?Bab 30
Odette merenungku. Aku menarik nafas. Masih ada soalan yang perlu dijawab oleh isteriku sebelum kami menutup kisah yang melibatkan McCullagh dan masa silam Odette yang memeritkan.
“ Apa dia?”
“ Macam mana… sayang boleh sedarkan diri pada hari tu? Sebab sayang dah bersedia untuk hadapi realiti atau sebab… apa?”
Senyuman Odette dikuntum pada bibirnya.
“ Sebab suara abang sampai kepada saya.”
Aku terpaku. “ Suara abang?”
Odette mengangguk perlahan sebelum menyambung kata-katanya. “ Masa saya belum sedarkan diri, cuma kegelapan yang ada. Saya cuba cari jalan keluar tapi malangnya semuanya gelap, seakan-akan saya berada di Abyss. Kadang-kadang, apa yang cuma saya temui adalah memori masa saya masih tinggal dengan Pak Cik Marcus. Saya takut… saya lari setiap kali saya nampak memori tu… saya boleh dengar jeritan saya, saya boleh dengar suara Pak Cik Marcus.”
Odette berhenti sejenak. Matanya tidak lepas daripada memandangku.
“ Tapi saya dapat dengar suara abang. Saya ikut arah suara abang. Dalam gelap Abyss tu, saya nampak cahaya. Saya nampak abang tengah tunggu saya dalam cahaya tu.”
“ Jadi, sayang beranikan diri redah Abyss yang gelap tu?”
Odette tersenyum malu. Aku ketawa perlahan diikuti dengan erangan kesakitanku.
“ Sekarang…” aku melihat permukaan jam di dinding. Perhatianku kembali kepada Odette yang sabar menunggu aku menyambung kata-kataku.
“ … mulai jam 8:50 malam ini, kita sama-sama tutup kisah ni. Tumpuan kita hanyalah untuk masa depan kita. Walau apapun yang terjadi, jangan kelamkan masa depan kita dengan kisah ini. Ya, sayang?”
Odette mengangguk. Dia ketawa kecil.
“ Maknanya, percutian kita berjalan dalam hospital ajelah? Saya tak benarkan abang ke mana-mana dalam keadaan macam ni.”
Aku ketawa lucu. Tiba-tiba sahaja wajah Mike muncul di mindaku.
“ Nampaknya abang bakal berdepan dengan kemarahan Mike lepas ni. Sebaik sahaja keluar dari hospital ni, abang akan teruskan percutian kita. Tak kisahlah apa yang Mike akan cakap. Tentu Mike marah sebab abang bercuti lama sangat. Tapi tak apalah, abang nak ajar dia uruskan syarikat tu tanpa abang.”
“ Kasihan dia,” Odette bersuara perlahan. Aku menggeleng.
“ Sayang patut kasihankan abang yang terlantar sakit sampai tak boleh pergi bercuti ni.”
“ Iyalah.”
Aku mengucup tangan isteriku. McCullagh akan didakwa dan mungkin akan terus meringkuk di balik tirai besi selepas ini. Tiada apa lagi yang akan merisaukan aku. Odette juga sudah kembali ceria seperti biasa.
Tetapi, apakah misteri di sebalik mimpi-mimpi aneh yang kualami sebelum ini?
Adakah ianya terjadi kerana ingin memberi petunjuk kepadaku mengenai isteriku?
Atau ianya terjadi kerana kerisauanku terhadap isteriku?
Atau ianya terjadi kerana aku inginkan segala-gala realiti memeritkan yang berlaku menjadi suatu mimpi buruk sahaja dan aku inginkan mimpi di mana aku boleh berbahagia dengan isteriku menjadi realiti yang menenggelamkan realiti yang sebenar?
Walau apapun jawapannya, aku terima dengan seadanya. Aku tidak risau akan mimpi aneh itu kerana realiti yang berada di hadapanku ini lebih penting daripada realiti yang kudapati daripada mimpiku. Aku tidak mahu hidup bermimpikan sesuatu yang sebenarnya boleh kuperoleh daripada realiti.
- The End –
Share this novel