Chapter 20

Romance Completed 24286

Bab 20

Wajah tenang ibu berubah mendengarkan esakanku. Pelukan ibu semakin kuat. Dengan penuh kasih sayang ibu mengusap kepalaku.

“Bawa bertenang, nak. Ibu dengar, ibu dengar,” lembut ibu memujuk aku.

Kata-kataku dibawa pergi dengan tangisan sepi. Ayah diam memerhatikan aku. Ayah hanya membenarkan ibu mengambil masa untuk menenangkan perasaan anak lelakinya yang sudah dewasa ini. Semestinya ayah juga terkejut. Sepanjang hidup mereka, aku hanya menangis sedemikian ketika aku masih kecil. Mereka berdua mengenali aku sebagai seorang lelaki yang teguh hatinya.

Tetapi disebabkan oleh isteriku, air mata lelakiku mengalir juga.

Pada saat aku masih dalam pelukan ibu, aku tidak sedar pada waktu itu suatu cecair jernih mengalir perlahan daripada hujung mata isteriku.

Aku dan ayah duduk di sebuah bangku yang disediakan di taman hospital. Ibu pula bersendirian menemani Odette. Bulan sudah menggantikan matahari. Tidak ramai orang berada di taman pada waktu malam sebegini. Hanya ada sepasang suami isteri sahaja yang berada berhampiran dengan kami berdua sambil ditemani oleh anak-anak mereka. Pandanganku jatuh kepada keluarga itu.

Si isteri sedang duduk di kerusi roda yang ditolak oleh si suami dari belakang. Kedua-dua anak mereka yang masih kecil pula rancak berbual dengan ibu mereka. Sesekali si bapa menyampuk. Tawa mereka kedengaran menceriakan suasana yang kurasakan hambar.

“Dylan tak nak beritahu ayah apa yang terjadi?”

Ayah membuka mulut. Aku berasa lega kerana ayah yang terlebih dahulu memecahkan kesunyian antara kami. Aku tidak tahu bagaimana untuk aku memulakan penceritaanku. Ibu juga tidak mengetahui akan perkara sebenar yang membuatkan aku berubah daripada hari-hari kebiasaannya.

“Ayah tak akan paksa kalau Dylan tak nak beritahu.”

Aku menoleh kepada ayah. Renungan ayah jauh ke hadapan kami. Aku tunduk merenung tanah.

“Tak. Saya cuma… tak tahu macam mana nak cerita pada ayah.”

“Jangan gopoh. Ayah akan dengar,” ucap ayah tenang.

Aku merapatkan kedua-dua tapak tanganku lalu kutautkan jari jemariku. Aku tunduk merenung kepada tanganku. Ayah masih setia menanti untuk aku memulakan cerita.

“Ayah tahu kan yang ibu bapa Odette meninggal masa dia berumur 10 tahun dan dia tiada saudara mara lain?”

“Ya. Dylan pernah beritahu ayah pasal tu.”

“Kalau ayah, ayah tentu fikir pada umur 10 tahun Odette ditempatkan di rumah kebajikan, kan?”

“Ya. Memandangkan dia tiada saudara mara lain, jabatan kebajikan akan uruskan penempatan anak-anak yatim. Melainkan kalau ada sesiapa yang sudi menjaga dia.”

Kepalaku diangkat kepada ayah. Lama aku merenung ayah yang masih kekal dengan ketenangannya. Ayah tidak bertanya apa-apa mengenai sepiku yang datang secara tiba-tiba. Ayah masih sabar menanti untuk aku kembali menyambung ceritaku.

“Odette ditempatkan pada usia 14 tahun, empat tahun selepas dia kehilangan ibu bapanya.”

Ayah kelihatan agak terkejut tetapi aku tahu bahawa ayah masih lagi tenang.

“Dylan tahu kenapa?”

Aku mengangguk. Aku melarikan pandanganku daripada wajah ayah.

“Odette ada seorang bapa saudara, ayah. Dia tinggal dengan bapa saudara dia sepanjang empat tahun tu sebelum dia didaftarkan ke rumah kebajikan.”

“Dylan tahu pasal bapa saudara Odette?”

Aku menggeleng. “ Saya langsung tak tahu. Sehinggalah hari ini. Pengetua di rumah kebajikan Odette yang beritahu saya. Puan Van Leer beritahu Odette…” aku menelan liur. Mataku kupejam.

“ … jadi mangsa deraan bapa saudaranya. Dia selalu dipukul. Sepanjang empat tahun tu… dia banyak menderita. Odette tiada tempat mengadu. Bapa saudaranya melarang dia daripada berkawan dengan sesiapa. Odette… selalu diancam bunuh sekiranya dia melaporkan kepada polis.”

Aku dan ayah sama-sama diam. Aku cuba menenangkan perasaanku yang kembali membuatkan aku sebak. Ayah pula diam kerana dia cuba menerima apa yang kuceritakan mengenai zaman kanak-kanak Odette.

“ Odette selalu dikurung, ayah. Tanpa makan dan minum. Dia selalu dipukul… walaupun untuk kesalahan kecil. Jabatan kebajikan hanya tahu pada hari bapa saudara Odette ditangkap. Jiran-jiran yang tinggal berhampiran dengan mereka semua tak tahu pasal deraan tu.”

Ayah menghela nafas berat. Dengan perlahan dia bertanya, “ Kenapa bapa saudara Odette ditangkap?”

“Kerana tuduhan membunuh seorang lelaki. Dia dipenjarakan 15 tahun yang lalu. Odette didaftarkan ke rumah kebajikan selepas itu. Bapa saudara Odette dilepaskan dari penjara tiga bulan lepas.”

“Odette tak pernah beritahu Dylan pasal bapa saudaranya?” Ayah mengulangi soalan yang ditanyanya tadi. Aku menggeleng bagi menyakinkan ayah. Kedengaran ayah mengeluh.

“Dylan fikir kes ni ada kaitan dengan bapa saudara Odette?”

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah bapa saudara Odette mempunyai kaitan dengan kemalangan Odette?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience