubuhku tidak kupedulikan. Aku harus mendapatkan Odette dengan segera. Aku tidak dapat membayangkan apa yang sedang terjadi kepadanya. Jeritan meminta tolong itu sahaja sudah cukup membuatkan aku panik.

Kenapa isteriku berada di dalam hutan pada waktu malam sebegini?

“Odette!”

Dalam samar cahaya bulan dilindungi awan aku dapat melihat Odette di sebuah kawasan lapang. Tetapi dia tidak berseorangan. Ada sekumpulan lelaki yang berpakaian seperti sekumpulan pemburu sedang mengelilinginya. Aku melihat Odette seperti berada ketakutan apabila berhadapan dengan kesemua lelaki itu. Aku perlu mendapatkan isteriku. Aku perlu melindungi isteriku!

Tetapi, kakiku berhenti betul-betul di sebuah jalan yang tidak dipenuhi dengan pokok-pokok. Bagaikan ada tangan ajaib yang menahan kedua-dua kakiku daripada meneruskan langkah, aku terkaku di situ. Aku membuka mulutku untuk bersuara tetapi tiada langsung bunyi yang kedengaran. Aku cuba menggerakkan kedua-dua tanganku tetapi usahaku tidak berhasil. Tanganku tidak menurut arahanku.

Odette dan kumpulan pemburu itu juga seakan-akan tidak dapat melihatku walaupun aku jelas berdiri berdekatan dengan mereka.

Peluh dingin membasah dahiku. Aku hanya mampu melihat sahaja apa yang berlaku di hadapanku tanpa berbuat apa-apa. Aku hanya mampu melihat isteriku diancam bahaya tanpa dapat menyelamatkannya.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang terjadi dengan Odette?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience