Bab 23
Inspektor Kent terdiam mendengarkan ucapanku yang penuh dengan emosi. Nadaku perlahan tetapi kedengaran tegas. Aku cuba menahan amarah daripada menguasai apa yang ingin dikatakan olehku. Kedua-dua tanganku kuat menggepal kepala lutut.
“ Saya faham perasaan encik. Serahkan perkara ini kepada pihak polis. Saya percaya apa yang Puan Dawson amat perlukan sekarang adalah untuk encik berada di sisinya.”
Aku mendiamkan diri. Pandanganku tunduk ke bawah.
Selepas pertemuanku dengan Inspektor Kent selesai, aku memandu keretaku ke Branwell. Branwell adalah sebuah pekan kecil yang mengambil masa hampir dua jam perjalanan dari City Hospital. Segala maklumat mengenai bengkel tempat Marcus McCullagh berkerja dan flat sewaannya aku dapatkan daripada Inspektor Kent terlebih dahulu. Larangan Inspektor Kent daripada pergi mencari McCullagh secara berseorangan tidak aku pedulikan.
Aku tiba di Branwell lima belas minit awal daripada waktu yang dijangkakan. Aku memecut di sepanjang jalan yang lengang.
Tidak sukar untuk aku mencari bengkel yang dimaksudkan oleh Inspektor Kent. Aku masuk ke dalam bengkel itu sambil berpura-pura sebagai seorang pelanggan. Tiada ramai pelanggan dan pekerja di bengkel itu. Hanya kelihatan dua orang mekanik sedang membaiki enjin dua buah kereta di dalam bengkel itu. Seorang lelaki separuh umur yang berpakaian lusuh datang mendapatkan aku.
“ Encik nak baiki kenderaan?”
Aku memerhatikan keadaan sekeliling. Tiada bayang McCullagh di dalam bengkel ini. Adakah dia sedang menyorokkan diri semenjak disoal siasat oleh anggota polis?
“ Tiga orang sahaja ke pekerja di bengkel ini?” aku bertanya.
Lelaki separuh umur itu melihatku dengan pandangan yang menyakinkan aku bahawa dia mengesyaki aku sebagai pekerja daripada bengkel yang menjadi pesaing bengkel ini. Aku tersenyum nipis.
“ Saya tak nampak orang yang saya cari. Saya pulang dahulu.”
Tanpa menghiraukan panggilan lelaki berumur itu aku segera keluar dari bengkel itu. Bukan niatku untuk mengsia-siakan masaku dengan datang ke sini tetapi aku tidak mahu tersilap langkah. McCullagh tiada di dalam bengkel itu dan mustahil untuk aku bertanya secara terus kepada lelaki berumur itu. Bagaimana kalau lelaki itu akan mempertahankan McCullagh? Inspektor Kent sendiri mengatakan rekod McCullagh sepanjang bekerja di bengkel itu adalah bersih.
Aku berdiri bersebelahan dengan keretaku yang diparkir di hujung jalan. Mataku meliar kepada kawasan di sekelilingku. Lelaki berumur itu masih merenungku dengan pandangan yang penuh dengan rasa was-was dari bengkel itu. Aku melarikan pandangan daripada renungan lelaki berumur itu.
Hanya beberapa orang sahaja dapat kulihat di sekitar kawasan ini. Pekan kecil ini lengang daripada orang ramai. Lelaki atau wanita yang kelihatan sebaya denganku juga tidak dapat kutemui. Adakah semuanya bekerja di bandar yang bersebelahan dengan Branwell?
“ Cari aku?”
Aku tersentak apabila mendengar suatu suara serak dari belakangku. Pantas aku berpusing ke belakang. Mataku terbeliak apabila melihat seorang lelaki separuh umur yang berbau hamis berdiri di belakangku. Giginya yang kekuningan dan rongak kelihatan daripada bibir yang sedang tersenyum sinis kepadaku. Rambut dan jambangnya yang meliar pada wajah itu kelihatan perang keputih-putihan.
Marcus McCullagh!
“ Dylan Dawson, pewaris harta berbilion-bilion dolar daripada Roy Dawson dan Martha Reilly. Siapa sangka lelaki jutawan macam kau sanggup datang ke sini. Tentu kau cari aku, kan?”
Aku terkejut apabila mendengar maklumat mengenai diriku daripada McCullagh tetapi aku sedaya upaya mengawal riak wajahku. Nampaknya lelaki ini sudah menyiasat latar belakangku. Aku yakin dia juga telah menyiasat latar belakang kedua-dua ibu bapaku.
McCullagh menunduk pada tanah sebelum meludah di hadapanku. Ludahan itu hampir mengenai kasut yang kupakai. Kedua-dua tanganku yang sedang menggigil kemarahan kugenggam kuat.
“Pandai betul betina tu cari lelaki kaya macam kau, kan? Licik betul dia nak dapatkan harta kau. Patutnya dia berkongsi dengan aku. Lagipun aku kan bapa saudara yang dah bersusah payah jaga dia lepas mak ayah dia mati.”
Nampaknya McCullagh tidak bersusah payah menyembunyikan hakikat bahawa dia pernah membinasakan hidup Odette daripadaku. Provokannya membuatkan aku yakin dia merupakan dalang di sebalik kes langgar lari isteriku.
“Apa yang kau dah buat pada isteri aku?”
Aku dapat merasakan getaran pada nada yang keluar daripada mulutku. McCullagh memandangku dengan pandangan sinis.
“Apa yang aku dah buat? Kau sepatutnya bersyukur betina tu hidup lagi. Sepatutnya dah beratus-ratus kali aku bunuh dia. Hidup cuma tahu menyusahkan aku. Menyesal betul aku. Pada hari aku bawa dia ke rumah lepas mak ayah dia mati, patutnya pada hari tu juga aku bunuh dia.”
“Tak guna!”
Aku mencengkam kolar baju McCullagh dan menghempas tubuhnya pada keretaku. Pernafasanku tidak teratur berikutan dadaku sedang menahan kemarahanku daripada meletup. McCullagh tidak kelihatan takut dengan apa yang dibuat olehku. Dia masih dengan senyuman sinisnya.
…bersambung
Bab akan datang:
Apakah tuduhan yang boleh dikenakan terhadap McCullagh?
Share this novel