Bab 11
Aku memerhatikan Odette yang sedang membawa keluar cadar dan selimut bersih daripada almari itu. Tanpa berkata apa-apa dia mengemaskan katil itu. Begitulah isteriku. Dia mahir dalam membuat kerja rumah. Setiap sudut di kondominium kami dihias berdasarkan idea kreatifnya. Aku hanya mengeluarkan duit sahaja bagi memenuhi setiap permintaan Odette kerana aku mempunyai pengetahuan sifar dalam bidang dekorasi.
“Kalau encik perlukan apa-apa, encik boleh beritahu saya atau ayah. Saya keluar sekejap. Encik berehatlah dulu,” Odette bersuara selepas menyudahkan kerjanya.
Kata-katanya disambut dengan anggukan daripadaku. Sebenarnya aku sedang memikirkan adakah patut aku bertanya soalan yang amat aku perlukan jawapannya kepada Odette di hadapanku ini. Adakah jawapan daripadanya akan memuaskan hatiku? Patut ke aku lepaskan peluang ni?
“Err… Cik Swann.”
Aku memanggilnya pada saat Odette menuju ke pintu untuk keluar dari bilik kecil itu. Langkahnya terhenti serta merta. Dia menoleh ke arahku. Wajahnya kelihatan lembut dengan senyuman kecil padanya.
“ Ya, encik?”
“ Kita…” aku terdiam. Mataku tidak lepas daripada melihat kepada wajah lembut itu.
“ Kenapa, encik?”
“ Kita… pernah berjumpa sebelum ni? Cik rasa… cik pernah kenal saya?”
Habis sahaja aku mengutarakan soalan itu, cahaya terang menyelubungi persekitaranku. Sekali lagi, Odette hilang ditenggelami cahaya itu.
Nafasku yang tercungap-cungap terasa menyakitkan dada. Mataku meliar di setiap objek di hadapanku. Kulihat Odette masih dengan posisi yang sama sejak malam semalam. Wajahnya masih dengan ekspresi yang menunjukkan dia seakan-akan mengalami mimpi yang meresahkan. Aku mengusap perlahan rambut panjangnya.
Aku langsung tidak sedar bahawa aku tertidur bersebelahan dengan katil itu. Tangan kanan Odette yang kugenggam sehingga aku tersedar tadi kuletakkan di atas perutnya. Aku merenung kepada jam di pergelangan tanganku. 6:45 petang.
Tidak kusangka, hari sudah hampir menjelang ke malam. Aku meraup wajahku berulang kali. Aku masih lagi mamai daripada lenaku tadi.
Bunyi pintu dibuka menarik perhatianku. Mike muncul di muka pintu. Dia masih dalam pakaian kerjanya. Mungkin Mike terus menuju ke hospital ini sebaik sahaja masa kerjanya tamat. Aku segera bangun daripada kerusi yang didudukki olehku.
“Odette belum sedarkan diri?”
Mike memelukku buat seketika. Aku mengangguk. Perhatianku kembali kepada Odette yang terbaring kaku di atas katil.
“Maaf, aku baru boleh datang melawat. Macam mana, ada perkembangan daripada pihak polis?”
Aku telah menceritakan segala-galanya mengenai kes langgar lari itu kepada Mike pagi tadi sewaktu aku meminta dia menolongku menguruskan syarikat itu. Mike seakan-akan tidak mempercayaiku pada mulanya. Dia berfikir aku bergurau apabila aku memberitahu hal itu. Aku hampir memarahi Mike ketika itu kerana fikiranku agak berserabut selepas semalaman tidak tidur.
“Tak ada apa-apa. Aku cuma boleh berharap mereka dapat cari suspek tu secepat mungkin.”
Mike mengeluh. Perhatiannya turut kepada kakak iparnya. Ini adalah kali pertama Mike menemui Odette selepas makan malam bersama-sama ahli keluargaku yang lain pada tiga minggu lepas. Mike tentu tidak menyangka dia akan melihat kakak iparnya dalam keadaan yang menyedihkan sebegini.
“Jangan risau pasal syarikat. Ayah akan sokong aku dari belakang. Lagipun Carl dan Lex ada. Mereka pun boleh tolong aku. Fokus pada Odette aje sekarang.”
Aku tahu Mike cuba meredakan tekanan yang kualami sekarang. Aku amat berterima kasih kerana mempunyai adik yang boleh kuharapkan pada masa-masa sebegini. Walaupun keadaan Odette menjadi keutamaan aku, tetapi situasi syarikat sewaktu aku tiada juga membimbangkan aku. Sekiranya tidak diuruskan dengan baik, nasib ribuan pekerja akan menjadi taruhannya.
“Terima kasih, Mike. Jangan sesekali segan kalau nak minta tolong daripada Carl atau Lex. Kau boleh percayakan mereka untuk sebarang urusan penting syarikat. Mereka antara pekerja yang paling aku percaya. Nasib baik ayah pun ada.”
“Okey. Aku tahu. Aku datang melawat sekejap aje ni. Esok aku akan berlepas ke Christchurch. Setiap maklumat pasal mesyuarat esok aku akan beritahu kau secara langsung.”
Aku hampir terlupa akan mesyuarat yang sepatutnya dihadiriku di Christchurch esok. Mike akan ke sana sebagai penggantiku. Mesyuarat itu penting kerana syarikat kami cuba untuk membeli sebuah kawasan resort lama di sebuah kawasan peranginan di New Zealand. Sekiranya berjaya, keuntungan pada jangka masa panjang akan bernilai berbilion-bilion dolar.
“Baik. Buat yang terbaik. Aku harapkan kau.”
“Okey. Selamat tinggal. Kau fokus pada isteri kau aje, jangan risau pasal syarikat.” Berulang kali Mike mengingatkan aku mengenai perkara itu.
Aku mengangguk lalu memeluk Mike sebelum dia keluar dari wad itu. Aku yakin akan kemampuan Mike. Dia mempunyai kebolehan yang masih boleh diasah dengan baik dalam dunia perniagaan.
…bersambung
Bab akan datang:
Apakah makna tersirat dalam setiap mimpi yang dilalui Dylan bersama Odette?
Share this novel