Chapter 7

Romance Completed 24286

Bab 7

Dan anehnya kerana mindaku sedar bahawa apa yang sedang aku lalui kini hanyalah mimpi semata-mata. Tetapi mimpi ini seakan-akan realiti kepadaku. Ianya terasa hidup.

Kakiku melangkah ke hilir sungai. Mungkin aku akan menemui perkampungan kelak. Hatiku tenang mendengarkan bunyi alam semula jadi saling bertingkah lembut di sekelilingku. Angin juga bersenda denganku. Apa yang sedang aku lalui ini sememangnya pengalaman baharu.

Walaupun aku hanya bermimpi.

Selepas berjalan buat kesekian lamanya, dari kejauhan aku dapat mendengar beberapa suara saling bertingkah kata. Kebanyakannya seperti suara kanak-kanak. Aku mempercepatkan langkahku bagi mendapatkan mereka. Semakin aku melangkah semakin dekat suara-suara itu kepadaku.

“ Kita berkelah kat sini ajelah.” Suara seorang budak lelaki kedengaran.

Aku tersenyum lucu. Walaupun aku masih belum nampak kelibat mereka tetapi suara mereka kedengaran seakan-akan mereka hanya berdiri bersebelahan denganku. Aneh betul mimpi ini.

Tetapi, mimpi memang sentiasa aneh, kan? Di alam mimpi, setiap perkara yang mustahil untuk berlaku di realiti boleh terjadi dengan senangnya.

“ Tak nak. Jomlah pergi bahagian hulu.” Kali ini suara budak perempuan pula yang menyambut pendengaranku.

“ Kita pergi ladang Pak Cik Win?” Kanak-kanak perempuan yang lain pula mencelah. Suaranya lebih nyaring daripada kanak-kanak perempuan sebelum ini.

“ Main anak kuda Pak Cik Win? Jom!” Seorang kanak-kanak lelaki menjerit keriangan.

Aku tersenyum mendengarkan suara-suara itu. Aku sudah dapat melihat mereka. Mereka sedang berdiri berhampiran sebongkah batu besar di pinggir sungai. Sebelum sempat aku ingin memanggil mereka, suara seorang perempuan dewasa yang kedengaran buat pertama kalinya membatalkan niatku.

“ Jangan bergaduh. Kita berkelah kat sini dulu, ya? Lepas tu akak bawa kamu semua ke ladang Pak Cik Win.”

“ Ya!” Kesemua kanak-kanak itu berpadu suara.

Langkahku mati serta merta. Aku mengenali suara itu. Suara yang penuh dengan kelembutan pada setiap kali si empunya suara membuka mulut. Itu suara yang selalu mengatakan kata-kata manis kepadaku tidak kira sewaktu aku sedang bergembira atau bersedih.

Odette!

Aku dapat melihat isteriku sedang berdiri dikelilingi kanak-kanak tadi. Odette sedang memujuk kanak-kanak itu sambil menunjukkan sesuatu di dalam bakul yang dibawanya. Sama sepertiku, Odette bersama-sama kesemua anak kecil itu memakai pakaian pada kurun ke-18.

Apakah yang berlaku?

“ Odette…”

Aku memanggilnya perlahan. Panggilanku seakan-akan didengar olehnya. Odette mengangkat wajah ke arahku. Seulas senyuman kecil timbul pada wajahnya. Benar. Itu Odette. Cuma dia kelihatan lebih muda daripada biasa.

“ Eh, encik pengembara ke? Perlukan pertolongan kami?”

Aku terdiam. Odette masih dengan senyumannya tetapi dia seakan-akan tidak mengenaliku. Tidak. Dia memang tidak mengenaliku.

“ Abang… saya…” Pantas aku menukar panggilanku. Aku tidak pasti panggilan apa yang harus aku gunakan. Tiba-tiba aku terasa kekok untuk berhadapan dengan isteriku kini.

Odette kelihatan keliru denganku. Dia menyuruh kanak-kanak itu mendekatiku. Begitu juga dengan dirinya.

“ Encik seorang diri aje? Dalam perjalanan ke kampung kami ke?”

Odette sedang berdiri betul-betul di hadapanku.Wajah itu, sepasang mata bundar jernih miliknya, senyuman yang terulas pada bibirnya, sama dengan Odette isteriku. Aku yakin wanita yang sedang berdiri di hadapanku ini adalah isteriku.

Tapi kenapa dia tidak mengingatiku? Adakah ada kaitan dengan mimpi aneh ini?

“ Saya…”

Sebelum sempat aku menghabiskan ayatku, cahaya terang tadi kembali kepadaku. Sebelah tanganku melindungi pandanganku daripada cahaya terang itu. Aku terkapai-kapai untuk mencapai Odette. Aku tidak mahu kehilangan dia walaupun dalam mimpiku. Aku memaksa diriku untuk melihat kepada cahaya terang itu. Odette menghilang dari pandanganku.

Aku tersedar dengan peluh dingin pada wajahku. Setiap inci ruang tamu kuperhatikan seakan-akan aku sedang mencari isteriku yang ditemui dalam mimpi aneh itu. Odette masih tiada. Dia masih terbaring kaku di katil hospital. Aku menekup wajah kekesalan kerana membiarkan mimpi itu memperbodohkan aku.

Mimpi itu terasa bagaikan benar-benar hidup denganku. Mimpi itu membuatkan aku terlupa sebentar bahawa Odette isteriku masih belum sedarkan diri di alam realiti.

Telefon yang berada di atas meja kopi ku capai. Tiada panggilan daripada ibu mahu pun ayahku. Panggilan daripada Inspektor Kent juga tiada. Nampaknya tiada berita baharu yang dinanti-nantikan olehku.

Tanpa membuang masa lagi aku segera masuk ke dalam bilik untuk membersihkan diriku. Tuala yang disangkut pada almari kucapai. Haruman ros yang menjadi kegemaran Odette menyambutku di kamar mandi. Aku tersenyum apabila mengingatkan dia yang suka memberi peringatan agar aku tidak menyepahkan segala kelengkapan mandi yang sudah disusun dengan kemas di atas sinki.

Aku tidak mengambil masa yang lama untuk membersihkan diri. Sudah satu jam lebih berlalu sejak aku meninggalkan Odette di hospital tadi.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah petunjuk di dalam mimpi yang aneh itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience