BAB 15

Other Completed 5710

Asad Afifuddin… panggil Leo semata-mata.

Muhd Hussin… Hush Puppies gelaran manja.

Jebat Rabbani… Bard nama ala-ala popular.

Mahu ketawa juga kerana memandai sahaja masing-masing tukar nama kerana mahu lebih senang disebut dan dikenali. Namun malu juga sebenarnya kerana terikut-ikut ikutan Barat atau entah dari mana mata anginnya. Nama yang diberi ibarat membebankan sahaja walhal semuanya sedap-sedap belaka sebagai halwa telinga. Katanya, tidak mahu nama-nama tempatan kerana mahu tampak stylo dan akan ditertawakan budak-budak skaters yang lain. Nama yang sepatutnya menjadi doa tidak digunakan kerana terlalu taksub dengan populariti.

Rasulullah SAW pernah bersabda, mengingatkan: “Sesungguhnya sebaik-baik nama kamu adalah yang disandarkan dengan nama Allah, umpamanya Abdullah atau Muhammad.” (Riwayat Muslim)

Sakit memang sakit. Namun jikalau aku terus hanyut, makin parahlah hati ini tanpa cinta Tuhan. Lebih baik jika aku berganjak dari masa lalu dan memulakan langkah seterusnya demi memadamkan kesakitan itu yang akan digantikan dengan kegembiraan.

“Biar sakit itu jadi pahala, Along,” balasku akhirnya. Memegang bucu tudung yang ditiup angin. Sejuk terasa mengenakan kain tebal ini biarpun peluh memercik tanpa henti. “Kita balik, Along. Nanti lambat nak solat Asar.”

“Yalah, nak masuk waktu ni…”

Tikar mengkuang terus Along gulungkan. Tugasku membawa buku Yaasiin dan jag air yang sudah tiada isinya. Genap 100 hari aku meninggalkan semuanya dan berubah kerana pertemuanku dengan wanita muda yang menegurku di perhentian bas.

Teguran yang mengubah hidup ini agar menjadi lebih baik daripada semalam yang kelam. Kemurahannya dalam menyampaikan ilmu biarpun cara yang amat halus sedikit sebanyak membantu hatiku untuk mengingati Tuhan juga.

Semoga Tuhan merahmatinya selalu.

Ada sebab Allah hadirkan seseorang itu dalam hidup ini.

Sama ada dia mengubah hidup kita…

Atau kita yang mengubah hidup dia.

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Q.S. Al-Insyirah: 5-6)

Abah… ibu…

Bahu ini mungkin akhirnya sudah cukup kuat untuk menampung sebarang dugaan dan ujian kerana ada hikmah yang sentiasa Dia berikan buat hamba yang beriman.

******************

Tergesa-gesa aku melipat telekung apabila masjid seperti hendak dikunci. Jam sudah berganjak ke pukul sebelas malam dan aku baru sahaja selesai dengan shift di kedai kasut. Along pula malam ini tidak dapat menemani aku untuk ke sini kerana ada urusan yang masih belum dia sempurnakan. Nasib baiklah sempat menunaikan solat Isyak di sini. Lebih selesa untuk solat di masjid sebenarnya kerana aku berada di dalam rumah Allah, bukan?

Selesai menyarungkan stokin ke kaki, aku mengenakan pula hand sock yang baru aku rasmikan semalam. Selesa sungguh. Tidak perlu risau jika lengan baju terselak kerana auratku masih ditutup.

Usai itu, aku membetulkan pula kedudukan kerongsang di kedua-dua belah bahu dan membetulkan ‘kepala’ tudung yang senget. Bunyi gril yang sudah mengetuk gegendang telinga benar-benar meresahkan aku. Janganlah kau kunci aku dalam ni pulak!

Sejadah aku lipat kemas dan aku letakkan ke tempat asalnya. Beg kertas segera aku bimbit untuk keluar sebelum terpaksa bermalam di masjid ini pula. Kebanyakan lampu sudah mereka tutup dan hanya lampu di bahagian tempat solat perempuan sahaja terpasang, itu pun tidak banyak.

“Aduh!”

Bahuku terasa terlanggar badan seseorang. Terjatuh beg kertas itu ke atas lantai, begitu juga dengan gugusan kunci masjid yang berada betul-betul di kaki.

Lelaki itu menunduk bagi mengutip beg kertasku manakala aku pula mengambilkan gugusan kuncinya. Aku serahkan kunci-kunci yang banyak itu kepadanya sebelum menundukkan kepala tanda memohon maaf di atas kecuaianku sebentar tadi.

Barangkali memang salahku kerana terburu-buru hendak keluar dan pulang ke rumah. Padahal, tidak ada apa-apa benda penting yang perlu aku kejarkan. Pandangan aku tundukkan lama apabila beg kertas pula dia hulurkan dan aku pantas menyambut.

“Maa… maaf,” ucapnya perlahan.

Aku mengangguk sahaja, cukup untuk memberitahu bahawa aku tidak apa-apa. Bukan salah dia sepenuhnya. “Tak apa. Saya minta diri.”

Kaki aku hayunkan untuk memakai kasut yang berada di rak kasut. Kasut sarung sahaja, senang mahu memakainya. Tidak perlu mengikat tali seperti telinga arnab. Bunyi gril atau pintu yang ditutup tidak pula aku dengar. Malahan bunyi petikan lampu untuk ditutup tidak juga jelas di telinga. Tadi beria-ia nak mengunci masjid namun kini bagaikan mahu kaku di situ sebagai patung pula? Peliklah dia ni.

“Numa…”

Hampir aku terkejut beruk kerana mendengar suara garau itu menyeru namaku. Di sebalik kesamaran malam, aku berpaling dan mencampakkan pandangan ke arahnya yang ternyata memanggil namaku. Wajah yang pudar dan tidak jelas di retina mata memaksa aku untuk mengalihkan pandanganku semula dan menganggap panggilan itu sebagai bisikan halus semata-mata.

“Wardah Numa…”

Langkahku terhenti serta-merta. Air liur pahit terasa untuk kutelan. Dada yang sesak untuk bernafas segera aku tenangkan padahal hatiku sudah berdetak lain macam. Aku tidak mengenali pun lelaki itu jadi lebih baik jika aku membisukan mulut ini daripada gatal menjawab yang bukan-bukan. Tanpa berpaling lagi, aku meninggalkannya keseorangan di situ biarpun jiwa membuak-buak ingin tahu siapa yang aku temui.

Tak mungkin Along.

Tak mungkin akak-akak yang aku kenali kerana dia itu lelaki.

Tak mungkin…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience