Chapter 1

Romance Completed 24286

Bab 1

PROLOG

Manusia sering kali hidup berlandaskan ilusi berbanding realiti. Kebanyakannya disebabkan mereka ingin lari daripada realiti kehidupan yang membuatkan mereka sering berputus asa daripada meneruskan hidup. Kadang kala, mereka mencipta alam di mana mimpi mereka menjadi realiti.

Aku juga ingin hidup di dalam mimpiku pada saat aku merasakan aku mula kehilangan perkara terpenting di dalam hidupku. Hatiku berbelah bahagi di antara realiti yang berada di hadapanku atau mimpi yang memanggil dari suatu arah.

Pada saat hatiku bergerak ke arah mimpi yang hanya memberi ketenangan yang sementara, akalku segera menegah daripada meneruskan langkah. Walau sesukar manapun realiti yang harus kuhadapi, aku hanya dapat mencapai ketenangan sebenar sekiranya aku memberanikan diri untuk berhadapan dengan realiti itu.

Pada saat aku mula mencari kembali perkara yang terpenting bagiku, mimpi mula mengejarku untuk menggelamkan realiti hidupku.

******

“ DYLAN! Kau tak nak balik lagi?”

Teguran Mike mengejutkan aku yang sedari tadi tenggelam dalam kerjaku. Aku langsung tidak sedar ketika dia membuka pintu bilik yang menempatkan pejabatku. Di tangan kanannya tersangkut kot hitam manakala beg bimbitnya berada di tangan kiri. Tali leher merah berbelang hitam sudah dilonggarkan daripada kolar kemeja putih di tubuhnya. Mike benar-benar kelihatan sudah bersedia untuk pulang ke rumah.

“ Belum lagi. Aku nak siapkan kerja sikit lagi,” aku membalas pertanyaannya.

Mike masuk ke dalam pejabatku lalu mengambil tempat di hadapan meja kerjaku. Matanya singgah pada dua bingkai gambar yang kuletakkan di atas meja.

“ Takkan bergaduh dengan isteri kesayangan kau sebab tu kau balik lambat?”

Aku tergelak. Sempat pula Mike mengandai sedemikian.

“ Mana ada. Sebab aku sayang isterilah aku balik lambat malam ni,” balasku. Perhatianku masih pada kerja di hadapan walaupun Mike masih duduk bersama-samaku.

“ Tak kena pun logik kau,” Mike menyangkal.

“ Tak lama lagi aku nak bawa dia pergi bercuti untuk dua minggu. Sebab tu aku nak selesaikan kerja yang penting. Takkan kau dah terlupa?”

Senyumanku terukir. Sudah lama aku merancang percutian untuk kami pasangan suami isteri. Walaupun sudah hampir dua tahun kami berkahwin tetapi aku jarang membawa isteriku melancong lantaran kesibukan aku menguruskan syarikat. Memandangkan aku boleh menyerahkan serba sedikit urusan syarikat kepada adik lelakiku, aku memutuskan untuk membawa isteriku pergi bercuti tidak lama lagi.

Destinasi percutian kami akan merangkumi negara-negara yang menjadi impian isteriku. Kami akan melalui pelancongan yang romantik di Paris, menyaksikan tinggalan bersejarah yang penuh dengan unsur kesenian di Itali, melihat hidupan liar di Afrika Selatan, menyelusuri hutan hujan tropika di Malaysia dan bersantai menikmati keindahan pantai di Bali.

“ Mentang-mentang kau bos besar, sesuka hati aje nak pergi bercuti lama-lama. Nanti muka ni juga yang kena hadap semua kerja kau,” Mike mengeluh. Aku tersenyum lagi.

“ Kalau aku tak harapkan adik kesayangan aku, siapa lagi? Lagipun kau kena belajar lagi bagaimana nak uruskan syarikat ni. Lebih baik kau belajar dengan aku daripada dengan ayah yang akan berubah jadi singa kalau melibatkan urusan syarikat kita.”

Mike mengeluh. Tentu dia tidak menyangka dia perlu mengambil alih tugasku untuk suatu tempoh yang agak panjang. Walaupun Mike sudah berusia 30 tahun tetapi bagiku dia masih mentah dalam dunia perniagaan. Aku yang empat tahun lebih senior daripada Mike juga masih perlu mendalami ilmu perniagaan daripada ayah kami walaupun sudah hampir lapan tahun aku bekerja di syarikat ini.

Michael Dawson adalah satu-satunya adik lelakiku. Hanya kami berdua sahaja anak kepada Roy Dawson dan Martha Reilly, pemilik kepada sebuah ladang penanaman anggur dan juga beberapa rantaian hotel dan resort yang terkenal. Mike mempunyai minat yang sama sepertiku. Kami berdua mewarisi syarikat ayah kami selepas ayah mengambil keputusan untuk bersara. Tetapi perniagaan ini sebenarnya dimulakan oleh bapa dan ibu kepada datukku di sebelah ayah.

“Untunglah Odette sebab dapat jadi satu-satunya perempuan yang boleh pikat hati abang aku yang gila kerja. Kalau tak, dunia kau hanya di syarikat ni aje. Ibu pujuk kau pergi melancong pun kau tak nak gara-gara tak nak berpisah dengan ofis kau,” sempat lagi Mike menyindir.

“Sudahlah, Mike. Pergi balik rumah. Sementara aku nak pergi bercuti ni, aku benarkan kau rehat dulu. Lepas ni kau akan sibuk dengan tugasan aku.” Daripada Mike berterusan melalut, lebih baik dia segera pulang ke rumah. Malam sudah semakin lewat.

Mike mencebik. Dia tetap adik lelakiku yang manja.

“Baiklah, abang besar. Aku balik dulu. Jangan balik lambat sangat pula. Kasihan dengan kakak ipar kesayangan.”

...bersambung

Bab akan datang:

Kemanakah destinasi melancong Dylan bersama isterinya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience