Bab 22
Jika isteriku tidak dilanggar lari seperti ini, aku yakin sehingga sekarang aku langsung tidak akan mengetahui bahawa pada hati isteriku ada parut yang akan kekal buat selama-lamanya.
Aku mengeluarkan setiap judul yang membawa kisah penderaan. Aku duduk bersila pada lantai dengan hamparan buku mengelilingiku. Setiap memo yang terselit pada setiap buku yang dibuka olehku diperiksa sebaik mungkin.
Akhirnya, aku menemukan sesuatu pada sebuah buku yang baru dibeli Odette pada dua minggu lepas. Buku yang dibeli sewaktu aku menemaninya ke sebuah kompleks beli belah pada masa lapangku. Sekeping kertas bersaiz A5 yang dilipat kukeluarkan daripada buku itu.
Dia muncul lagi.
Aku tak sangka selepas 15 tahun, dia akan kembali mencari aku. Aku masih hidup dalam mimpi ngeri. Kenapa dia harus muncul kembali?
Pak Cik Marcus menghubungiku dan mengugut untuk memberitahu Dylan sekiranya aku gagal memberikan sebarang wang kepadanya. Setiap kali dia menghubungiku, aku takut. Bagaimana kalau suamiku tahu pasal Pak Cik Marcus?
Aku perlu hentikan semua ini. Sebelum kebahagiaan rumah tanggaku dimusnahkan, aku harus hentikan semua ini. Aku bahagia dengan hidupku. Aku tidak perlukan dia untuk membinasakan apa yang aku kecapi kini.
Aku sayangkan Dylan. Aku tak mahu Pak Cik Marcus cederakan suamiku. Siapa tahu apa yang akan dibuat olehnya kalau aku tidak memenuhi permintaannya? Nyawa suamiku mungkin boleh jadi taruhan.
Aku kenal Pak Cik Marcus. Walaupun dah lama dia meringkuk di penjara, tapi itu tak dapat mengubah sikap tidak perikemanusiaan dia. Aku perlu berhati-hati.
Mataku terasa hangat membaca setiap perkataan yang ditulis oleh isteriku.
Tepat seperti tekaan Inspektor Kent, Marcus McCullagh mungkin suspek utama dalam kes ini.
Walaupun Marcus McCullagh muncul dan mengugut isteriku, keselamatan rumah tangga kami menjadi keutamaan Odette, bukan keselamatan dirinya sendiri. Aku dapat merasakan ketulusan hati isteriku yang dizahirkan melalui setiap perkataan pada kertas itu.
Kertas itu kulipat lalu kumasukkan ke dalam dompet. Aku cuba mencari lagi pada buku-buku yang lain. Tidak mustahil untuk aku menemukan maklumat yang lain selain daripada kertas tadi. Setiap maklumat yang kutemui boleh dijadikan senjata untuk membawa Marcus McCullagh jauh daripada isteriku.
Atau lebih baik sekiranya lelaki yang tidak berperikemanusiaan itu diheret kembali ke balik tirai besi.
Sekeping kertas lagi aku temukan pada sebuah buku yang masih bertanda dengan penanda buku. Sekiranya buku itu masih berpenanda, maknanya buku itu merupakan bacaan isteriku yang terbaharu. Odette tidak suka membaca dua atau tiga buah buku pada suatu masa yang sama. Dia lebih gemar menghabiskan sesebuah buku pada sesuatu masa.
Tulisan yang kukenali sebagai milik isteriku tercatat pada kertas tersebut. Tetapi isi pada permukaan kertas itu lebih pendek daripada kertas yang kutemui tadi.
Pak Cik Marcus menghubungi aku lagi. Dia meminta aku ke Agnes Park pada malam ini. Dia marah kerana aku mengugut untuk memberitahu polis sekiranya dia menggangu aku lagi.
Dylan akan pulang lewat. Tapi patut ke aku ke sana seorang diri? Perlu ke aku beritahu Dylan?
Sebelum keadaan semakin buruk, aku perlu hentikannya. Malam ini, aku akan hentikan segala-galanya. Aku akan pastikan masa silamku tidak akan memusnahkan kebahagiaan masa depanku.
Hatiku kuat mengatakan apa yang ditulis oleh Odette pada kertas itu merujuk kepada hari berlakunya kes langgar lari tersebut. Aku yakin Odette menulis catatan ini pada hari yang sama dia dilanggar lari oleh suspek, Marcus McCullagh.
Tak guna!
Penumbuk kananku bertemu dengan dinding lalu meninggalkan cecair merah. Walaupun terasa perit tetapi sakit pada tanganku itu tidak dapat dibandingkan dengan kesakitan yang kurasakan pada hatiku.
********
Inspektor Kent memberi sekeping gambar Marcus McCullagh yang diambil sekitar awal penangkapannya. Gambar terbaru McCullagh juga berada di tanganku. Aku hanya membisu sewaktu Inspektor Kent memberi penerangan mengenai maklumat terbaharu yang didapatkan olehnya. Pandanganku tidak lepas daripada melihat seraut wajah yang kusut dengan rambut panjang menggerbang dan jambang yang meliar pada wajah itu. Sepasang mata yang seakan-akan milik seekor binatang buas yang sedang memburu mangsanya kelihatan di sebalik rambut kusut itu.
“Jadi McCullagh sekarang bekerja di sebuah bengkel membaiki kereta?” aku bertanya di hujung penceritaan Inspektor Kent. Lelaki itu mengangguk.
“Di Branwell. McCullagh baru bekerja di situ selama sebulan. Menurut majikannya, McCullagh seorang pekerja yang baik dan mendengar kata. Tak pernah ada masalah atau pergaduhan yang ditimbulkan oleh dia. Tapi itu tak bermaksud…”
“Dia cuma melindungi diri dia dengan topeng baik malaikat?” Aku ketawa sinis. Kepingan-kepingan gambar itu kulempar ke atas meja kopi yang memisahkan kedudukanku dengan Inspektor Kent.
“McCullagh cuba memberi alibi mengatakan dia tiada kaitan dengan kes langgar lari Puan Dawson tapi alibi dia tak kukuh. Banyak sangat keraguan pada alibi McCullagh. Dia masih suspek utama kami.”
“Apa yang ditulis oleh isteri saya boleh dijadikan bukti kan? Untuk mendakwa McCullagh telah mengugut untuk mengancam isteri saya kalau permintaan dia tidak dipenuhi?”
“Boleh. Apatah lagi itu tulisan mangsa sendiri.”
“Jangan sesekali lepaskan dia, inspektor. Saya sanggup bayar peguam saya dengan harga yang mahal hanya untuk pastikan dia akan kembali ke penjara. Saya tak berhati binatang sampai sanggup heret dia ke penjara kalau dia tidak bersalah. Tapi kalau sebaliknya, dia akan dapat bayaran yang berganda-ganda daripada saya.”
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah pihak polis akan dapat menangkap McCullagh?
Share this novel