Bab 19
“ Sebab… setahu saya, isteri saya tidak pernah mempunyai hubungan dengan suspek. Ini kali pertama saya mengenali suspek sejak kes langgar lari ini terjadi. Itu pun saya dapat tahu secara kebetulan.”
Puan Van Leer menarik senyum nipis. “ Boleh saya tahu siapa nama isteri encik?”
Aku kesal dengan kealpaanku. Sepatutnya dari awal lagi aku memperkenalkan isteriku. Aku lebih menumpukan apa yang sedang bermain di fikiranku sehingga terlupa untuk berbuat demikian.
“ Odette Swann, lahir pada tahun 1985.”
“ Sekejap ya, encik. Biasanya saya ingat kesemua anak kecil yang menghuni di sini, tetapi nampaknya isteri encik ditempatkan di sini sebelum saya menjadi pengetua di rumah kebajikan ini.”
Puan Van Leer menaip sesuatu pada papan kekunci komputer di atas mejanya. Selepas beberapa minit, perhatiannya kembali kepadaku.
“ Mengikut data di sini, Odette Swann menghuni di sini pada usia 14 tahun. Saya percaya Odette Swann ini merupakan Odette Swann yang dimaksudkan oleh encik. Hanya dia seorang sahaja yang mempunyai nama keluarga Swann di dalam data kami.”
Aku tersentak. “ 14 tahun? Bukannya 10 tahun?”
Aku yakin Odette memberitahuku kedua-dua ibu bapanya meninggal ketika dia berusia 10 tahun. Memandangkan dia tidak mempunyai saudara mara lain, semestinya dia terus dihantar ke rumah kebajikan pada usia itu. Takkanlah jabatan kebajikan mengambil masa selama empat tahun hanya untuk menguruskan penempatan seorang anak kecil?
“ Odette Swann tinggal bersama-sama bapa saudaranya selama empat tahun. Pada hujung tahun 1999, Odette Swann didaftarkan masuk ke rumah kebajikan ini.”
“ Bapa saudara?”
Aku kehairanan. Anggukan Puan Van Leer membuatkan aku berdebar. Aku seakan-akan sudah dapat menjangka jawapan daripada wanita itu.
“ Marcus McCullagh.”
Terasa duniaku gelap buat seketika. Nama lelaki yang pernah ditahan di penjara kerana cubaan membunuh pada 15 tahun yang lalu menjadi sebutan Puan Van Leer. Aku menggengam kedua-dua tanganku, cuba menenangkan hatiku yang tidak keruan.
“ Boleh… boleh puan berikan maklumat sepanjang empat tahun isteri saya tinggal bersama-sama bapa saudaranya? Jika puan ada maklumat itu?”
Puan Van Leer seakan-akan memahami apa yang kurasakan kini. Dia mengangguk perlahan sebelum mengatakan sesuatu yang membuatkan aku semakin gelisah.
“ Boleh. Saya fikir saya faham kenapa isteri encik merahsiakan kisah silamnya daripada pengetahuan encik. Sebelum saya bercerita, saya harap encik dapat tenangkan diri dahulu.”
Air liurku terasa mengesatkan tekak. Aku semakin tidak senang duduk mendengarkan apa yang diberitahu oleh Puan Van Leer.
“ Kenapa puan cakap macam tu? Apa yang pernah terjadi?”
Puan Van Leer menarik senyum tetapi aku dapat merasakan kehambaran senyuman itu.
“ Sebenarnya…”
********
LANGKAHKU lesu tatkala aku memasuki wad yang menempatkan isteriku. Ibu dan ayah masih setia di sisi Odette yang masih tidak sedarkan diri sehingga saat ini. Aku yakin ibu dan ayah dapat meneka perasaanku kerana aku tidak dapat menyembunyikannya. Walau dengan apa cara sekalipun aku mencubanya, aku tidak dapat membohongi diriku daripada kenyataan yang amat menyakitkan hatiku.
“ Dylan? Kenapa ni?” ibu bertanya lembut.
Langkahku terhenti pada pintu masuk. Mataku beralih di antara wajah ibu dan ayah. Kedua-duanya kelihatan risau akan diriku. Ibu berjalan menghampiriku.
“ Kenapa ni, sayang?”
Mataku beralih pula kepada wajah keruh Odette. Setiap kata-kata Puan Van Leer yang kudengar tadi bagaikan sembilu tajam yang berterus-terusan menusuk ke hatiku. Setiap kenyataan daripada wanita itu membuka misteri masa silam yang telah disimpan lama oleh isteriku. Aku tahu isteriku bukannya sengaja merahsiakan perkara itu daripada pengetahuanku. Aku yakin dia tidak mahu terus terluka sekiranya masa silam yang menyakitkan itu terus menghantui masa hadapannya.
“ Odette… Odette… ibu…”
Terasa mataku hangat dengan air mata. Air mata yang kutahan sedari tadi akhirnya mengalir. Ibu segera datang memelukku. Aku tewas dalam pelukan ibu. Aku membalas pelukan ibu erat sebagaimana aku melakukannya sewaktu aku kecil, sewaktu aku menangis kerana terjatuh tatkala berkejar-kejaran dengan anjing kesayanganku.
“ Dylan, cerita pada ibu?”
Sudah lama aku tidak menangis sebegini. Aku seorang lelaki tabah yang sepatutnya sukar untuk menumpahkan walau hanya setitik air mata. Tetapi pada hari ini aku benar-benar tewas dengan perasaanku. Daripada cerita Puan Van Leer, aku bagaikan dapat merasai sendiri bagaimana kehidupan isteriku selepas dia kehilangan ibu bapanya. Daripada tragedi yang memisahkan Odette dengan kedua-dua ibu bapa kesayangannya tatkala dia masih lagi seorang anak kecil, hidupnya tidak berhenti daripada dihantui bala yang lain selepas itu.
“ Dylan tak sangka, ibu… Odette… dia tak pernah beritahu saya… dia simpan semuanya sendiri… tak pernah… tak pernah Odette beritahu saya… dia…”
…bersambung
Bab akan datang:
Apakah kesengsaraan yang dialami oleh Odette sepanjang menjalani kehidupan bersama bapa saudaranya?
Share this novel