Bab 3
“Boleh saya tolong encik?” seorang jururawat yang bertugas di kaunter bertanya sebaik sahaja aku tiba di kaunter.
“Saya suami Odette Swann. Dia… dilanggar lari? Mana…”
“Bertenang encik. Benarkan saya periksa rekod pesakit dulu,” jururawat itu bersuara tenang. Jauh sekali dengan keadaan diriku yang sedang panik.
“Tolong, cik! Saya nak jumpa isteri saya,” aku bersuara panik.
“Cik Swann sekarang sedang dirawat di unit kecemasan. Saya…”
Ini bukannya masa untuk aku bertenang. Aku tidak akan dapat menenangkan diriku sebelum aku melihat sendiri keadaan isteriku dengan mataku sendiri. Jauh di sudut hatiku aku berharap lelaki yang bernama David Murphy itu hanya tersalah orang. Odetteku sedang lena dibuai mimpi di kediaman kami.
“Encik Dawson?”
Suara seorang lelaki yang menyeru namaku tiba-tiba sahaja kedengaran daripada arah kiriku. Aku segera menoleh kepada suara itu. Seorang lelaki yang berpakaian kot putih berjalan menghampiriku. Dahiku berkerut.
“Doktor David Murphy?” aku bertanya gusar.
Anggukan lelaki itu melegakan aku. Aku meninggalkan kaunter itu dan berjalan ke arahnya. Doktor lelaki yang kelihatan sebaya dengan ayahku itu kelihatan tenang sahaja menyambut kehadiranku dengan wajah yang penuh dengan kerisauan dan tanda tanya. Semestinya doktor ini sudah terbiasa berhadapan dengan situasi keluarga pesakit yang terkejut mendengar berita buruk mengenai ahli keluarga mereka.
“Bagaimana isteri saya, doktor? Macam mana… dia dilanggar lari? Dia…”
“Tolong bertenang, Encik Dawson. Isteri encik bernasib baik kerana tiada sebarang pendarahan dalaman ditemui. Isteri encik hanya mengalami kecederaan ringan. Nasib baik beg udara kereta yang dipandu Puan Dawson berfungsi dengan baik.”
Aku menarik nafas lega. Dadaku terasa lapang buat seketika.
“Jadi dia di mana sekarang?”
“Kami telah memindahkan Puan Dawson ke wad selepas rawatan tadi.”
“Terima kasih, doktor. Boleh saya berjumpa dengan isteri saya?”
Anggukan Doktor Murphy semakin melegakan aku.
“ Boleh. Tapi pesakit masih belum sedarkan diri.”
Tidak mengapalah. Asalkan isteriku baik-baik sahaja. Menerima berita sebegini pada malam hari amat mengejutkan aku tetapi aku harus menenangkan diri. Doktor Murphy sendiri mengatakan isteriku hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.
Betul, Odette baik-baik sahaja. Dia tidak apa-apa. Aku tidak boleh melatah dalam situasi seperti ini.
Aku perlu berterima kasih kepada pencipta beg udara yang membantu meringankan risiko kecederaan isteriku.
“ Jadi, saya boleh ke wad itu sekarang?”
“ Tapi sebelum itu, Encik Dawson. Ada pegawai polis nak berjumpa dengan encik,” kata Doktor Murphy sebelum dia memberitahu di manakah wad yang menempatkan isteriku. Aku terdiam.
“ Polis?”
Doktor Murphy mengangguk. “ Memandangkan kes yang melibatkan Puan Dawson ini kes langgar lari, pihak polis akan terlibat dengan kes ini. Ada dua orang anggota polis sedang menunggu encik di bilik tetamu. Mari saya bawakan encik.”
“ Baiklah,” aku bersetuju dengan hati yang keberatan. Jikalau boleh, biarlah aku melihat isteriku dengan mataku sendiri dahulu sebelum aku dibawa menemui pegawai-pegawai polis itu.
Doktor Murphy membawa aku ke bilik tetamu yang dikatakan. Dalam sepanjang perjalanan itu aku tertanya-tanya sendirian kenapa Odette tidak berada di kondominium kami. Sekiranya dia perlu ke mana-mana, Odette tidak pernah terlupa untuk memberitahu aku. Tidak pernah dia lupa memaklumkan aku akan pemergian dia ke mana-mana sahaja walaupun dia hanya ingin ke kafe yang terletak di tingkat satu bangunan kondominium yang didiami kami berdua.
Adakah ada kecemasan menimpa yang memaksa isteriku untuk segera bergegas keluar sehingga dia terlupa untuk menghubungiku. Itukah jawapannya?
Aku tidak akan memperoleh jawapan yang sebenar-benarnya sebelum Odette membuka matanya kembali. Aku harap isteriku akan sedarkan diri dalam masa yang terdekat. Aku ingin dia bergembira menanti hari bermulanya percutian kami, bukannya terpaksa berada di hospital kerana malam yang membawa malang kepadanya.
Dan juga kepadaku.
DUA orang pegawai polis yang berpakaian kasual menyambut kedatanganku di bilik tetamu. Mereka berdua segera memperkenalkan diri mereka kepadaku sebaik sahaja aku dan Doktor Murphy tiba di bilik tetamu itu lalu menjemput aku untuk duduk. Selepas berbicara buat seketika, Doktor Murphy meninggalkan aku bersama-sama kedua-dua anggota polis tersebut.
Inspektor Kent dan Detektif Connor dari balai polis di pusat bandar. Kedua-duanya memberi impresi pertama yang baik kepadaku. Mereka kelihatan seperti anggota polis yang komited dengan tugas masing-masing. Aku dapat menjangkakan kerjasama yang baik di antara aku dan mereka.
“Maaf sebab mengambil masa Encik Dawson tapi perkara ni sangat penting,” kata Inspektor Kent yang kelihatan sebaya denganku.
Aku mengangguk tanda memahami. “Tak apa, inspektor. Lagipun, isteri saya juga yang menjadi mangsa dalam kes ini. Boleh tuan jelaskan pasal kes yang melibatkan isteri saya?”
…bersambung
Bab akan datang:
Siapakah yang melanggar Odette dan apakah motif langgar lari tersebut?
Share this novel