Bab 5
“Tolonglah sedar, sayang,” aku merayu perlahan.
Odette masih dengan posisi kakunya.
Aku menahan diriku daripada menggenggam tangan kiri Odette dengan kuat. Dengan berat hati aku melepaskan tangan itu. Aku mengusap lembut ubun-ubun isteriku.
Sepanjang perkahwinan kami, aku tidak pernah mengalami pengalaman seperti ini. Selama ini, aku begitu berhati-hati menjaga isteriku. Setiap kali dia akan keluar seorang diri, aku akan sentiasa menelefonnya bagi memastikan dia sentiasa selamat. Setiap kali aku terpaksa pergi ke luar negara kerana tuntutan kerja, aku akan menempatkan dia di rumah ibu bapaku kerana Odette hanya sebatang kara di dunia ini.
Sifatku yang terlalu melindungi isteriku diwarisi daripada ayah. Seperti mana aku terlalu menjaga isteriku, ayah juga sentiasa berbuat demikian terhadap ibuku walaupun sudah hampir 35 tahun usia perkahwinan mereka.
Apa yang terjadi pada malam ini sememangnya mencabar tanggungjawab aku sebagai suaminya. Aku tidak mengambil remeh akan hal ini kerana sebagai suami kepada Odette, aku wajib melindunginya. Aku telah berjanji untuk mencintai dan menjaga Odette Swann untuk sepanjang hayatku pada hari perkahwinan kami.
Sekiranya benar suspek memang sengaja melanggar isteriku, aku akan memastikan dia tidak akan terlepas daripada genggamanku. Aku akan menggunakan segala khidmat guaman yang ada untuk menghukum dia.
Tetapi, kenapa Odette keluar tanpa pengetahuan aku? Adakah kerana hal kecemasan?
“Tolonglah sedar, sayang.”
Aku merayu buat kesekian kalinya. Keletihan kerana bekerja seharian tidak berjaya membuatkan aku melelapkan mata. Tumpuan aku hanyalah pada Odette yang masih berbaring kaku di atas katil. Dalam hatiku aku tidak putus-putus berdoa agar Odette akan membuka matanya pada esok hari.
******
Harapanku tidak kesampaian.
Odette masih tidak sedarkan diri. Doktor Murphy dan seorang jururawat telah datang memeriksa keadaannya. Jawapan mengenai keadaan semasa Odette adalah positif tetapi mindanya masih terperangkap dalam lenanya. Doktor Murphy memberitahu aku bahawa isteriku mungkin akan mengambil masa dua atau tiga hari lagi untuk sedarkan diri.
Selepas Doktor Murphy dan jururawat bertugas meninggalkan wad itu, aku segera menelefon ibu. Hanya dengan dua deringan sahaja panggilanku bersambung. Ibu memang ternanti-nantikan panggilan aku selepas aku menelefonnya awal pagi tadi untuk memaklumkan mengenai keadaan isteriku.
“ Ibu datang dengan ayah kamu lepas ni. Dylan tak nak balik ke rumah dulu ke?”
Suara ibuku penuh dengan kerisauan. Aku tahu ibu risau akan diriku tetapi aku tidak sanggup meninggalkan Odette walaupun untuk sesaat. Aku risau aku tiada di sisinya sewaktu dia membuka mata untuk kali pertama selepas kemalangan itu. Semestinya Odette akan tercari-cari aku pada saat itu.
“ Tak apalah, ibu. Saya okey aje. Ibu dan ayah nak datang pukul berapa?”
“ Ayah kamu tengah bersiap-siap. Mungkin dalam satu jam lagi kami akan sampai. Betul kamu tak nak balik ke rumah?”
“ Betul, ibu,” aku menjawab lemah.
“ Mike dah tahu?”
“ Ya. Saya dah telefon Mike, minta dia uruskan syarikat hari ni.”
Ibu tidak berkata apa-apa lagi selepas itu tetapi aku masih dapat mendengar helaan nafas ibu. Aku tahu ibu sedang tenggelam dalam fikirannya. Ibu seorang yang sangat pandai merasionalkan sesuatu pemikirannya. Malah kadang kala lebih hebat daripada ayah yang terkenal sebagai salah seorang tokoh perniagaan yang berjaya di negara ini.
“ Dylan, macam mana kalau ada sesuatu yang penting di rumah kamu?”
Aku terdiam. Tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan oleh ibu.
“Apa maksud ibu?”
“Kamu kata Odette tinggalkan rumah tanpa beritahu kamu. Hampir tengah malam pula tu. Ibu rasa baik Dylan pulang ke rumah dan periksa kalau-kalau Odette ada tinggalkan apa-apa di rumah. Maksud ibu, mungkin ada sebarang petunjuk di rumah kamu.”
“Itu…”
Kata-kata ibu ada betulnya. Dari pagi semalam hinggalah pagi ini aku masih belum menjejakkan kaki ke kediaman kami. Aku tidak pasti akan kebenaran kata-kata ibu tetapi tidak salahnya untuk aku mencuba untuk mencari sebarang klu yang mungkin berkaitan dengan kes langgar lari isteriku ini.
“Dylan pulang ke rumah, ya nak? Rehatkan diri kamu juga. Odette tentu sedih kalau dia tahu kamu berkelakuan macam ni. Dylan tak nak buat isteri Dylan sedih, kan?”
Aku menghela nafas. Berat hatiku untuk meninggalkan Odette tanpa jagaan sesiapa di dalam wad ini tetapi aku juga tidak sampai hati ingin membantah cakap ibu.
“Dylan akan pulang bila ibu dan ayah dah sampai. Dylan tak sampai hati nak tinggalkan Odette seorang diri, ibu.”
“Baiklah, sayang. Ibu tahu apa yang kamu sedang rasakan sekarang.”
Ibu mengalah dengan permintaanku. Aku tahu ibu memahami apa yang sedang aku alami kini. Sebelum talian diputuskan, ibuku berjanji untuk tiba secepat mungkin. Aku mengiyakan sahaja kata-kata ibu.
…bersambung
Bab akan datang:
Mengapakah Odette tidak memberitahu Dylan sebelum keluar rumah? Apakah yang terjadi sebelum itu?
Share this novel