Bab 10
Kaum perempuan pula sedang membeli barangan di gerai-gerai kecil yang dibuka di setiap jalan.
Sebuah kotej berdekatan dengan kolam kecil menjadi tempat tujuanku dan Odette. Keadaan sekeliling kotej itu kelihatan cantik dengan tanaman bunga yang sedang berkembang. Adakah ini tempat tinggal isteriku? Kotej itu kelihatan sesuai dengan imej lembut isteriku. Suatu haruman mengelilingi kawasan kotej ini. Seakan-akan bau ketika aku memasuki sebuah bakeri yang menghidangkan roti dan pastri terus daripada ketuhar.
“ Akak nak masuk kejap. Kamu semua tunggu di luar ya?” Odette memberitahu kanak-kanak yang mengikutinya daripada tadi. Mereka semua bertempiaran lari ke sekitar taman kecil itu. Jelas kelihatan bahawa kesemua anak kecil ini sudah terbiasa dengan taman kecil di sekeliling kotej ini.
“ Ayah, saya dah balik,” Odette bersuara dari luar pintu lalu masuk ke dalam kotej itu. Aku mengekorinya dari belakang.
Ayah? Aku kehairanan.
Tetapi isteriku tiada ibu bapa. Sejak kecil Odette tinggal di rumah anak-anak yatim. Kedua-dua ibu bapanya meninggal dalam suatu kemalangan jalan raya ketika mereka dalam perjalanan ke tempat kerja. Odette tidak mempunyai ahli keluarga lain.
Jadi, di dalam mimpi aneh ini isteriku dikurniakan seorang bapa?
“Anak ayah dah balik? Bukan ke Odette nak ke sungai dengan budak-budak tu?”
Seorang lelaki separuh umur muncul dari sebuah bilik. Apron putih tersarung pada tubuh lelaki yang agak gempal itu. Ada topi putih menutupi rambutnya. Kedua-dua tangan lelaki yang dipanggil ayah oleh Odette itu dipenuhi dengan tepung.
Odette meluru kepada lelaki tua itu lalu menghadiahkan ciuman pada pipinya. Lelaki separuh umur itu merenung kepada aku yang masih berdiri di muka pintu.
“ Saya jumpa seorang pengembara tadi. Kenalkan ayah, ini Encik Dawson. Encik, ini ayah saya. Hughes Swann.”
Aku tersenyum lalu mengangguk sedikit sebagai tanda hormatku kepada lelaki itu. Jadi, di dalam mimpi ini aku ada bapa mentua? Alangkah bagusnya kalau di alam realiti aku memang mempunyai seorang bapa mentua. Aku teringin untuk melihat bagaimana bapa mentuaku menyayangi anaknya yang kini menjadi isteri kesayanganku.
“ Encik Dawson dalam perjalanan ke mana?” Pak Cik Hughes bertanya.
“ Saya tiada hala tuju yang sebenar. Saya mengembara ke semua tempat yang saya temui dalam perjalanan saya.”
Lelaki berumur itu ketawa. Nadanya kedengaran mesra di telingaku.
“ Bagus. Bagus. Anak muda macam encik memang patut keluar melihat dunia ni. Masa pak cik muda pun pak cik pernah keluar mengembara walaupun sekejap. Encik boleh bermalam di sini kalau encik sudi. Kami ada satu bilik kosong. Tapi bilik tu agak kecillah. Encik sudi?”
Kelihatannya Odette dan ayahnya sudah berbincang sesuatu ketika aku hilang dalam lautan mindaku tadi. Aku agak terkejut dengan tawaran itu tetapi sekiranya aku menolak, di mana lagi yang membolehkan aku untuk berada dekat dengan isteriku? Aku tidak tahu bilakah mimpi ini agak berakhir. Aku ingin meluangkan masa dengan isteriku dengan lebih lama lagi.
Walaupun hanya di alam mimpi.
“ Tak menyusahkan pak cik ke?”
“ Tak ada apalah. Lagipun hanya pak cik dan anak pak cik aje tinggal di sini.”
Aku mengukir senyum. ‘Bapa mentuaku’ ini benar-benar ikhlas mengajak aku bermalam di kotej ini.
“ Kalau macam tu, saya terima pelawaan pak cik. Lagipun sebagai seorang pengembara saya memang perlu berjimat. Terima kasih banyak-banyak.”
Pak Cik Hughes melihat ke arah Odette yang sedang berdiri di antaraku dan dia. “ Odette tolong pergi siapkan bilik tu, ya nak?”
“ Baiklah, ayah. Mari, encik.”
Aku mengekori Odette ke bilik yang dimaksudkan oleh bapanya. Dari segi luaran wanita ini tidak jauh berbeza dengan isteriku tetapi hakikatnya Odette yang berada di hadapanku ini bukanlah Odette isteriku. Dia langsung tidak mengenaliku. Kenapa dengan mimpi ini? Apakah yang cuba disampaikan? Atau ini hanyalah mainan tidur yang berterusan mengangguku pada saat aku merindui isteriku?
“Maaf, ya encik. Bilik ni agak kecil tapi saya harap encik selesa menginap di sini.”
Aku memasuki sebuah bilik yang hanya mempunyai sebuah katil dan almari kayu. Tingkap kecil di bilik itu dibuka oleh Odette. Angin yang bertiup di musim bunga terasa menyegarkan ruangan bilik kecil itu.
“Tak apa. Terima kasih, cik.”
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Dylan akan merungkai setiap persoalan yang muncul di dalam mimpinya?
Share this novel