Chapter 6

Romance Completed 24286

Bab 6

Aku beralih daripada tingkap ke katil. Wajah Odette masih dengan ekspresi semalam. Aku ingin melihat dia dengan senyuman yang selalu dihadiahkan kepadaku. Hampir 24 jam berlalu sejak kali terakhir Odette merenungku dengan senyumannya. Aku tidak sangka senyuman yang dikuntum olehnya sebelum aku berangkat ke pejabat pada pagi semalam adalah senyumannya yang terakhir dapat kulihat sehinggalah pagi ini.

Ibu dan ayah tiba pada waktu yang dijanjikan. Ibu segera meminta aku pulang ke rumahku dengan memberi jaminan ibu akan segera menghubungiku sekiranya Odette sedarkan diri. Aku menurut sahaja permintaan ibu tanpa banyak kata. Pakaian kerja semalam masih tersarung di tubuhku.

“ Jangan lupa telefon Dylan.”

“ Ya, sayang. Dah, pergi balik. Bersihkan diri dan rehat dulu sekejap. Ibu dan ayah akan tolong jagakan Odette. Ibu akan segera telefon Dylan kalau ada sebarang perkembangan.” Ibu cuba menyakinkan aku.

“ Terima kasih, ibu,” aku tersenyum lemah.

Aku mencium pipi ibu dan memeluknya. Ayah menepuk lembut bahuku dan meminta aku agar jangan terus bersedih. Aku menyambut kata-kata ayah dengan ucapan terima kasih.

“ Abang pulang ke rumah kita kejap. Jaga diri ya sayang.”

Aku berbisik lembut di telinga Odette. Dahinya kucium lama. Ibu dan ayah hanya membisu menyaksikan setiap tingkah laku aku.

Kedua-dua ibu bapaku amat menyayangi Odette. Bagi mereka, Odette seorang menantu yang sangat baik dan biasanya mereka akan menyokong isteriku sekiranya ada perselisihan faham terjadi antara kami. Pada usia 32 tahun aku mengahwini Odette yang baru aku kenali selama enam bulan. Ibu dan ayah memang sudah lama meminta aku memberi menantu kepada mereka pada waktu itu.

Perkahwinan aku dan Odette memberi kelegaan kepada kedua-dua ibu bapaku. Ibu dan ayah tidak mempunyai masalah untuk menerima seorang gadis biasa seperti Odette masuk ke dalam keluarga kami walaupun isteriku seorang anak yatim piatu sejak kecil. Suara-suara sumbang yang mengatakan aku patut mengahwini gadis yang sama taraf dengan status keluargaku langsung tidak terkesan pada ibu bapaku. Kata mereka, cukuplah kalau aku menemui seorang gadis baik yang ikhlas menyayangiku.

Sampai sahaja di kediamanku, aku segera menuju ke bilik tidur kami berdua. Pesanan ibu supaya aku segera membersihkan diri dan berehat terlebih dahulu tidak kuhiraukan. Aku lebih berminat dengan andaian yang ibu berikan kepada aku tadi.

Aku memeriksa meja solek yang kemas tersusun dengan barangan milik isteriku. Biasanya Odette akan menyimpan kesemua barangnya di sini. Setiap inci meja solek itu kuteliti. Setiap laci meja kubuka dan kuselongkar. Mungkin aku boleh menemui sebarang klu yang membabitkan kes semalam. Walaupun pihak polis belum mengesahkan isteriku dilanggar lari oleh seseorang yang mengenalinya, tetapi aku tidak mahu terlewat walau dengan satu langkah sekalipun.

Tiada apa-apa yang berjaya menarik perhatianku di meja itu. Aku beralih ke meja kecil di setiap sisi katil. Juga tiada apa yang sedang kucari. Kepalaku yang terasa berserabut kugaru kasar. Aku keluar dari bilik lalu menuju ke dapur. Apa yang kulihat di dapur membuatkan aku merasakan dapur adalah tempat terakhir yang diduduki isteriku sebelum dia keluar dari rumah ini.

Pinggan mangkuk di sinki tidak dicuci sepenuhnya. Paip pula tidak ditutup dengan sempurna, masih ada air menitik ke sinki. Di atas kaunter dapur ada dua biji epal dan sebiji lagi yang sudah dipotong separuh. Sebilah pisau dan papan pemotong masih berada di atas kaunter dapur.

Kelihatannya, Odette seakan-akan meninggalkan rumah ini dengan tergesa-gesa.

Tapi kenapa?

Kerana tidak tahan dengan kepenatan lantaran aku tidak dapat tidur semalaman, aku merebahkan tubuh di atas sofa di ruang tamu. Mataku tertumpu kepada potret perkahwinan kami yang tergantung di dinding. Mindaku membawa aku ke wad yang menempatkan isteriku. Jelas di ingatanku bagaimana kakunya isteriku terbaring di atas katil itu. Hanya dadanya yang berombak perlahan menandakan dia masih lagi bernafas.

“ Tolonglah sedar, sayang. Abang merayu…”

Aku terlelap. Bayangan Odette hilang di hadapanku.

CAHAYA putih yang menyilaukan pandangan memaksa aku untuk menutup mata. Perlahan-lahan cahaya terang itu menghilang selepas seketika. Apabila yakin bahawa pemandangan di hadapanku sudah normal, aku membuka mataku.

Aku kehairanan sebaik sahaja aku melihat apa yang terhidang di hadapanku. Aku sedang berdiri di hadapan sebuah sungai jernih yang sedang mengalir tenang. Pokok-pokok menghijau mengelilingiku. Bunyi kicauan burung dan air sungai mengalir menjadi halwa telingaku.

Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Hanya aku seorang sahaja di sini. Pakaianku turut bertukar. Sepasang pakaian seperti seorang pengembara pada kurun ke-18 tersarung di tubuhku. Aku ketawa kecil. Mimpi apakah yang sedang aku alami ini?

…bersambung

Bab akan datang:

Dimanakah Dylan pergi di dalam mimpi itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience