Bab 15
“ Saya akan hentikan pengembaraan saya kalau saya yakin saya tak akan dapatkan perkara tu balik. Sebelum tu, saya tak akan berhenti daripada pencarian saya.”
Ya.
Masanya akan tiba untuk aku berhenti. Tetapi aku baru sahaja memulakan perjalananku. Aku akan berjalan dan terus berjalan sehingga ke penghujung jalan yang kulalui. Selepas itu, barulah aku akan menghentikan segala-galanya walaupun sukar untuk aku menukar arah perjalananku daripada perjalanan yang sebelumnya.
“ Saya harap encik akan jumpa balik apa yang encik cari tu. Nampaknya perkara tu tersangat penting sehinggakan encik sanggup menghabiskan hidup encik untuk mencarinya.” Odette mengukir senyum. Aku tahu senyuman itu ikhlas dengan setiap kata yang disampaikannya.
“ Terima kasih.”
Terima kasih, sayang. Walaupun hanyalah di dalam mimpi, Odette tidak pernah lupa untuk membuatkan abang terus bersemangat. Abang akan dapatkan kembali apa yang terpenting dalam hidup abang.
Abang akan dapatkan Odette balik.
********
Tengah malam hampir menjelang sewaktu aku menerima panggilan daripada Inspektor Kent. Ianya tidak mengambil masa yang lama untuk aku menjawab panggilan itu. Sejak daripada pertemuan kami tadi, aku berharap Inspektor Kent dapat membantuku menyelesaikan misteri kertas yang kutemui tadi.
“ Bagaimana, inspektor?”
“ Macam yang kami jangka, itu nombor seorang tahanan penjara.”
“ Siapa?”
Aku hanya separuh mengjangkakan kebenaran telahan Inspektor Kent tadi. Separuh hatiku berharap itu hanyalah coretan yang tidak bermakna apa-apa oleh isteriku. Aku tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan situasi yang semakin membuatkan aku keliru. Tahanan penjara?
“ Marcus McCullagh, berumur 47 tahun.”
“ Marcus… McCullagh?”
Itu merupakan kali pertama aku mendengar nama tahanan yang dikaitkan dengan nombor yang ditulis oleh Odette itu. Adakah isteriku benar-benar mengenali lelaki yang dimaksudkan oleh Inspektor Kent itu?
“ Tuan pergi berjumpa dengan dia ke?”
“ Malangnya tidak. McCullagh baru sahaja dilepaskan hampir tiga bulan lepas. Pada usia 32 tahun McCullagh dimasukkan dalam penjara 15 tahun yang lalu atas tuduhan membunuh seorang lelaki. Puncanya, pergaduhan di sebuah kasino.”
“ Tuan fikir… isteri saya ada kaitan dengan… McCullagh?”
Berat mulutku untuk mengucapkan perkataan ‘penjenayah’. Semakin aku cuba mencari penyelesaian di sebalik misteri kes langgar lari yang melibatkan Odette, aku merasakan semakin banyak kepingan puzzle yang aku perlukan untuk merungkai misteri ini.
“ Setakat ini saya tak jumpa apa-apa lagi yang menunjukkan isteri encik mengenali McCullagh. Menurut pegawai di penjara itu, tiada rekod yang mengatakan Puan Dawson pernah datang melawat McCullagh sebelum ini. Esok saya akan ke penjara yang menjadi tempat tahanan McCullagh untuk siasatan lanjut. Saya perlukan fail McCullagh untuk siasatan ini.”
“ Ya…” gumamku perlahan.
“Encik ada menyatakan isteri encik anak yatim piatu sejak kecil, kan? Dan isteri encik juga tidak mempunyai ahli keluarga yang lain.”
“Ya.”
Aku memberikan maklumat itu pada hari Odette dilanggar lari. Segala informasi yang ditanya oleh Inspektor Kent aku berikan kepadanya.
“ Pada usia berapa Puan Dawson kehilangan ibu-bapanya? Encik tahu bila isteri encik ditempatkan di rumah kebajikan?”
“ Itu… pada umur 10 tahun. Pasal rumah kebajikan tu, saya tak pasti. Kenapa tuan?”
“ Saya cuma terfikir kalau McCullagh ni benar-benar ada hubungan dengan isteri encik tetapi tiada sesiapa atau hanya beberapa orang sahaja yang tahu mengenai hubungan mereka. Kes seperti ini banyak terjadi. McCullagh boleh kita jadikan suspek utama untuk kes ini.”
“ Apa? Tuan yakin?”
“ Kalaulah McCullagh benar-benar suspek yang kita cari, kita perlukan bukti. Lagipun motif di sebalik langgar lari itu mungkin memang disengajakan untuk mencederakan mangsa. Pihak kami tak fikir ini kes langgar lari yang biasa.”
“Ada kemungkinan suspek lain yang terlibat?”
“Ada walaupun samar. Seperti encik pernah katakan, isteri encik tidak mempunyai ramai kawan dan dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa. Tetapi itu tak bermakna isteri encik langsung tiada musuh. Selain fail McCullagh, saya perlukan maklumat mengenai rumah kebajikan tempat isteri encik pernah ditempatkan. Saya akan ke sana selepas saya bertemu dengan pegawai penjara yang menguruskan McCullagh.”
“Tak perlu, tuan.” Aku menelan liur sebelum menyambung percakapanku. Tekakku terasa kering dengan setiap kata-kata Inspektor Kent.
“Saya akan ke rumah anak-anak yatim tu sendiri. Saya akan berikan maklumat yang saya temui kepada tuan nanti.”
Inspektor Kent mendiamkan diri. Barangkali sedang menimbang mengenai keputusan yang dibuat olehku. Akhirnya pegawai polis itu bersuara selepas beberapa ketika.
“ Kalau macam tu, baiklah. Saya akan telefon encik sebaik sahaja saya dapat sebarang maklumat mengenai McCullagh di penjara itu.”
“ Baiklah.”
…bersambung
Bab akan datang:
Mungkinkah Odette mempunyai musuh semasa dia menetap di rumah anak yatim lagi?
Share this novel