Chapter 27

Romance Completed 24286

Bab 27

Aku tersenyum. Hatiku berbunga-bunga apabila memikirkan percutian itu yang akan tetap berjalan seperti yang dirancang oleh kami. Kegembiraan aku membuatkan aku terlupa sebentar mengenai status McCullagh yang masih berada dalam buruan pihak polis. Pada saat-saat sebegini, aku sudah terlupa bahaya yang mungkin menanti di penghujung jalan yang sedang kulalui.

“ BAGASI kita?”

Aku melabuhkan duduk bersebelahan dengan Odette yang menunggu aku berhampiran dengan dinding kaca lapangan terbang itu. Aku baru sahaja kembali daripada menguruskan bagasi-bagasi yang kami bawa untuk percutian selama dua minggu itu.

“ Dah masuk kargo. Sayang nak masuk balai berlepas dah ke?”

Odette menggeleng. “ Kita ada dua jam lagi kan sebelum masuk ke balai berlepas? Duduk kat sini dululah.”

“ Tak nak makan dulu? Sayang tak sarapan pun tadi.”

“ Lepas ni?”

Aku tersenyum. “ Baiklah.”

Beberapa jam dari sekarang, aku dan Odette akan terbang ke destinasi percutian kami. Memandangkan masih ada masa sebelum masa yang ditetapkan untuk masuk ke balai berlepas, kami berdua duduk di barisan kerusi yang disediakan oleh pihak lapangan terbang itu.

Orang ramai sudah memenuhi lapangan terbang ini semenjak awal pagi lagi. Kebanyakannya kelihatan tergesa-gesa menuju ke balai berlepas. Ada juga yang baru keluar dari balai ketibaan. Kelihatan beberapa buah keluarga sedang saling berpelukan sesama mereka. Pastinya sedang meraikan kepulangan ahli keluarga mereka atau mengucapkan selamat tinggal kepada mereka yang akan pergi.

“ Inspektor Kent ada beritahu abang apa-apa?” Odette bertanya.

“ Setakat ni, mereka masih tak dapat kesan di mana lelaki tu. Tapi ada banyak laporan yang masuk. Inspektor Kent kata jangan risau, pihak polis akan cuba tangkap McCullagh sebelum kita pulang ke sini.”

“ Abang tak terfikir nak panjangkan lagi percutian kita, kan?” Odette bersuara dengan nada mencurigakan. Aku tergelak.

“ Hajatnya abang memang nak panjangkan lagi. Tapi awal-awal lagi Mike pesan jangan aniaya dia macam tu. Risau betul dia masa abang kata mungkin abang akan panjangkan tempoh percutian ni.”

Odette menarik senyum buat seketika sebelum senyuman itu pudar.

“ Abang tak fikir dia akan muncul di sini?” Odette bersuara risau. Wajahnya sedikit berkerut. Aku ketawa perlahan. Isteriku tidak dapat duduk dengan aman selagi lelaki itu ditangkap. Tetapi aku bersyukur kerana Odette tidak menyerah sepenuhnya kepada trauma masa silamnya dengan McCullagh.

“ Berani ke dia muncul di tempat yang ramai dengan orang ni? Jangan risau, ya sayang? Lagipun abang ada, kan? Pengawal keselamatan kat sini pun ramai. Tapi mereka tak sehebat abang dalam ilmu mempertahankan diri.”

Odette ketawa. Aku menarik nafas lega.

“ Saya nak ke tandas sekejap. Abang tolong tengokkan bag, ya?”

“ Okey.”

Odette bangun lalu melangkah ke arah tandas yang terletak di kawasan yang bertentangan dengan kedudukan kami. Aku membawa keluar tablet daripada beg sandangku. Sengaja aku mengisi masa lapang sebegini dengan membaca berita-berita terbaharu di laman sesawang. Segala e-mel terbaharu yang berkaitan dengan urusan syarikat aku hantarkan kepada e-mel Mike.

Mike ada menelefonku sewaktu aku dan Odette baru sahaja tiba di lapangan terbang tadi. Dia sudah sampai di Australia bagi menggantikan tempat aku untuk sebuah konvensyen yang melibatkan ahli-ahli perniagaan terkemuka. Nampaknya aku boleh meluangkan masa untuk bercuti dengan isteriku dengan lebih kerap lagi. Mike semakin menunjukkan kebolehan dia dalam mengendalikan urusan syarikat.

Pada saat aku mengangkat wajah daripada permukaan tablet di pahaku, aku terpaku buat seketika apabila melihat seorang lelaki yang berpakaian jaket coklat gelap sedang menghala ke arah isteriku yang baru sahaja keluar dari tandas. Aku berasa curiga melihatkan pemakaian dan tingkah laku lelaki itu.

Lelaki itu memakai topi yang menutup sebahagian besar wajahnya. Kedua-dua tangannya berada di dalam poket jaket. Kepalanya seolah-olah dihala terus ke arah Odette. Melihatkan perlakuan lelaki itu yang mengundang sangsi, aku segera berlari meninggalkan tempat dudukku.

“ Encik?”

Aku memaut bahu kanan lelaki itu. Pantas lelaki itu menoleh dengan riak wajah terkejut. Aku turut terkejut melihatkan wajahnya.

Bukan McCullagh.

“ Maaf, saya tersalah orang. Minta maaf, encik.”

“ Tak apa…”

Lelaki itu masih kelihatan kebingungan ketika dia berjalan meninggalkan aku. Odette yang melihatkan situasi itu berjalan pantas untuk mendapatkan aku. Wajahnya penuh dengan tanda tanya.

“ Kenapa, abang?” Odette bertanya sambil berjalan ke arahku.

Aku menggeleng perlahan. Aku berdiri sahaja di tempatku menantikan Odette tiba betul-betul di hadapanku. Masih ada jarak yang memisahkan kami.

“ Tak ada apa-apa. Abang cuma…”

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah McCullagh akan muncul sewaktu percutian Dylan dan Odette?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience