Chapter 2

Romance Completed 24286

Bab 2

Aku tergelak kecil. Mataku melirik kepada dua bingkai gambar yang berada di atas mejaku. Salah satunya merupakan gambar sewaktu majlis perkahwinan kami. Aku dan Odette sedang tersenyum bahagia kepada lensa kamera. Isteriku amat cantik dalam gaun perkahwinannya. Gambar yang satu lagi diambil sewaktu hari lahirnya yang ke-29 pada tiga bulan yang lepas.

“ Hati-hati dalam perjalanan,” aku melaung sewaktu Mike ingin menutup pintu. Dari luar bilik pejabatku aku mendengar balasan daripadanya.

Aku kembali khusyuk dengan kerja di hadapanku. Jam yang kian berdetik dan malam yang semakin larut tidak kuhiraukan. Dari dalam pejabatku aku dapat melihat bulan sedang bersinar terang menyinari malam. Aku berjaya menyiapkan kerjaku sebelum jarum jam mencecah angka 11 malam.

Aku bangun daripada kerusi empukku lalu aku menggeliat untuk menghilangkan lenguh badan. Tanpa berlengah lagi aku mengemas barangan yang harus kubawa pulang. Tidak lupa juga akan meja kerjaku yang agak bersepah. Sekiranya Odette datang ke syarikat ini dan melihat pejabatku dalam keadaan bersepah seperti ini semestinya aku harus menahan telinga mendengar bebelannya.

Memang patutlah Odette merupakan menantu kesayangan ibuku. Sekiranya ibu dan Odette sudah membuka topik mengenai kekemasan dan dekorasi di rumah atau pejabat kami, aku dan ayah memang langsung tidak mempunyai peluang untuk menyampuk walaupun sebesar zarah. Kesudahannya, kami berdua akan meninggalkan mereka berdua dan menuju ke kolam ikan untuk memancing.

Aku memasukkan laptop dan beberapa fail nipis ke dalam beg bimbit hitam milikku. Kot berwarna kelabu yang disandarkan pada kerusi kucapai dan kulipat. Telefon pintar aku masukkan ke dalam poket seluar.

Odette sudah diberitahu akan kelewatan aku pulang ke rumah. Pada waktu-waktu sebegini biasanya dia sudah lama melenakan diri. Selepas kami berdua disatukan sebagai suami isteri, aku meminta Odette untuk hanya duduk di rumah. Bagiku dia tidak perlu bekerja kerana pendapatan aku seorang sudah lebih daripada mampu untuk menyara kehidupan isteriku. Bagi mengisi kebosanannya, aku membenarkan Odette untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh yayasan kebajikan ibu bapaku.

Ruang di luar pejabatku kelam dengan hanya beberapa pasang lampu sahaja dipasang. Keadaannya juga sunyi. Kesemua pekerja di pejabat ini sudah lama pulang ke rumah. Tidak kurang juga yang pergi melepaskan penat kerana seharian bekerja di mana-mana pusat hiburan. Ajakan daripada pekerja-pekerjaku untuk menyertai mereka terpaksa kutolak.

Aku menutup pintu ofis lalu menguncinya. Walaupun ada CCTV dan pegawai-pegawai keselamatan yang bertugas pada waktu malam, aku tidak boleh hanya mengharapkan mereka. Aku agak paranoid dalam menyimpan dan merahsiakan kerja-kerjaku daripada orang lain.

Sewaktu aku sedang menunggu lif di tingkat pejabatku, aku membuka telefon pintarku yang kupadam sejak dua jam yang lalu. Beberapa panggilan yang tidak berjawab timbul di skrin. Dahiku berkerut kehairanan kerana nombor yang tertera pada skrin adalah nombor yang tidak kukenali. Siapa pula yang menelefon aku pada tengah malam sebegini?

Pada saat aku masih lagi kebingungan dengan log panggilan itu, satu panggilan daripada nombor yang sama masuk ke dalam telefonku. Tanpa berlengah aku segera menjawabnya.

“ Helo?”

“ Encik Dylan Dawson?” suara garau seorang lelaki menerpa pendengaranku. Suara yang tidak pernah kudengari sebelum ini.

“ Ya, saya. Encik siapa?” Aku bertanya dengan keraguan pada nadaku.

“ Saya Doktor David Murphy dari City Hospital. Encik suami kepada Odette Swann?”

Hospital?

“ Ya…?”

Hatiku tidak senang apabila mendengar nama isteriku disebut bersama-sama City Hospital. Adakah ini suatu kecemasan? Tetapi bukankah Odette sepatutnya sedang lena di dalam unit kondominium kami?

“ Maaf, encik. Tapi saya mohon encik datang ke hospital sekarang. Isteri encik dipercayai telah dilanggar lari pada jam 10:30 malam tadi. Pihak kami dah cuba menelefon encik beberapa kali tapi gagal. Baru sekarang kami dapat hubungi encik.”

“ Apa?”

Aku menjatuhkan tanganku yang memegang telefon daripada telinga. Mindaku tidak dapat meneka situasi yang sedang berlaku pada saat ini. Kenapa pula Odette dilanggar lari pada waktu malam sebegini? Adakah lelaki yang bernama David Murphy itu sedang bergurau denganku? Adakah lelaki itu tersilap identiti Odette Swann yang lain sebagai isteriku? Mustahil Odette telah dilanggar lari!

Walaupun hatiku membantah untuk pergi ke City Hospital tetapi akalku berjaya merasionalkan pemikiranku. Adalah lebih baik untuk aku pergi memeriksa terlebih dahulu daripada terus membuat kesimpulan yang bukan-bukan.

Apatah lagi Odette tidak menjawab telefon peribadinya dan juga telefon rumah kami.

Teguran daripada seorang pengawal keselamatan yang kutemui di ruang parkir bawah tanah tidak sempat kubalas ketika aku berlari untuk segera mendapatkan keretaku. Aku sampai di City Hospital lima belas minit selepas memecut kereta di sepanjang jalan. Larianku laju menuju ke arah kaunter pertanyaan di lobi hospital. Walaupun malam sudah semakin lewat tetapi masih ramai orang berada di lobi itu. Kebanyakannya dengan wajah yang berbaur kerisauan.

…bersambung

Bab akan datang:

Benarkah Odette terlibat dalam kemalangan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience