Bab 14
“Nampaknya Encik Dawson letih sangat. Tentu dah banyak tempat dia mengembara sebelum sampai ke sini. Sebelum tu saya pergi siram bunga dulu ya? Lepas tu saya tolong ayah masak.”
“Baiklah. Jangan lupa ambil air di perigi. Ayah dah potong kayu api baharu. Ada di bangsal.”
“Baiklah, ayah.”
Perlahan aku bergerak mendekati pintu bilik itu. Aku membuka pintu bilik sewaktu mendengar derap tapak kaki Odette betul-betul di luar bilikku. Pastinya dia ingin ke luar rumah sebagaimana diberitahunya kepada Pak Cik Hughes tadi. Odette kelihatan agak terkejut apabila melihat aku muncul di muka pintu secara tiba-tiba.
“Encik perlukan apa-apa?”
Aku menggeleng. “Saya dengar cik perlu ambil air. Boleh saya tolong?”
“Tak apalah. Encik tetamu kami. Encik rehat dulu, lepas ni saya panggil untuk makan malam.”
“Dah lama saya rehat. Saya tolong cik, ya? Lagipun saya tak selesa kalau menginap sahaja tanpa tolong apa-apa.”
Odette diam buat seketika. Dia seakan-akan sedang mempertimbangkan kata-kataku. Melihatkan dia diam sebegitu pun sudah berjaya membuatkan hatiku tidak keruan. Akhirnya dia bersetuju.
“ Mari ikut saya.”
Aku keluar bersama-samanya ke taman kecil yang mengelilingi kotej ini. Aku baru sedar akan kewujudan sebuah perigi di luar kotej ini. Begitu juga dengan sebuah bangsal kecil yang menyimpan kayu-kayu api dan peralatan yang lain. Perigi itu berada berdekatan dengan kawasan kayu api disimpan. Odette mengambil sebuah bakul kayu kecil berisi air dan sebatang kayu yang mempunyai mangkuk kecil di penghujungnya. Mungkin alatan yang digunakan untuk menyiram tanaman.
“ Bagaimana? Encik selesa dengan bilik tu?”
Odette bertanya sambil mula menyiram bunga. Aku meminta bakul kayu daripadnya. Dia berterima kasih kepadaku. Bakul kayu itu bertukar tangan.
“ Selesa. Lagipun pengembara seperti saya tak boleh memilih. Dah cukup baik cik dan ayah cik sudi tumpangkan saya kat sini.”
Aku ingin ketawa apabila mendengarkan ayat yang keluar daripada mulutku. Aku memang pernah mengembara sebelum ini tetapi bukannya di zaman ini dan bukannya sehingga perlu menumpang belas daripada orang lain untuk membenarkan aku menumpang rumah mereka. Tidak pasal-pasal aku perlu mereka cerita.
“ Tentu seronok boleh kenal tempat baru, jumpa orang baru kan? Saya cuma kenal kampung ni aje.”
“ Cik tak nak cuba mengembara? Walaupun untuk sekali sahaja?”
Odette menggeleng. Dia melihat kepada wajahku.
“ Saya tak nak tinggalkan ayah seorang diri. Ibu meninggal masa saya kecil lagi dan ayah seorang aje yang jaga saya. Tanpa ayah, saya takkan boleh membesar macam ni. Hidup kami mungkin sederhana tapi saya dah cukup bersyukur.”
Bersyukurlah Odette di hadapanku kerana Odette isteriku seorang anak yatim piatu. Dia kehilangan kedua-dua ibu bapanya ketika dia masih kecil lagi.
“ Pak Cik Hughes tak nak keluar dari kampung ni?”
“ Kubur ibu di sini. Setiap petang ayah akan melawat kubur ibu tak kira cuaca. Bagaimana ayah nak pergi dari kampung ni kalau memori ibu di sini?”
Aku tersenyum hambar. Agak sedih mendengarkan kata-kata Odette.
Bagaimana abang nak teruskan hidup kalau Odette masih belum sedarkan diri? Abang mungkin akan selama-lamanya berseorangan dalam memori kita.
“ Apa tujuan encik mengembara? Cari pengalaman baharu?”
Aku menggeleng perlahan. Renunganku sayu kepada Odette di hadapanku. Aku terpaksa menahan diriku daripada memeluknya. Ini hanyalah Odette yang muncul dalam mimpiku, bukanlah Odette si isteriku. Odette isteriku sedang menunggu aku di realiti, bukannya di dalam mimpi ini.
“ Saya mencari sesuatu. Sesuatu yang penting.”
“ Penting? Barang? Encik hilangkah barang tu ke?” Odette kelihatan bingung.
Aku menggeleng lagi.
“ Sesuatu yang lebih penting dari emas atau permata. Tanpanya, saya mungkin tak boleh nak teruskan hidup seperti biasa. Ianya lebih penting daripada seluruh hidup saya.”
“ Bagaimana kalau selama-lamanya encik tak akan jumpa balik apa yang penting pada encik tu? Takkan encik nak mengembara buat selama-lamanya?” petah Odette mengutarakan soalan.
Soalan Odette mengundang senyuman hambarku. Aku mengangkat wajah lalu melihat kepada dada langit. Warna merah jingga menerangi horizon di sekelilingku. Aku mengeluh perlahan.
“ Mungkin. Mungkin saya akan mengembara sepanjang hidup saya. Mungkin itu harganya untuk saya dapatkan balik perkara yang penting tu. Tiada siapa yang tahu bila saya akan menemuinya balik. Bagaimana kalau saya berhenti mencari padahal ianya hanya berada beberapa langkah daripada saya? Seluruh hidup saya akan jadi sia-sia.”
“ Bagaimana kalau perkara penting tu memang ditakdirkan untuk terus hilang daripada encik, bukan menjadi milik encik?”
Aku ketawa perlahan.
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah segala persoalan akan terungkai?
Share this novel