Bab 25
Aku ketawa perlahan. Setiap nafas yang ditarik oleh isteriku kudengar. Setiap kali dadanya berombak perlahan kuperhatikan. Tiada walau satu pun kecacatan aku peroleh daripada isteri kesayanganku.
“Sayang akan sedar kan? Untuk percutian kita? Untuk teruskan hidup dengan abang?”
Aku membetulkan kedudukanku. Mataku masih tidak lepas daripada melihat kepada wajah itu. Benar kata ibu. Odette seakan-akan sedang tidur. Cuma lenanya panjang dan tiada siapa mampu membawanya kembali ke realiti.
“Abang akan pastikan Odette kembali pada abang. Abang akan pastikan McCullagh kembali ke penjara. Abang ada untuk lindungi Odette. Jadi, jangan terus lari daripada realiti. Walaupun Odette akan bahagia dalam mimpi Odette, tapi itu semua palsu. Abang merayu, beranikan diri sayang untuk berhadapan dengan realiti. Walau apapun yang terjadi, abang ada untuk sayang.”
Mataku dipejam lama. Mataku terasa hangat. Sekiranya isteriku terus berada dalam mimpinya, bagaimana aku dapat berhadapan dengan realiti? Odette perlukan aku dan aku juga perlukan isteriku untuk bersama-sama melalui realiti di hadapan kami.
Aku tidak dapat membayangkan sebesar mana ketakutan isteriku terhadap McCullagh sehingga dia sanggup melarikan diri daripada realiti hidupnya. Tetapi aku tahu, McCullagh adalah syaitan yang berselindung di sebalik topeng seorang manusia. Walaupun pertemuan aku dengan lelaki itu hanya seketika, tetapi daripada wajah dan setiap kata-kata sinis yang dilemparkan olehnya, aku tahu lelaki itu tidak layak hidup di samping isteriku.
“ Sayang nak abang tunjukkan jalan untuk kembali?”
Aku berharap apa yang aku katakan tadi sampai kepada Odette. Doktor Murphy sendiri menggalakkan aku untuk terus bercakap dengan isteriku, cuba menyakinkan isteriku untuk sedarkan diri. Sekiranya aku terus mencuba, Odette mungkin akan sedar. Odette mungkin akan menguatkan semangatnya untuk kembali kepadaku. Kepada realiti kami.
“ …bang…”
Dan mungkin pada saat ini juga dia kembali kepadaku.
Saat aku membuka mata, aku terpaku apabila melihat sepasang mata jernih milik Odette sedang merenungku sayu. Wajahnya kelihatan pucat keletihan. Bibirnya berulang kali bergerak lemah menyeruku. Tangan kanannya diangkat perlahan untuk mendapatkan wajahku. Terasa tapak tangan Odette menggigil pada pipiku.
“ Abang…”
Pandanganku kabur dengan air mata.
BAB 8
BERMULA daripada tiga jam yang lalu iaitu sewaktu Odette kembali membuka matanya, aku tidak sesekali berenggang daripada isteriku. Odette masih menghabiskan masanya di atas katil. Dia masih terlalu lemah untuk bergerak ke sana sini. Aku takut sekiranya aku meninggalkan Odette walaupun untuk sesaat, dia akan kembali dalam lena panjangnya.
Aku telah memaklumkan kepada ayah mengenai keadaan Odette dan meminta ayah merahsiakannya daripada ibu yang sudah lama melelapkan mata. Ibu dan ayah perlukan rehat selepas lama menghabiskan masa di wad ini untuk menjaga Odette. Aku tidak mahu ibu tergesa-gesa mengajak ayah kembali ke hospital semata-mata untuk melihat isteriku.
Suasana sepi di antara kami kami berdua. Odette duduk bersandar pada kepala katil dengan wajah yang ditundukkan merenung selimut yang membaluti tubuhnya. Aku juga hanya duduk sahaja di kerusi bersebelahan dengan katil itu. Bagaikan mimpi sahaja aku melihat Odette membuka mata di hadapanku.
“ Sayang perlukan apa-apa?”
Isteriku mengangkat wajah daripada merenung selimut itu. Odette menarik senyum walaupun masih tidak berseri seperti sebelumnya.
“ Tak ada apa-apa.”
“ Betul? Nak abang buatkan minuman panas?”
Odette menggeleng perlahan.
“ Abang tidurlah. Sekarang dah lewat malam.”
Aku mengeluh berat. Macam mana aku boleh tidur dalam keadaan macam ni?
“ Abang tak boleh tidur. Macam mana kalau lelaki tu muncul masa abang tidur?”
“ Kan ada pegawai polis di luar bilik ni?”
Sebaik sahaja Odette sedarkan diri, aku menelefon Inspektor Kent untuk memberitahunya mengenai keadaan isteriku kepadanya. Sekurang-kurangnya apabila isteriku sudah bersedia untuk bertemu dengan pegawai polis itu, inspektor itu boleh datang untuk bertanyakan mengenai McCullagh daripada Odette. Walaupun isteriku sudah sedar namun McCullagh masih perlu dibalas dengan apa yang dibuat olehnya terhadap isteriku.
Akan tetapi aku dikejutkan dengan suatu berita buruk. Pada saat aku baru sahaja bergembira dengan perkembangan isteriku, berita yang disampaikan oleh Inspektor Kent membuatkan kegembiraan aku kembali pudar. Siapa sangka cepat sahaja badai melanda bagi menenggelamkan kegembiraan yang baru aku kecapi.
Marcus McCullagh telah melarikan diri dari Branwell.
Tiada sesiapa nampak kelibat lelaki itu daripada petang tadi. Nampaknya, aku mungkin orang terakhir yang bertemu dengan McCullagh. Inspektor Kent terkejut dengan pengakuan aku yang mengatakan aku telah pergi ke Branwell seorang diri bagi mencari McCullagh.
Setakat ini pemburuan McCullagh masih dijalankan. Inspektor Kent juga telah menempatkan dua orang anggota polis bawahannya di hadapan pintu masuk wad yang menempatkan isteriku sebagai langkah berjaga-jaga. Pegawai polis itu risau sekiranya McCullagh akan muncul di hospital ini untuk terus mengapa-apakan isteriku.
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah McCullagh dapat bertemu dengan Odette atau berjaya ditangkap oleh pihak polis?
Share this novel