Chapter 18

Romance Completed 24286

Bab 18

“ Tolong… jangan apa-apakan saya…”

Odette merayu dengan pemburu-pemburu tersebut. Itu merupakan kali pertama aku mendengar suaranya bergetar sedemikian. Terasa nadanya penuh dengan ketakutan.

“ Cik patut beritahu ayah cik. Selagi dia tak lunaskan hutang dia, kami fikir kami tak dapat lepaskan cik,” salah seorang daripada pemburu itu bersuara. Wajahnya membengis.

“ Tak… tak…”

Perlahan-lahan Odette berundur ke belakang sebelum dia membuka langkah untuk melarikan diri. Tetapi salah seorang daripada pemburu itu pantas menangkap Odette. Rambut panjang Odette ditarik kasar oleh pemburu itu. Teriakan Odette menyentap jantungku.

Odette!

“ Arghh!”

Odette ditolak ke tanah sebelum tubuhnya menjadi sasaran kaki beberapa orang pemburu. Rayuannya agar dilepaskan tidak dihiraukan oleh pemburu-pemburu yang tidak berperikemanusiaan itu. Hatiku tersayat melihatkan wanita kesayanganku dilayan bagaikan sampah oleh mereka. Aku marah akan diriku yang terasa seperti tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melakukan sesuatu pada saat-saat getir seperti ini.

Odette!

“ Tolong… berhenti…”

Odette!

“ Saya merayu… berhenti… tolong…”

Odette!

Odette dan kesemua pemburu itu hilang ditenggelami cahaya terang. Sayup-sayup aku mendengar suaranya menjerit meminta tolong sebelum suara itu berhenti kedengaran.

“Argh!”

“ Encik? Encik tak apa-apa?”

Jimmy seakan-akan terkejut mendengar jeritanku. Aku menoleh ke kiri kananku sebelum aku memandang kepada Jimmy yang sedang memandu di hadapan. Wajahnya kelihatan tertanya-tanya dengan perilaku diriku yang tiba-tiba sahaja mengejutkan dia.

“ Apa yang jadi? Kita kat mana?” aku bertanya. Suaraku bergetar lemah.

“ Kita dalam perjalanan ke rumah kebajikan tu. Encik tertidur sampailah sekarang ni. Encik mimpi buruk ke?”

Aku mengusap wajahku yang berpeluh di dalam hawa dingin kereta. Wajahku berkerut tatkala mengingatkan mimpi yang kualami tadi. Kepalaku mengangguk sedikit menjawab soalan Jimmy.

“ Ya… mimpi buruk.”

Adakah mimpi itu bermaksud sesuatu yang buruk akan menimpaku selepas ini?

Hampir sepuluh minit selepas itu, akhirnya aku tiba juga di rumah anak-anak yatim itu. Aku masih tidak dapat menenangkan diri daripada igauan buruk tadi. Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum kulepaskan perlahan.

Sekumpulan kanak-kanak sedang bermain di halaman rumah anak-anak yatim tersebut. Wajah gembira mereka sedikit sebanyak meredakan apa yang sedang kurasakan kini. Walaupun mereka terpaksa ditempatkan di sini kerana mereka kehilangan ibu bapa mereka, tetapi itu tidak menghalang mereka daripada terus menikmati bahagia di dunia ini.

Dan aku dapat membayangkan bagaimana isteriku menghabiskan masa kecilnya di rumah kebajikan ini.

Aku meminta Jimmy untuk menunggu sahaja di kereta sebelum aku masuk ke dalam rumah kebajikan itu. Seorang gadis menyambutku di kaunter. Aku meminta untuk bertemu dengan pengetua rumah kebajikan tersebut. Tanpa banyak soal gadis itu memenuhi permintaanku. Dia membuat suatu panggilan telefon sebelum kembali berbicara denganku.

“ Encik boleh ikut saya. Puan Van Leer menunggu encik di pejabatnya.”

Gadis itu membawa aku ke sebuah bilik. Seorang wanita yang kelihatan sebaya dengan ibuku sedang duduk di sebalik sebuah meja besar. Ada sebuah komputer dan beberapa buah fail nipis di hadapan wanita itu. Wajahnya penuh dengan nilai keibuan. Dengan ramah dia menyambut kedatanganku.

“ Boleh kenalkan diri encik?”

“Saya Dylan Dawson. Ada sesuatu yang perlu saya tanyakan pada puan.” Aku menunjukkan kad pengenalanku untuk menyakinkannya. Wanita itu tersenyum nipis.

“Baiklah. Apa dia?”

Aku menelan liur. Bagaimana harus aku memulakan soalanku? Patutkah aku terus memintanya untuk memberiku fail yang mengandungi maklumat isteriku? Atau aku patut memberitahu mengenai kes langgar lari yang melibatkan isteriku? Atau memberitahunya mengenai kerjasamaku dengan polis adalah langkah yang terbaik?

“Encik Dawson?” Puan Van Leer memanggilku setelah sekian lama aku mendiamkan diri. Aku berdehem perlahan.

“Begini, puan… isteri saya pernah menghuni di rumah kebajikan ni. Dia kehilangan ibu bapanya pada usia 10 tahun dan…” aku terdiam. Puan Van Leer memerhatikan aku dengan sepenuh perhatiannya. Tiada riak curiga kepadaku pada wajah wanita separuh umur itu.

“Dan?” Wanita itu bertanya lembut.

“Sebenarnya baru-baru ini isteri saya terlibat dalam suatu kes langgar lari, sebagai mangsa kes itu. Dia masih tidak sedarkan diri di City Hospital. Pihak polis mengesyaki seseorang sebagai suspeknya. Kalau dibenarkan, boleh saya tahu maklumat mengenai isteri saya sepanjang dia berada di sini?”

“Apa kaitan rumah kebajikan ini dengan kes langgar lari itu?” Puan Van Leer bertanya lembut.

“Saya difahamkan isteri saya tiada ahli keluarga lain selain daripada mendiang ibu bapanya. Tapi pihak polis mengesyaki suspek yang terlibat mempunyai hubungan rapat dengan isteri saya.”

“Atas alasan apa pihak polis mengesyaki suspek sedemikian?”

…bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang paling rapat dengan Odette semasa dia menghuni rumah kebajikan itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience