Bab 24
“Kenapa? Marah sebab betina tu masuk hospital? Tak nak berterima kasih dengan aku? Sebab aku masih belum tamatkan riwayat dia?”
BUK!
McCullagh terduduk akibat tumbukanku. Aku tidak mempedulikan kenyataan bahawa dia seorang lelaki yang lebih berusia daripadaku. Aku tidak mempedulikan kenyataan bahawa dia hanya ingin memprovok aku. Apa yang aku peduli hanyalah melangsaikan keinginan aku untuk membelasah lelaki itu sehingga aku benar-benar puas.
“ Kenapa kau muncul balik? Kenapa kau tak biarkan aje Odette hidup bahagia? Apa yang kau nak? Tak guna!”
Aku menumbuk pintu keretaku yang menjadi tempat sandaran McCullagh. McCullagh ketawa perlahan sebelum mengilai lama. Aku tercungap-cungap membetulkan pernafasanku.
“ Aku tak akan biarkan dia seorang aje dapatkan harta kau. Aku bapa saudara dia. Aku berhak dapatkan apa yang dia miliki sekarang.”
Aku menggenggam bahu McCullagh lalu menghumbankan tubuh itu ke lantai. Pandanganku tajam kepada wajah sinis itu.
“Selagi kau tak berhenti ganggu isteri aku, aku tak akan berhenti daripada bawa kau kembali ke penjara. Aku akan gunakan apa sahaja cara untuk pastikan kau meringkuk di penjara sepanjang hayat kau.”
“ Aku rasa senang aje kau nak bawa aku ke penjara balik. Kau ada wang yang banyak untuk itu, kan?”
Bibirku digigit kuat. Tiada gunanya aku terus membazirkan masaku dengan lelaki berhati binatang ini. Tiada tanda-tanda bahawa dia akan menyesal dengan setiap tindakannya. McCullagh berani hanya kerana Inspektor Kent tiada di sampingku. Malah tiada saksi yang menyaksikan pergaduhan ini disebabkan oleh provokan daripadannya.
“ Jumpa kau di penjara.”
Aku melepaskan genggamanku pada kolar baju McCullagh lalu meloloskan diri ke dalam perut kereta. Pintu kereta kuhempas kuat. Tanpa mempedulikan McCullagh yang masih terduduk di tanah aku memecut laju keretaku meninggalkan tempat itu.
Sekembalinya aku dari Branwell, aku mengatur langkah untuk ke wad yang menempatkan isteriku. Ibu dan ayah sabar menunggu aku kembali dari kondominiumku, seperti mana aku beritahu kepada mereka sebelum aku ke Branwell. Kataku, aku akan pulang ke kediaman kami selepas pertemuanku dengan Inspektor Kent tadi. Tidak akan sesekali aku memberitahu mereka bahawa aku ke Branwell untuk mencari Marcus McCullagh. Aku tidak mahu makin merisaukan mereka.
Ibu ada menghantar mesej mengatakan Doktor Murphy baru sahaja datang memeriksa keadaan isteriku. Secara zahirnya Odette tidak mempunyai masalah apa-apa. Tetapi dia masih belum sedarkan diri. Isteriku masih dalam lena panjangnya.
“ Inspektor Kent ada beritahu apa-apa tadi?” ibu bertanya sebaik sahaja melihat aku muncul di muka pintu.
Aku menggeleng perlahan. Aku tidak mahu merisaukan ibu dengan apa-apa lagi informasi yang berkaitan dengan Marcus McCullagh. Cukuplah aku membuatkan ibu susah hati dengan rahsia di sebalik masa silam Odette pada zaman kanak-kanaknya.
“ Ibu dan ayah pulanglah ke rumah dahulu. Maaf sebab susahkan ibu dan ayah datang ke sini setiap hari.”
Ibu dan ayah saling berpandangan buat seketika. Aku melihat ibu seakan-akan ingin mengatakan sesuatu tetapi dengan segera dihalang oleh ayah. Ayah meletakkan sebelah tangannya pada bahu ibu sebelum bersuara kepadaku.
“ Baiklah. Kami pulang dahulu. Jangan lupa beritahu kami kalau ada perkembangan lain.”
Aku mengangguk. Ayah menghalang aku daripada menghantar mereka ke bawah. Ayah meminta aku untuk terus duduk di sini. Aku berterima kasih akan keprihatinan ayah.
Selepas menghantar ibu dan ayah sekadar di hadapan pintu lif, aku kembali ke wad itu lalu mengambil tempat duduk bersebelahan dengan katil Odette. Aku mengusap pipi lembut itu lalu tersenyum sendirian. Aku gemar mencubit pipi isteriku sekiranya ada peluang untuk berbuat demikian. Kerana itulah Odette selalu mengomel kepadaku.
Sudah dua hari berlalu semenjak kali terakhir aku mengalami mimpi di mana aku menyaksikan Odette dipukul tanpa belas kasihan oleh sekumpulan lelaki di dalam hutan. Sekiranya itulah yang akan menjadi sambungan mimpi aneh itu, aku tidak sanggup lagi untuk mengalaminya. Tanpa dapat berbuat apa-apa, kedua-dua kaki dan tanganku tidak menurut arahanku yang ingin menyelamatkan isteriku. Cukuplah hanya sekali aku melihat isteriku dibelasah sedemikian rupa.
Walaupun hanyalah di dalam mimpi, tetapi mimpi sebegitu terasa lebih ngeri daripada realiti.
“Sayang tahu? Kita ada empat hari sahaja lagi sebelum percutian yang sayang impikan tu.”
Aku merapatkan bibirku pada telinga Odette. Perlahan aku menuturkan setiap perkataan yang ingin kuucapkan kepada isteriku.
“Sayang ingat tak, pada hari abang beritahu pasal rancangan percutian kita tu, sayang nampak betul-betul gembira? Abang kerja keras sebab nak pastikan tiada orang daripada syarikat yang akan ganggu abang sepanjang percutian kita nanti.”
…bersambung
Bab akan datang:
Mungkinkah keajaiban akan berlaku dalam masa empat hari ini sebelum percutian yang dirancangkan Dylan?
Share this novel