Bab 16
Usai memutuskan talian, aku tersandar pada dinding wad Odette. Aku cuba menerima setiap kata-kata Inspektor Kent tadi tetapi semuanya semakin mengelirukan aku. Odette ada merahsiakan sesuatu daripadaku? Aku tidak dapat menerima kenyataan itu kerana bagiku di antara kami tidak akan ada rahsia yang tersimpan.
Tetapi setiap orang ada sebabnya yang tertentu jika dia merahsiakan sesuatu daripada orang yang mereka sayangi, kan?
Sebelum segalanya makin mengusutkan aku, aku perlu segera ke rumah kebajikan yang pernah diberitahu Odette kepadaku. Sekiranya tiada halangan, perjalananku ke sana mungkin akan mengambil masa selama empat jam. Aku terpaksa meninggalkan wad ini pada keesokkan hari hanya semata-mata ingin merungkai misteri baru di sebalik kes ini.
Harapan aku, apa yang akan kutemui kelak tidak akan membuatkan aku semakin keliru. Aku hanya mahukan kes ini diselesaikan dengan secepat mungkin dan agar Odette segera sedarkan dirinya. Aku tidak mengharapkan apa-apa lagi.
SEAWAL pukul lima pagi lagi aku menelefon ibu. Walaupun terasa serba salah kerana menganggu lenanya tetapi aku terpaksa. Aku meminta tolong agar ibu dan ayah segera datang ke hospital sekitar jam 7 pagi. Jika mereka tiba lewat, semakin lambatlah aku sampai ke rumah kebajikan itu.
Aku menceritakan kepada ibu bahawa aku perlu segera bertolak ke rumah anak-anak yatim yang pernah menjadi tempat Odette bergantung hidup selepas kematian kedua-dua ibu bapanya. Ibu segera bersetuju untuk membantuku. Aku sangat berterima kasih kerana ibu memahami situasiku yang amat membuatkan aku terdesak saat ini.
“ Tapi ada syaratnya.”
Kata-kata ibu membuatkan aku terdiam. Syarat?
“ Dylan kena tunggu sehingga ibu dan ayah sampai. Lepas tu, Jimmy akan bawa Dylan ke rumah anak-anak yatim tu. Boleh?”
“ Kenapa Jimmy pula yang kena bawa Dylan?” Aku kehairanan.
“ Dylan, ibu tahu yang anak lelaki ibu ni tak dapat rehat yang cukup selepas apa yang terjadi. Ibu tak akan benarkan Dylan pergi seorang diri. Dylan fikir ibu akan izinkan Dylan pandu kereta lama-lama dalam keadaan rehat tak cukup ke? Jangan sampai Odette dah sedar, Dylan pula yang terlantar kat hospital.”
Aku hampir tergelak mendengarkan kata-kata ibu. Sempat pula ibu berleter dalam keadaannya yang masih mamai. Ibu tetap ibuku. Walaupun aku dan Mike masing-masing sudah mencecah umur 30-an tetapi ibu masih melayan kami seperti si kecil Dylan dan Mike yang masih perlu dilarang daripada bermain sorok-sorok di ladang anggur bagi mengelakkan kami daripada tersesat.
“ Baiklah, ibu. Dylan janji. Terima kasih, ibu.”
Aku bagaikan dapat melihat senyuman ibu yang sedang berada jauh di dalam rumah keluarga kami.
“ Jangan risau, ya Dylan? Ibu akan telefon bila kami dah dalam perjalanan ke hospital.”
“ Baiklah. Selamat tinggal.”
Ibu memutuskan talian. Aku kembali kesepian di dalam wad itu. Sesekali aku bagaikan terdengar nafas Odette yang tidak teratur dan wajahnya kelihatan keruh. Buat seketika nafasnya kedengaran lancar dan dia kelihatan tenang bagaikan dia sedang tidur dalam suatu lena yang panjang. Tetapi aku lebih banyak melihat ekspresi resah pada wajah itu.
“ Janganlah buat muka masam macam ni. Tak kacak.”
Aku tersengih apabila kata-kata yang pernah diucapkan oleh Odette kepadaku dahulu menerpa ingatanku.
Pada ketika itu, aku telah membuat kekecohan di dapur kediaman kami yang menjadi salah satu tempat kegemaran Odette. Semuanya kerana aku cuba membuat kek vanila kegemaran isteriku tetapi aku cuma berjaya dengan membuat sepah di dapur. Odette terkejut melihat dapur kesayangannya yang sentiasa bersih itu tiba-tiba sahaja kotor dengan berbiji-biji mangkuk kotor dan tepung yang mencemarkan dapur itu.
Odette tidak memarahiku. Dia seakan-akan tahu apa yang aku cuba lakukan. Dia hanya datang kepadaku yang sedang merajuk bagaikan anak kecil di atas kegagalanku. Aku melempar geram sebuah mangkuk plastik ke dalam sinki sewaktu dia menghampiriku dan melekapkan kedua-dua tapak tangannya pada wajahku.
“ Abang cuba buat kek untuk saya ya?”
Aku mengalihkan pandangan daripadanya kerana kesal dengan kegagalan aku. Kek vanila buatanku yang hangus telah kuletakkan di atas kaunter dapur sebelum isteriku masuk ke dapur. Odette beralih daripadaku lalu menuju ke kaunter itu. Dia mencubit sedikit kek hangus itu lalu disuapkan ke mulutnya.
“ Memang tak sedap. Pelik rasanya.”
Itu merupakan kata-katanya selepas merasa kek itu. Wajahku makin keruh mendengarkan apa yang diucapkan oleh isteriku. Tetapi Odette kembali mendapatkan aku dengan senyuman manisnya.
“ Jadi abang kena cuba lagi buat kek ni untuk saya, ya? Terus cuba sampai abang berjaya, okey?”
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Dylan akan membuat kek itu lagi?
Share this novel