Bab 26
“Macam mana sayang boleh tenang macam ni? Sayang tak takut?”
Isteriku tidak kelihatan takut akan berita buruk yang telah kusampaikan kepadanya. Begitu berhati-hati aku menyusun ayat agar Odette tidak terkejut dengan khabar bahawa McCullagh telah melarikan diri tetapi respon daripada Odette membuatkan aku berasa agak kagum dengan isteriku. Dia tidak menzahirkan ketakutannya secara terbuka.
“Siapa kata saya tak takut, abang?”
Aku mencapai kedua-dua tangan isteriku. Aku masih dapat merasakan gigilan pada tangan itu seperti mana sewaktu Odette menyentuh pipiku sebaik sahaja dia sedarkan diri tadi. Daripada riak wajahnya yang sedikit berubah sewaktu aku menyentuh tangannya, aku tahu Odette cuba menahan daripada memperlihatkan betapa dia berada dalam ketakutan sekarang. Dan apa yang dilakukan oleh isteriku kini membuatkan aku agak kecewa dengannya.
Aku kecewa kerana Odette tidak mahu berkongsi ketakutan yang menghantuinya denganku, suaminya.
“ Kenapa sayang tak beritahu abang pasal McCullagh?”
Aku tahu keadaan isteriku masih lagi tidak stabil sepenuhnya tetapi aku tidak dapat menahan diriku daripada terus memendam soalan itu. Itu adalah soalan terpenting yang ingin aku tanyakan kepada Odette pada saat dia sedarkan diri.
“ Saya tak nak abang susah hati.”
Jawapan yang sudah kuduga keluar daripada bibir itu. Aku menggeleng perlahan.
“ Abang terkejut bila dapat berita sayang kemalangan. Abang tambah terkejut bila abang dapat tahu kemalangan ni bukannya disengajakan. Abang betul-betul…” aku kematian kata-kata. Aku memerhatikan Odette yang kelihatan resah melihatku.
“ … tak sangka.”
“ Bukan itu maksud saya, abang. Saya tak berniat nak rahsiakan pasal bapa saudara saya. Saya…”
“ Abang tak maksudkan kisah lalu sayang. Abang faham kenapa Odette rahsiakan mengenai dia, kenapa sayang beritahu sayang langsung tiada ahli keluarga. Susah untuk abang terima, tapi abang faham kenapa Odette buat macam tu.”
Odette mendiamkan diri. Dia melarikan pandangan daripada renunganku. Aku menghela nafas.
“ Abang kecewa sebab sayang tak beritahu abang yang sayang dalam bahaya. Macam mana kalau sayang bukan sekadar tidak sedarkan diri pada malam tu? Macam mana kalau sayang ter…”
Aku menelan liur. Tanganku kuat menggenggam tangan isteriku seakan-akan aku tidak akan melepaskannya lagi. Odette masih membisu. Aku menundukkan wajah. Tidak sanggup melihat kesayuan pada wajah itu.
“ terbunuh? Abang langsung tak tahu apa-apa. Abang langsung tak tahu ada orang yang mengugut untuk… bunuh Odette selama ni. Kenapa pendamkan semuanya seorang diri? Kenapa? Sayang tahu kan yang abang ada?”
Ada cecair menitik pada tanganku. Perlahan aku mengangkat wajah. Odette sedang menangis teresak-esak dalam bisunya. Pada saat itu barulah aku sedar betapa kuatnya gigilan tangan Odette pada tanganku, lebih menggigil daripada sebelumnya. Aku melepaskan tangan isteriku lalu menariknya ke pelukanku. Wajah Odette aku sandarkan pada dadaku. Tubuh lemah itu masih menggigil ketakutan.
“ Saya takut, abang… Dia nak bunuh saya… Dia nak bunuh abang… Saya… tak sanggup… nak beritahu abang…”
“ Kalau sayang fikir abang akan benci sayang sebab sayang rahsiakan perkara ni, sayang silap. Abang cuma risaukan keselamatan sayang. Bila-bila masa sahaja dia boleh bahayakan sayang masa abang tiada di rumah.”
“ Tak! Bukan… bukan macam tu. Macam mana kalau… kalau dia bunuh abang? Saya tak nak abang mati… Cukuplah… Saya tak nak tinggal dalam neraka tu lagi… Saya tak nak kena pukul lagi… Tolong saya, abang…. Selamatkan saya…”
Aku membiarkan sahaja Odette melepaskan segala perasaan yang dipendam olehnya selama ini. Terasa bajuku basah dengan air mata isteriku. Odette masih dengan esakannya. Lembut aku mengusap rambut panjang isteriku. Perlahan aku berbisik di telinganya.
“ Ingat tak percutian kita yang abang janjikan?”
Tiada balasan daripada isteriku. Tetapi esakannya sudah reda. Dia mengangkat wajah lalu memandang kepadaku. Aku ketawa perlahan.
“ Abang tak batalkan percutian ni semata-mata Odette masuk hospital. Kita teruskan rancangan kita, ya? Abang nak sayang tenangkan diri dan sedia untuk percutian kita. Boleh?”
Aku menarik nafas lega apabila melihat seulas senyuman terbit pada wajah isteriku. Walaupun tidak berseri sepenuhnya, sekurang-kurangnya aku berjaya menarik perhatian Odette daripada kesedihannya. Tubuhnya juga sudah tidak menggigil. Aku bangga kerana isteriku seorang yang tabah orangnya.
“ Abang masih fikirkan percutian tu?”
Aku mengangguk. Ubun ubun Odette kukucup lembut.
“ Kalau sebelum ni abang rancang percutian ni sebab nak luangkan lebih banyak masa dengan Odette, kali ni abang nak Odette anggap percutian ni sebagai salah satu terapi untuk sayang tenangkan fikiran. Macam mana? Boleh?”
Odette tersenyum lagi.
“ Terima kasih, abang.”
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Odette akan merasa tenang selepas ini?
Share this novel