Bab 4
“Baiklah. Saya jelaskan secara terperinci.”
Inspektor Kent tidak mengambil masa untuk berbasa-basi. Dia segera ke pokok utama pertemuan kami bertiga. Inspektor Kent berhenti sejenak untuk mengambil buku nota kecil daripada poket jaket coklatnya.
“Mangsa, Puan Odette Dawson dipercayai dilanggar lari oleh sebuah sedan hitam berdekatan dengan Agnes Park pada jam 10:30 malam. Buat masa sekarang kami tiada maklumat mengenai sedan hitam itu. Selepas kereta itu melanggar Lexus yang dipandu Puan Dawson, kereta itu menghilang ke arah selatan dari Agnes Park.”
Apa yang diberitahu oleh Inspektor Kent hampir melumpuhkan semangatku.
“Dilanggar lari secara tidak sengaja atau… dirancang?” aku bertanya gusar.
“Maaf, Encik Dawson. Kami masih tidak dapat mengenalpasti motif suspek. Tetapi menurut beberapa orang saksi yang berada berdekatan kawasan itu, sedan hitam itu hanya berada di bahu jalan sehinggalah Lexus Puan Dawson muncul. Sedan hitam itu dipercayai memecut ke arah Puan Dawson dan terus menghilangkan diri selepas Lexus itu terlanggar sebatang pokok di bahu jalan.”
Aku menelan liur. Sengaja dilanggar lari?
“Ada kemungkinan isteri saya memang merupakan sasaran suspek daripada awal? Bukannya dilanggar secara tidak sengaja?”
“Kami tidak menolak kemungkinan itu.” Inspektor Kent menjawab tenang.
Aku tersandar lemah pada bahu sofa yang diduduki olehku. Wajah Inspektor Kent dan Detektif Connor diperhatiku silih berganti. Aku cuba mengorek rahsia di sebalik wajah tenang mereka tetapi aku tidak mempunyai kuasa untuk itu.
“Tolong tangkap suspek, inspektor. Saya minta tolong sangat-sangat. Saya tak dapat maafkan dia kalau dia memang sengaja langgar isteri saya. Saya…”
“Kami faham, Encik Dawson. Pihak kami akan cuba yang terbaik untuk bantu encik dan juga isteri encik yang menjadi mangsa. Sekiranya ada maklumat terbaru, kami akan segera hubungi encik. Pada masa yang sama, saya percaya encik sebagai suami mangsa dapat membantu kami untuk menangkap suspek.”
“Terima kasih, inspektor, detektif. Kalau ada apa-apa yang boleh saya tolong, saya tak akan teragak-agak. Tak sangka… malam ni saya dapat berita buruk macam ni.”
“Buat masa sekarang, kami akan pegang dahulu telefon milik isteri encik. Di dalam log panggilan masuk telefon isteri encik, kami temui beberapa nombor yang tidak bernama. Sesetengahnya seperti panggilan yang dibuat di telefon awam. Kami akan siasat siapa pemilik-pemilik semua nombor itu.”
“Tuan rasa nombor-nombor itu milik seorang sahaja suspek atau lebih?”
“Mungkin seorang, mungkin lebih. Buat masa sekarang, saya minta encik tenangkan diri. Pihak kami tidak akan pandang remeh terhadap kes ini.”
Inspektor Kent dan Detektif Connor meninggalkan bilik tetamu itu. Selepas pertemuan singkat kami, Doktor Murphy membawa aku ke wad yang menempatkan isteriku. Sebelum itu aku telah memohon agar isteriku ditukarkan ke wad kelas pertama agar privasi untuk aku dan ahli keluargaku yang melawat Odette tidak akan terganggu dengan kehadiran pesakit lain dan kami juga tidak menganggu mereka. Pada masa-masa sebegini aku percaya ibu dan ayah sendiri mahukan privasi untuk keluarga kami.
“Boleh saya temankan isteri saya, doktor?”
Aku meminta kebenaran daripada Doktor Murphy. Lagipun aku sendiri tidak yakin bagaimana sistem lawatan di hospital. Aku cuma tahu ada had masa lawatan di setiap hospital. Ini adalah kali pertama orang yang terdekat denganku terpaksa ditempatkan di hospital kerana kemalangan.
“Boleh. Memandangkan hanya isteri encik sahaja di wad.”
“Terima kasih, doktor.”
“Ada butang panggilan sekiranya encik perlukan kami. Jadi, saya pergi dahulu.”
“Baiklah. Terima kasih sangat-sangat, doktor. Terima kasih.”
Doktor Murphy meninggalkan aku di hadapan wad yang menempatkan Odette dengan senyuman bagi menguatkan semangatku. Perlahan aku menolak pintu wad itu walaupun aku tahu Odette masih belum sedarkan diri. Kakiku terpaku di muka pintu sebaik sahaja wajah isteriku menyambut pandanganku.
Dahi Odette berbalut dengan kain putih. Begitu juga dengan lengan kanannya. Kaki kiri Odette turut berbalut. Aku bersyukur kerana tiada kecederaan serius menimpa isteriku. Hanya sedikit calar pada seluruh tubuhnya. Walau bagaimanapun, kaki kirinya terseliuh sedikit. Pernafasan Odette juga normal.
“Odette…”
Aku mengambil tempat di sebelah katil hospital. Wajah isteriku tidak kelihatan tenang seperti kebiasaan. Walaupun dalam tidurnya aku selalu melihat ketenangan pada wajah itu. Odette bukanlah seorang wanita yang suka bermurung. Ada-ada sahaja dibuat olehnya untuk menggembirakan aku.
“Bangun cepat, ya sayang? Jangan lupa yang abang nak bawa Odette pergi bercuti lepas ni. Bukan ke dah lama kita rancang percutian ni?”
Tangan kiri isteriku yang tidak mengalami kecederaan ku capai. Jari jemariku bermain-main dengan tangan halus milik isteriku. Ku cium satu persatu jari jemari panjangnya. Aku tidak melepaskan pandanganku pada wajah isteriku.
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Odette dapat mendengar percakapan Dylan?
Share this novel